Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 2 September 2016

1MDB Guna Duit Caruman Tentera Bayar Hutang.

2 SEPTEMBER 2016

DIALOG “HARGAI PERAJURIT” DI SELURUH NEGARA Sejak dari Mac 2016, saya telah membawakan isu kebajikan pesara tentera yang bermula dengan masalah kelewatan pembayaran caruman mereka di dalam LTAT selepas meninggalkan persaraan. Saya juga telah membongkarkan bagaimana 1MDB telah terlambat membayar kepada anak syarikat LTAT yang diberikan kontrak memindahkan dan menaiktaraf pengkalan udara di seluruh Malaysia.

1MDB juga telah menggunakan wang yang diperuntukkan kerajaan untuk dibayar kepada anak syarikat LTAT untuk membayar faedah pinjamannya. Saya telah ditahan, dibicarakan dan berdepan dengan hukuman penjara mandatori akibat membawa isu ini.

Saya juga telah disaman oleh LTAT dan kes ini sedang berjalan di mahkamah. Malangnya, saya tidak melihat apa-apa perubahan kepada nasib pesara tentera. Masih ramai pesara yang baru meninggalkan perkhidmatan yang terpaksa menunggu berbulan (kalau bukan bertahun) untuk mendapatkan wang caruman mereka.

Alasan yang diberikan oleh LTAT atau UGAT samalah seperti cuba mencuci tangan tanpa menyelesaikan masalah ini. Dividen LTAT bagi tahun 2015 adalah yang paling rendah sejak dalam sejarah. Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak pernah memberi maklumbalas mengenai perkara-perkara ini setiap kali saya menimbulkannya. Pada masa yang sama, saya terus menerima aduan kelewatan pembayaran dari pesara-pesara melalui borang bitly.com/pesaratentera .

Terbaru, saya akan mengemukakan 95 lagi senarai pesara-pesara yang belum menerima bayaran caruman mereka kepada LTAT dan UGAT untuk diselesaikan segera kerana mereka telah menunggu lama untuk mendapatkan hak mereka. Pesara tentera adalah antara kumpulan pengundi Melayu yang paling berpengaruh di dalam masyarakat walaupun mereka jarang menyedarinya. Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) mengaggarkan terdapat sekitar 450,000 veteran tentera dan setiap tahun secara purata seramai 5,000 askar akan tamat perkhidmatan.

Jika setiap veteran mempunyai keluarga (isteri dan anak-anak) seramai 4 orang, maka terdapat sekitar 1.8 juta pengundi yang rata-ratanya Melayu dari kalangan veteran tentera. Oleh kerana saya juga sedar saya mungkin mempunyai masa beberapa bulan sahaja lagi sebelum dijatuhkan hukuman penjara, saya telah umumkan bahawa hal ehwal kebajikan pesara tentera adalah antara agenda utama saya.

Selain dari membicarakan mengenai kebajikan veteran, saya juga akan mengupas dan mendedahkan perkara-perkara berikut:

 1. Keadaan pengkalan tentera dan kemudahan tentera yang diabaikan atau dikomersilkan seperti mana projek Bandar Malaysia oleh 1MDB

2. Prospek pelaburan jangka pendek dan sederhana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)

3. Keupayaan kerajaan menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan dan kebajikan kepada rakyat keseluruhannya

Saya akan melawat setiap kem tentera yang besar di seluruh Malaysia dan akan memenuhi jemputan kumpulan-kumpulan pesara tentera yang menjemput saya berdialog dengan mereka melalui satu program yang diberi nama Hargai Perajurit: Misi Angkat Kebajikan Perajurit. Dialog pertama akan diadakan di Setiawangsa iaitu berdekatan kem tentera utama di Lembah Klang pada hari Rabu, 7 September 2016 jam 9 malam di Jalan 24/56, Keramat Wangsa, Kuala Lumpur dan akan disertai oleh YB Laksamana (B) Imran Abdul Hamid, YBhg Brig Jeneral (B) Dato’ Abdul Hadi Khattab dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad selain saya sendiri.

Saya akan umumkan tarikh bagi dialog di Lumut, Butterworth, Kuantan, Telok Kemang dan kem-kem lain dari semasa ke semasa.

Saya juga mencabar bekas-bekas jeneral dan pegawai berpangkat tinggi dalam tentera untuk turut sama hadir bagi membuktikan kepedulian mereka kepada nasib anak buah mereka yang diabaikan selama ini. Saya yakin undi protes paling besar terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak akan bermula dari kumpulan keluarga veteran tentera yang berjumlah 1.8 juta orang ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...