Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 17 Jun 2019

Anak Musa Aman Kini Ahli PPBM..

POLITIK | Ahli Parlimen Sipitang, Hafez Yamani Musa yang juga anak bekas ketua menteri Sabah Musa Aman sudah menjadi ahli Bersatu sejak Januari tahun ini lapor portal The Malaysian Insight semalam. 



Laporan itu menyebut, perkara itu disahkan oleh ketua parti negeri Hajiji Mohd Noor.

“Ya, beliau sudah menyertai Bersatu. Tidak silap saya, beliau menyertai parti sejak Januari, sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen pada 7 Januari tahun ini,” katanya kepada wakil portal TMI.

Hajiji juga dilaporkan enggan mengulas mengapa keanggotaan Hafez dirahsiakan.

Untuk rekod, Hafez yang mengikut ayahnya ke London lewat mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Sipitang.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Sipitang di bawah tiket Umno semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

Nama beliau termasuk dalam senarai ahli Parlimen Sabah dan Adun yang keluar daripada Umno pada 9 Disember tahun lepas, tetapi tidak pernah menjadi ahli Parlimen bebas seperti dilaporkan.

Hajiji yang merupakan Adun Sulaman dan Adun Karanaan Masidi Manjun, bersama Ahli Parlimen Dr Ronald Kiandee (Beluran), Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beafort), serta Senator John Ambrose dan Abdul Ghani Mohamed Yassin merupakan antara bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu pada 15 Mac.

Mereka menerima kad keahlian daripada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Dalam perkembangan yang sama, Hajiji enggan mengulas sama ada bekas ketua Perhubungan Umno Sabah Musa Aman akan menyertai Bersatu tidak lama lagi.

“Saya fikir anda perlu bertanya perkara itu dengannya,” katanya.

Sumber rapat dengan pemimpin itu berkata, Musa tidak lagi berminat untuk terus bersama Umno, dan memberi perhatian kepada Bersatu sebagai platform untuk membuat kemunculan semula dalam politik.

Bagaimanapun, sumber itu berkata dakwaan mahkamah terhadapnya mungkin menyaksikan Musa berdepan kesulitan untuk menyertai Bersatu.

Musa kini menghadapi 51 pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah semasa beliau menjadi ketua menteri Sabah. - 17 Jun 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...