Beliau dipetik sebagai berkata, pihak tertentu sengaja memburukkan imej dan reputasi Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN). "Ini semua agenda politik kotor pihak tertentu termasuk portal berita pro-pembangkang, yang dilihat seperti sengaja memainkan isu tersebut untuk menarik perhatian rakyat," katanya.
Kenyataan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee itu dipetik dari laman blognya, http://umnobahagiancheras.blogspot.my
yang disiarkan pada semalam.
Menurutnya lagi dalam laman blog berkenaan, seseorang Perdana Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri dibolehkan menggunakan pesawat rasmi kerajaan sama ada untuk tugas rasmi atau pun bercuti bersama keluarga. Penggunaan pesawat udara milik kerajaan jelas beliau lagi, dibolehkan kepada seseorang Perdana Menteri dengan mendapat kelulusan kabinet.
"Jadi kenapa bila Najib bercuti bersama keluarga dengan menggunakan kemudahan pesawat kerajaan, ianya menjadi pertikaian banyak pihak terutama pembangkang, sedangkan perkara tersebut bukan sesuatu yang dilarang," soalnya.
Syed Ali kesal penggunaan pesawat rasmi kerajaan oleh Najib menjadi tumpuan pembangkang dan pihak berkepentingan dengan menularnya di media-media sosial.
"Cara mereka seolah-olah Najib telah melakukan satu kesalahan, mereka tularkannya di media sosial untuk menanam perasaan kebencian, ini tidak betul dan berniat jahat," katanya.
Katanya, pihak berkenaan termasuk pembangkang sepatutntya berfikirann secara rasional dan mempunyai pengetahuan mengenai hak dan keistimewaan seseorang Perdana Menteri.
Beliau menjelaskan, walaupun Najib pergi bercuti ke Bali dan Perth bersama keluarga tetapi beliau tetap seorang Perdana Menteri malaysia yang memiliki keistimewaan seperti yang sudah termaktub dalam peraturan kerajaan.
"Pihak yang mempetikai dan mempolitikkan percutian Najib sebenarnya terlalu dangkal cara pemikiran mereka dan dipenuhi dengan sikap kebencian melampau," tegasnya. Perdana Menteri bersama keluarga bercuti di Bali sehingga 30 Jun ini sebelum dijadual berlepas untuk menyambung percutian mereka di Perth.
Mengulas lanjut, Syed Ali berkata seseorang individu berhak mendapat rehat atau percutian terutama bersama keluarga kerana ruang tersebut mereka boleh melupakan sebarang tekanan atau pun kesibukan semasa bekerja.
"Masa percutian itulah mereka berpeluang bersama keluarga, mengeratkan hubungan silaturahim setelah penat bekerja dan inilah juga fitrah manusia yang memelrlukan masa rehat," katanya.
Gambar - Google |
"Najib adalah manusia biasa seperti kita, memerlukan waktu rehat dan mempunyai kewajipan untuk bersama keluarga, jadi tidak ada keperluan mana-mana pihak mempertikaikan percutian beliau," tegasnya lagi.