Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 22 Februari 2017

Nama Saya Mujahidin, Saya Muslim & Saya Tolak #RUU355.

Oleh : Mujahidin Zulkiffli 

Saya seorang Muslim, jauh dari seorang Muslim yang sempurna, namun hati tetap kekal percaya kepada Allah. Mungkin ramai akan mempersoalkan mengapa saya menolak usul Hadi 355, kalau saya Muslim, bukankah saya wajib menerima hukum syariat? 

Jawapan pertama saya, usul ini bukanlah hukum syariat Allah. Ini hukum rekaan manusia. Tidak wujud sama ada di dalam Al-Quran dan hadis, di mana hukuman yang dikenakan adalah dalam wang ringgit, atau mata wang apa sekalipun. 


Tiada saman atau denda dikenakan dalam syariat. Yang ada cuma bayaran diyyat, atau pampasan bagi menggantikan Qisas (hukum balas satu dengan satu). Maka persoalan saya dari manakah hukuman bayar duit ini datang? Dari Tuhan Allah kah? Atau Hadi sudah jadi Tuhan? Allah berfirman di dalam Al-Quran:”Allah tidak akan membebani umatnya lebih dari yang ia mampu”. (Surah Albaqarah) Siapakah yang mampu membayar denda RM100,000 yang Hadi mahukan? 

Hanya orang kaya saja, dan sekiranya ini menjadi undang-undang, di manakah keadilan sosial sekiranya hukuman ini terlalu berat buat mereka yang miskin? Dan sekiranya hakim mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan denda berat kepada yang kaya dan ringan kepada yang miskin, bukankah itu satu prejudis dan salah berdasarkan firman Allah: “Jika ia kaya atau miskin, maka Allah lebih tahu (keadaan) keduanya.” (An Nisa 135). 

Hanya Allah yang layak menghakimi keadaan seseorang itu. Hakim yang prejudis adalah hakim yang tidak diterima Islam. Hukuman denda yang tidak berlandaskan Al-Quran dan hadis ini sepatutnya dimansuhkan bukan disalahgunakan dengan lebih besar. 

Yang kedua, hukuman 100 rotan ini adalah hukuman hudud. Ia memang terdapat di dalam Al-Quran tetapi untuk kesalahan zina. Dalam melaksanakan hukum ini, 4 saksi lelaki Islam perlu dikemukakan. Saksi-saksi pula wajiblah daripada kalangan yang beriman, berakal dan paling penting saksi adil dan bukan seorang yang fasiq (tidak melakukan dosa besar dan tidak mengekalkan dosa kecil). Cuba kita lihat kes tangkapan khalwat yang dilakukan, kebanyakan penangkapan dilakukan pegawai yang tampak kurang beriman (kurang adab tu kurang imanlah kan?), kurang berakal, kalau banyak akal sudah jadi doktor, jurutera dan peguam, kan? 

Oklah, mungkin mereka ini berakal sebab keperluan berakal hanyalah tidak gila, tetapi adakah mereka ini memang betul tidak gila? Hmmm… jika dilihat mata kasar, ada antara mereka yang kelihatan cukup gila. 

Dan adakah mereka ini adil? Kalau KPI mereka ialah menangkap orang, ini sudah jadi satu konflik kerana ketiadaan atau kekurangan tangkapan boleh dilihat sebagai tidak melakukan kerja, dan jika mereka dilihat seperti tiada kerja, mereka boleh dibuang kerja. Bagaimana mereka ini boleh adil 100% tanpa syak? Dan adakah mereka ini benar-benar tidak fasiq? Adakah mereka tidak mengekalkan dosa kecil? 

Siapa saja yang tidak mengekalkan dosa kecil? Kebanyakan mereka hisap rokok, itu sudah cukup sebagai mengekalkan dosa kecil (rokok adalah haram mengikut fatwa) dan ini secara langsung mengkategorikan mereka sebagai fasiq, Dan kalau 100 rotan ini ialah hukuman hudud, mengapa mereka mahu berbohong mengatakan usul ini bukan hudud? 

Kalau mereka boleh berbohong sebegini rupa, mengapa kita mahu terima pembohong sebagai pemimpin kita? Mereka mungkin berpendapat ini hukuman tazir. Tetapi, Hukuman tazir tidak boleh sama berat dengan hudud dan mesti lebih ringan. Ini dipersetujui oleh As Shafie, Al Hanbali dan Hanafi. 

Hanya Maliki yang berpendapat tazir boleh seberat budi bicara hakim tetapi tidak keterlaluan. Sekiranya kita mahu mengikut Maliki, kita juga perlu menerima anjing sebagai bukan najis. Hah, tak nak pula kan? 

Seterusnya, hukuman 30 tahun penjara tiada dalam Al-Quran. Hukuman ini terlalu keterlaluan untuk enakmen jenayah syariah sedia ada. Maka ia melanggar pendapat imam besar termasuklah Imam Malik yang mesra anjing itu. 

Keempat, hukuman syariah akan mengganggu kehidupan orang bukan Islam. Serbuan tangkap basah khalwat, sekiranya pasangan perempuan atau lelaki itu bukan Islam, serbuan ini akan memberi impak kepadanya. Keperluan saksi syahadah yang beragama Islam dalam enakmen syariah boleh memberi impak kepada orang bukan Islam kerana mereka tidak layak menjadi saksi. 

Sekiranya mereka tidak layak menjadi saksi, bagaimana mereka mahu mendapatkan keadilan daripada hukum hakam. Contohnya jika isteri atau suami mereka berzina dengan seorang umat Islam, mereka tidak boleh menuduh Muslim zani atau zaniyah itu. 

Nasib baik mereka tidak boleh diqazafkan dalam enakmen syariah kita, kalau tidak habis mereka kena rotan 80 kali. Dan sekali lagi, yang penting, kalau hukuman ini tiada dalam Al-Quran dan hadis, mengapakah ia dipanggil hukum Allah?

Astargfirullahalazim… janganlah kita memandai-mandai mencipta hukuman duniawi dan dalam masa yang sama melabelkannya sebagai hukuman Allah. Jangan bohong dan yang paling penting, jangan fitnah Allah. Firman Allah: “Alfitnatu asyadu minal qatl”, fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh. 

Dan yang paling penting, Allah perintah kepada Muhammad: “Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang menyatakan segala kebenaran (untuk menjadi panduan hidup) kepada umat manusia seluruhnya. 

“Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beramal menurutnya), maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (tidak berpandu kepadanya), maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri; dan engkau (wahai Muhammad hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang menguasai (keadaan dan bawaan) mereka.” 

Kalau Nabi Muhammad pun dipesan jangan kuasai perbuatan orang lain, siapa Hadi?

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...