Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 20 Jun 2018

Pakatan Harapan, Jangan Mudah Menerima Kemasukan 'Ahli Fake'.

Oleh : Haris Alimudin

Antara punca kekalahan Umno ialah kerana mereka sering diberikan gambaran palsu atau 'fake'. Orang bawah memberikan sokongan 'fake' kepada ketua cawangan. Ketua cawangan mahukan sokongan walaupun dia terpaksa mewujudkan ahli yang 'fake' untuk mewujudkan keyakinan kepada Ketua Bahagian. Ketua Bahagian, dengan sokongan-sokongan yang 'fake' ini kemudianlnya mengkhabarkan kepada pemuka-pemuka Umno inilah hakikat kekuatan Umno kononnya yang kemudiannya mengangkat pula berita baik ini kepada kepala segala pemuka, Presiden parti.


Akhirnya bila sekutu-sekutu tersungkur, menarik turun bersama Umno dari takhta kekuasaan, para penyokong yang 'fake' ini tanpa rasa berdosa memburaikan ikatan mereka dari Umno, yang tinggal beberapa kerat ahli yang asli dan bukan 'fake'.

Di dalam Dun Sungai Sibuga, kawasan bekas Ketua Menteri Sabah, terdapat dua cawangan yang mempunyai ahli Umno teramai di Malaysia, setiap satu cawangan mempunyai lebih dari 2000 ahli berdaftar. Selepas runtuhnya dinasti BN, dan hilangnya Ketua Menteri dari dalam negeri, cawangan yang teramai ahli ini tidak mampu berbuat apa-apa, hanya menanti menanam nisan di kubur sendiri.

Ahli yang beribu ini adalah ahli 'fake', yang mengisi borang parti dengan kepentingan, sama ada untuk mendapatkan bantuan BR1M, peruntukan pembaikan rumah, rumah PPR, menjadi anggota RELA, kontraktor kelas F, dan berbagai alasan lainnya. Malahan lagi ramai yang tidak tahu pun mereka sudah menjadi ahli parti Umno, entah siapa yang mengisi borang keahlian, tahu-tahu sahaja sudah menerima kad keahlian keris bersilang. Mereka ini adalah sejumlah besar yang menjadi ahli Umno, dan bila Umno tidak boleh memberikan apa-apa kepentingan maka keahlian Umno juga tidak memberikan apa-apa nilai material lagi. Maka bertebaranlah mereka mencari habitat baru untuk terus hidup. Broker ahli parti juga sedang sibuk mengisikan borang keahlian parti baru yang sedang berada di tampuk kuasa. Cawangan dan Kawasan baru tumbuh bak cendawan selepas hujan di malam hari.

Nasib Umno dan BN adalah sejarah hidup yang banyak pengajarannya. Parti-parti yang sedang menjadi kerajaan mungkin mengulangi cerita dan nasib malang yang sama. 

Selepas menang ini, jika pisang goreng panas yang laku direbuti orang dijadikan perumpamaan, maka seperti pisang goreng panaslah borang keahlian parti. Berbondong-bondong manusia mahu menjadi ahli parti, mahu sama-sama membina kerajaan baru, dan mengisi kemenangan, kononnya.

Sebuah parti politik yang mahu kekal relevan, tidak boleh menafikan bahawa ia perlu berkembang, memperamai ahli, memperbanyak cawangan dan kawasan. Maka tidak boleh juga menghalang kemasukan secara pukal. Tetapi tidaklah juga boleh menjadi tong sampah yang menerima semua. 

Soalan "Kenapa baru sekarang?" harus dijernihkan. Kenapa tidak ketika kami menjadi parti nyamuk yang nyawanya diramal hanya 2 tahun paling lama? Kenapa tidak ketika kami dihenyak kiri dan kanan oleh parti lawan dan parti kawan? Kenapa tidak ketika kami memacak bendera di malam hari hanya untuk hilang di pagi hari? Dan soalan terakhir "Apakah kamu masih mahu menjadi kami, jika kami kalah di dalam pilihanraya lepas?".

Parti ini bukan ladang menanam benih segera kemahuan materi, untuk dituai demi kepentingan sendiri. Ia ada batas-batas perjuangan yang perlu digembur, ditanam dengan benih terbaik, dijaga dengan baja dan racun rerumpai sepanjang waktu, nantinya baru buahnya akan dinikmati hasilnya. Ia memerlukan tempoh yang lama, dan dalam selang waktu itu, tidak semua benih akan tumbuh subur, ada yang mati diserang serangga perosak, ada yang dirodok babi hutan, ada yang dimatikan kerana mandul. Hanya yang bertahan akan meneruskan hidup.

Sejarah Umno janganlah diulang, cukup diambil teladan. Pemimpin di peringkat atasan jangan kerana berkehendak jawatan, maka dihimpunkan ahli-ahli 'fake' sebagai bukti kekuatan. Kemenangan kita bukan kerana ahli yang beribu, walau sedikitnya yang bersama, tetapi yang sedikit itulah telah teruji setianya. Jangan hanya kerana guruh di langit kedengaran menggiurkan, isi di tempayan ditumpahkan...

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...