Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 20 Jun 2019

Presiden PAS Sindir PKR Kerana 'Simpan' Pemimpin Terlibat Skandal Sekks.

THE MALAYSIAN INSIGHT | PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang menyindir PKR kerana masih tidak bertindak ke atas individu yang mengaku terlibat dalam skandal seks terbaharu melibatkan parti reformasi itu.
 

 
Kata Abdul Hadi, sekiranya kes itu melibatkan PAS, beliau bukan sahaja akan meletak jawatan tetapi turut membubarkan parti andai terdapat anggota yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

“PAS tolak pemimpin parti politik yang amalkan aktiviti tak bermoral. Kita tak mahu sebut nama. Siapa makan cili dia rasa pedas. Kalau sayalah anak buah saya macam ini, saya akan letak jawatan.

“Bubar sahaja parti… Pada kita, moral teras dalam parti dan jemaah. Ini yang memelihara jati diri kita, boleh rebah bangun dalam pilihan raya, tapi tidak rebah dalam perjuangan,”
katanya.

Dalam ucapan di Muktamar PAS di Gambang Kuantan, Hadi berkata PAS juga akan memecat mana-mana pimpinan yang mengamalkan aktiviti tidak bermoral.

“PAS tidak teragak-agak pecat mana-mana pimpinan tidak bermoral, bukan macam parti yang anggap moral perkara enteng dan ringan, apatah lagi terlibat aktivitinya begitu,” katanya.

Walau tidak menyebut nama, kenyataan itu jelas ditujukan kepada PKR yang kini dibelit kontroversi ekoran skandal seks yang didakwa melibatkan timbalan presiden parti itu, Azmin Ali.

Dua kem dalam parti tersebut kini berbeza pandangan kerana PKR masih belum memecat individu yang mendakwa melakukan seks dengan Azmin, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Azmin menafikan tuduhan skandal seks tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

PKR bagaimanapun masih tidak memecat Haziq atas tuduhan yang mencemar imej Azmin dan juga parti, dan hanya memberi tempoh 14 hari kepada pemuda tersebut untuk menjelaskan tindakannya.

Keputusan itu ditolak oleh kalangan penyokong Azmin yang mendesak agar Haziq segera dipecat atas tindakan itu.

Tuduhan skandal seks itu bermula pada Selasa minggu lalu apabila tiga video seks disebarkan melalui WhatsApp.

Haziq tampil pada keesokan harinya dan mengaku dirinya sebagai pelaku dalam rakaman tersebut. Beliau juga mendakwa Azmin merupakan individu dalam rakaman itu.

Azmin yang menafikan perkara itu juga mendakwa, tuduhan skandal seks tersebut dirancang oleh pihak tertentu dalam PKR. - 20 Jun 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...