Kekecohan Isu Audi Bermula Dengan Status Ini |
Sedangkan kata beliau, ayat asal yang disampaikan kepada wartawan The Star itu hanyalah menyatakan secara umum sahaja.
Kata beliau lagi, pihaknya ada menghubungi wartawan The Star agar membetulkan semula berita yang disiarkan pagi tadi memandangkan masih ada kenyataan yang disalahtafsir oleh pihak berkenaan.
Beliau mengesahkan hanya membuat kenyataan umum tentang hak pemilikan kenderaan dan tidak merujuk kepada dirinya sendiri.
Beliau berkata: "Setiap orang sama ada kaya atau miskin mempunyai hak memiliki apa sahaja kenderaan yang dia mahu dalam ruang lingkup kemampuan masing-masing sama ada basikal, motosikal, kereta, lori atau kapal terbang.
"Saya tidak membuat kenyataan lain daripada itu. Mana-mana media yang melaporkan sebaliknya boleh diambil tindakan undang-undang," katanya kepada Harakah hari ini menolak laporan tersebut yang baginya hanya mengundang fitnah kepada beliau.
Beliau menegaskan kenyataan itu tidak merujuk kepada dirinya sendiri.
"Itulah adalah kenyataan umum menjelaskan prinsip Islam dalam pemilikan harta. Saya tidak bercakap tentang diri saya."tegasnya.
Beliau menekankan bahawa "setiap orang boleh membeli basikal atau kereta kancil untuk kegunaan dirinya menurut kemampuan masing-masing".
Tambah beliau, hanya golongan sosialis yang mempertikaikan pemilikan harta manusia dalam ruang lingkup kemampuan masing-masing.
Sementara itu, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor, Ustaz Muhammad Najhan Abd Halim pula berkata, dalam Islam, seorang pemimpin boleh memiliki kenderaan yang baik jika dia mampu apatah lagi jika ia datang dari hasil perniagaan sendiri setelah mana dia menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin kepada rakyatnya dari sudut bantuan dan sebagainya.
Apatah lagi tambahnya jika kenderaan yang baik digunakan ke sana sini bersama keluarga dan anak-anak kecil yang ramai berulang alik dari Kuala Lumpur ke Terengganu dan pelbagai lokasi ceramah menjangkau ribuan kilometer sebulan.
"Memiliki kenderaan yang baik adalah sunat dalam Islam sebagaimana sabit dalam hadis," ujar beliau lagi.
Isu ini menjadi panas apabila The Star membuat laporan salah mengaitkan Khairuddin sebagai berkata "saya mempunyai hak untuk membeli kereta mewah". Laporan salah itu mengundang persepsi pelbagai oleh khalayak. The Star hari ini telah membetulkan semula kenyataan salah itu.