Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 6 September 2018

Cukai Berasaskan Pendapatan Dicadang Dikenakan Ke Atas Peniaga Online - Kementerian Komunikasi.

Berita Harian | Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) akan mengadakan perbincangan terperinci dengan Kementerian Kewangan mengenai pelaksanaan cukai terhadap perniagaan dalam talian.

 
Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith, berkata cadangan mengenakan cukai kepada peniaga dalam talian itu adalah satu perkara yang baik kerana tiada pihak yang patut dikecualikan daripada membayar cukai.

Menurutnya, cukai adalah sebahagian daripada tanggungjawab rakyat yang juga sumbangan kepada pendapatan kerajaan.

“Cukai yang dimaksudkan, saya percaya adalah cukai yang berasaskan kepada pendapatan dan ini perkara biasa yang juga tanggungjawab kepada semua.

“Tiada sebab untuk mana-mana pihak dikecualikan daripada membayar cukai kepada kerajaan melainkan dalam kedudukan atau perkara yang dibenarkan secara jelas oleh undang-undang,”
katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Perak di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Perak, Sabri Mansor.

Menurutnya, perkembangan perniagaan dalam talian ketika ini yang menunjukkan prestasi atau peningkatan yang baik turut menjadikan pelaksanaan cukai itu bukan suatu tindakan salah.

“Ramai yang sudah berjaya dalam perniagaan ini dan bukan menjadi satu perkara yang salah atau membebankan untuk mereka menyumbang dan sumbangan ini adalah untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Ditanya jika ada kadar tertentu pendapatan perniagaan dalam talian yang akan dikenakan cukai, Eddin berkata seperti juga cukai pendapatan yang dikenakan kepada individu, pasti akan ditetapkan berapa jumlah minimum dengan formula yang bersesuaian.

Beliau berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap perniagaan dalam talian, pihaknya akan menjelaskan kedudukan dan mekanisme bagaimana cukai itu akan dilaksanakan.

“Tetapi apa pun secara dasarnya, perkara ini saya yakin akan dibincangkan secara terperinci dengan Kementerian Kewangan untuk sama-sama memperjelaskan bentuk dan cara pelaksanaan cukai kepada peniaga dalam talian ini,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara semalam dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan cukai terhadap perniagaan yang dijalankan secara dalam talian.

Sementara itu, bercakap mengenai lawatannya, beliau memberi amanat kepada warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) agar terus memainkan peranan sebagai mata, lidah dan telinga kerajaan dalam menyampai dan menjelaskan isu semasa. - 6 September 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...