Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 4 Julai 2017

Ini Caranya Lawan Saman Trafik Tanpa Peguam Part 2.

BAGAIMANA HENDAK LAWAN KES SAMAN TRAFIK TANPA PEGUAM
BAHAGIAN II
Apabila seseorang OKS memilih untuk hadir Mahkamah, maka pada tarikh yang ditetapkan OKS perlu hadir ke Mahkamah. Di Mahkamah, OKS akan dipanggil ke hadapan dan dibacakan pertuduhan.
Contoh pertuduhan bagi kesalahan memandu melebihi hadlaju ditetapkan.
Bahawa kamu pada 25/4/2005 jam lebih kurang 9:30 malam di KM 46 Lebuhraya Utara Selatan sebagai pemandu kenderaan nombor ABC 1234 telah memandu kenderaan tersebut dengan kelajuan 120 kmj iaitu melebihi 10 kmj dari hadlaju yang telah ditetapkan bagi kawasan tersebut iaitu 110 kmj, dan oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama
Apabila pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa Mahkamah, beliau akan bertanyakan samada OKS mengaku salah atau tidak. OKS boleh memilih samada hendak mengaku salah atau tidak. Jika OKS mengaku salah, Mahkamah akan mengarahkan OKS membuat rayuan hukuman sebelum hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah.
OKS boleh membuat rayuan dengan menyatakan kekesalan melakukan kesalahan, nyatakan pekerjaan OKS, pendapatan bulanan, tanggungan dan sebagainya dan akhirnya memohon agar hukuman diringankan atau dilepaskan dengan amaran.
Setelah rayuan dibuat, Mahkamah akan menjatuhkan hukuman. Kebiasaannya skrip yang dibacakan oleh Mahkamah ialah seperti berikut : “Encik .............. Mahkamah telah menerima pengakuan salah Encik, dan setelah mendengar rayuan yang dibuat, Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM..... jika gagal bayar ..... penjara”. Bayaran denda hendaklah dibuat pada hari yang sama, kegagalan menyebabkan OKS dipenjara seperti yang diperintahkan.
Jika OKS tidak mengaku salah, maka Mahkamah akan tetapkan tarikh sebutan yang baru yang kebiasaannya sebulan dari tarikh pertuduhan untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen untuk perbicaraan.
Di tahap ini ada perbezaan antara Mahkamah atau pihak pendakwa. Jika di Mahkamah Kuala Lumpur, kebiasaannya bagi kes trafik, pihak pendakwaan tidak memohon wang jaminan tetapi di beberapa Mahkamah lain, pihak pendakwaan memohon OKS membayar wang jaminan. Semuanya bergantung kepada pihak pendakwaan dan Mahkamah. Wang jaminan adalah untuk memastikan OKS hadir Mahkamah pada sebutan akan datang dan seterusnya. Jika pihak pendakwaan memohon jaminan, OKS boleh membuat rayuan kepada Mahkamah agar tidak dikenakan jaminan wang atas alasan kewangan dan kes hanya melibatkan kesalahan trafik bukannya kes jenayah berat. Selain itu kehadiran OKS pada tarikh pertuduhan membuktikan OKS rela hadir dan tidak akan lari dari pertuduhan.
Mahkamah akan tetapkan tarikh sebutan baru untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah dan juga peluang kepada OKS melantik peguam. Dalam kes sekarang ini, sememangnya kita berbincang tentang OKS tidak menggunakan peguam, jadi kita terus ke tarikh akan datang.
-----------------------
BAGAIMANA HENDAK LAWAN KES SAMAN TRAFIK TANPA PEGUAM
BAHAGIAN III
Pada tarikh sebutan kedua, pihak pendakwaan (Polis, JPJ atau penguatkuasa) hendaklah menyerahkan apa saja dokumen yang mereka hendak gunakan semasa perbicaraan bagi membuktikan kesalahan. Penyerahan dokumen ini suatu kemestian mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.
Jika pihak pendakwaan gagal menyerahkan dokumen, OKS boleh meminta supaya kes dibatalkan dengan alasan pihak pendakwaan tidak berminat meneruskan kes. Mahkamah boleh membuat perintah “melepaskan tanpa dibebaskan” terhadap OKS. Ini bermaksud OKS dilepaskan daripada tuduhan tetapi tidak dibebaskan yang mana pihak pendakwaan boleh membawa semula kes pada bila-bila masa kemudian nanti.
Jika pihak pendakwaan tidak menyerahkan dokumen tetapi Mahkamah tidak membatalkan kes, tarikh bicara boleh ditetapkan ditetapkan tetapi pihak pendakwaan tidak boleh mengemukakan apa-apa dokumen semasa perbicaraan berlangsung. Ada pendapat mengatakan pihak pendakwaan boleh mengemukakan dokumen semasa perbicaraan berlangsung tetapi OKS boleh memohon agar dokumen yang dikemukakan tersebut diteliti terlebih dahulu. Semua ini bergantung kepada budi bicara Mahkamah.
Apa dokumen yang perlu diserahkan oleh pihak pendakwa kepada OKS?
Ianya bergantung kepada pertuduhan. Bagi pertuduhan memandu memelbihi hadlaju, pihak pendakwaan perlu mengemukakan antaranya : 
a) Gambar kenderaan;
b) Gambar lokasi kejadian;
c) Video kenderaan melebihi hadlaju;
d) Perincian kamera yang digunakan semasa operasi;
e) Dokumen hakmilik kenderaan
f) Lain-lain (takkan nak bagitau semua, pecah la rahsia...)
Apabila semua dokumen diserahkan, Mahkamah akan menetapkan tarikh bicara.
Bahagian 1 disini.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...