Beberapa hari lalu, Petronas dan syarikat usahasama mereka termasuk syarikat Shell telah mengumumkan keputusan mereka untuk meneruskan pelaburan membina dua loji pemprosesan dan saluran gas sepanjang 670km di Kanada untuk diekspot - terutama kepada rantau Asia.
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau mengumumkan bahawa pelaburan ini merupakan pelaburan asing terbesar dalam sejarah bagi negara itu.
Walaupun kerajaan PH kita kelihatan tidak menghebohkan berita ini tetapi ini ialah sesuatu pengumuman yang amat signifikan buat Malaysia.
Syarikat Petronas memiliki 25% saham dalam pelaburan itu dan turut memiliki syarikat gas Progress Energy di Kanada selepas Petronas membeli syarikat ini sepenuhnya pada tahun 2012.
Syarikat Progress Energy ini mempunyai rizab gas antara yang terbesar di Kanada dan sudah pun mengeluarkan gas bagi jualan tempatan. Rizab gas dan minyak Kanada sebenarnya jauh lebih besar dari Malaysia.
Apabila loji dan saluran gas LNG Canada siap, Progress Energy akan mempunyai kemampuan menjual gas ini di rantau Asia di mana harganya lebih tinggi.
Kini, Petronas memiliki pelaburan terbesar di Kanada dan syarikat yang memiliki rizab gas yang antara terbesar di Kanada tetapi rakyat Kanada tidak pun menuduh bahawa negara mereka telah dijual atau tergadai kepada Malaysia.
Saya ada memain peranan di peringkat hubungan antara kerajaan (G to G) untuk meyakinkan kerajaan Kanada tentang keikhlasan dan kemampuan Petronas tentang pelaburan-pelaburan mereka.
Sepanjang tempoh saya menjawat sebagai Perdana Menteri, saya amat yakin bahawa Petronas perlu diberikan ruang untuk terus menjadi antara syarikat petroliam terbesar di dunia dan tidak hanya bergantung kepada rizab petroliam kita di Malaysia, yang suatu hari nanti akan habis.
Pada masa itu, saya tidak campur tangan di dalam urusan Petronas dan tidak memanggil Petronas untuk melabur di dalam sektor-sektor ataupun projek-projek yang tidak berkenaan dengan industri dan halatuju mereka.
Saya juga berhati-hati dengan tidak menekan Petronas untuk membayar wang yang berlebihan kepada kerajaan. Oleh itu, rizab wang tunai Petronas pada akhir bulan Jun 2018 dilaporkan sebanyak RM177 bilion - jauh lebih tinggi berbanding ketika saya mula menjawat jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Dengan projek RAPID di Pengerang yang baru-baru ini sudah mula beroperasi dan pelaburan besar mereka di Kanada, Petronas kini berada di landasan yang tepat untuk terus dibanggakan dan menyumbang kepada negara.
Tahniah Petronas! - 5 Oktober 2018.