Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 21 Februari 2017

Kenapa Hadir Thaipusam Tetapi Taknak Hadir #RUU355 Najib, Zahid Soal ISMAWEB.

Oleh : Isma Web

PEDANG dan rakyat Malaysia beragama Islam, tertanya-tanya ke mana Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia tatkala, ratusan ribu umat Islam berkumpul menyatakan solidariti ummah menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355. 

Perhimpunan #RUU355 Pada 18 Feb 2017
Perhimpunan #RUU355 Pada 18 Feb 2017
Tidak nampak pun kelibat kedua-duanya. Cuma ungkapan salam disampaikan melalui Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang kita tidak tahu mewakili siapa. Kerajaan atau UMNO? Tiada ucapan berapi-api daripada kedua- duanya, sebagaimana pada himpunan solidariti memperjuangkan nasib etnik Rohingya. 

Benarlah, kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan. Perjuangan untuk etnik luar lebih diutamakan, tetapi untuk kepentingan Islam sendiri tidak didahului. Kenapa Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh hadir? 

Apakah mereka tidak prihatin kepada undang-undang dan hukum Islam? Walaupun Pedang yakin majoriti yang hadir adalah orang PAS, tetapi umat Islam yang bukan penyokong PAS pun ramai yang hadir. 

Pedang rasa mereka yang tidak hadir akan beri alasan mudah bahawa mereka menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin bagi seluruh rakyat Malaysia yang berbilang agama, bukan kepada umat Islam sahaja. Tapi, hairannya mereka boleh pula hadir upacara keagamaan Thaipusam di Batu Caves. 

 Untuk memartabatkan Islam – agama yang dianuti datuk nenak moyang mereka – susah pula untuk mereka hadir. Masa memperjuangkan hak dan nasib etnik Rohingya di Tasik Titiwangsa 4 Rabiulawal lalu, Najib, Zahid dan ramai lagi menteri serta pemimpin UMNO yang hadir, berdiri sama pentas dengan pemimpin PAS, termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Tapi, semalam (18 Feb)? Budak-budak tahfiz dan warga tua pun boleh hadir untuk menyatakan sokongan kepada undang-undang Islam, usaha untuk memartabatkan Mahkamah Syariah. Usaha yang ditentang oleh ultra kiasu kafir di Malaysia. 

Kenapa hanya Jamil Khir sahaja yang hadir. Mana menteri-menteri Islam di Malaysia? Mana pemimpin-pemimpin UMNO yang semuanya Islam dan memerintah Malaysia sebuah negara Islam? 

Mana Salleh Said Keruak? Mana Ahli-Ahli Parlimen yang beragama Islam. Kalau setakat ada Asyraf Wajdi dalam kerajaan, setakat ada Fathul Bari dalam UMNO, Pedang rasa belum cukup untuk melawan golongan liberal dalam kerajaan dan UMNO. Apa lagi mahu melawan ultra kiasu dalam Barisan Nasional (BN) yang terang-terang menentang pindaan Akta 355. 

Pedang hairan apa guna Jamil Khir dan Asyraf dalam Kabinet Najib, jika dalam mesyuarat jemaah menteri mereka tidak bersuara memberi tazkirah kepada ultra kiasu kafir dalam Kabinet itu mengenai pindaan Akta 355 – supaya pemimpin ultra kiasu kafir dan puak liberal dalam Kabinet itu boleh menjelaskan kepada ‘nyamuk dan agas’ supaya tidak menentang pindaan Akta 355. 

Pedang petik semula kata-kata Najib pada perhimpunan solidariti Rohingya dulu : “Jangan protes Ahok (Gabenor DKI Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama) sahaja, Rohingya mesti diperjuangkan, mereka boleh berhimpun di Jakarta, kita nak tunjuk kita tidak reda, kita mesti bertamadun, jaga nyawa dan harta benda, ini tanggungjawab kita sebagai sebahagian daripada maqasid syariah…ini wajib.” 

Pedang tanya : Apakah tidak menjadi kewajipan untuk memartabatkan undang-undang Islam dan mahkamah umat Islam? 

Kata Najib lagi isu Rohingya begitu mencengkam kalbu umat Islam di negara ini kerana agama Islam dihina manakala hak asasi manusia pula dirobek. 

Pedang tanya : Apakah kalbu umat Islam di Malaysia ini tidak dicengkam apabila agama Islam di Malaysia dihina dan dihalang daripada dimartabatkan oleh orang kafir di Malaysia? 

Najib boleh mengutuk Myanmar : “Ia (Myanmar) pakai satu saja artikel dalam ASEAN iaitu kita tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal negara lain, dia tidak baca artikel lain mengenai hak asasi manusia. ASEAN juga mempertahankan hak asasi manusia, mereka ini buta ke? Janganlah tafsir ikut sesuka hati.” 

Pedang tanya : Apakah pemimpin kerajaan Malaysia yang beragama Islam dan yang kafir, serta pemimpin UMNO, tidak buta mengenai keperluan untuk menambahbaik undang-undang Islam di Malaysia? 

Apakah tidak baca ayat-ayat suci al-Quran (bukan artikel ciptaan manusia) mengenai keperluan melaksanakan hukum Allah? Buta ke? Kata Najib lagi:” Kita ada UMNO dan PAS dalam perhimpunan ini. 

Kita boleh berbeza pendapat tetapi dalam soal Islam, soal ummah, ini wajib, ini bukan politik.” 

Pedang kata : Perjuangan menegakkan hukum Allah, memartabatkan Mahkamah Syariah menjadi wajib bagi umat Islam, terutama pemimpin yang diberi kuasa oleh Allah Taala untuk melaksanakan tujuan itu. Ini soal Islam, soal ummah, ini wajib, ini bukan politik dan jangan takut kepada orang kafir. 

Kita sudah dengan berhemah dan berlembut menerangkan kepada mereka mengenai usaha memartabatkan Islam tiada kaitan dengan mereka. 

Tetapi Najib dan Zahid, wajib menerangkan kepada mereka mengenai usaha itu supaya pemimpin-pemimpin kafir itu tidak buta, pekak dan tuli. 

Kata Pedang : Pedang setuju, malah dari awal lagi telah Pedang nyatakan, sebagaimana dikatakan oleh Timbalan Presiden Isma, Haji Aminuddin Yahya bahawa umat Islam jangan lagi memberi undi kepada mana-mana calon yang menentang pindaan Akta 355 pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...