Perkara itu didedahkan oleh The Star dalam satu laporan khas oleh akhbar itu pada khamis.
Menurut laporan The Star, ahli perniagaan warga Bangladesh itu dakwanya mempunyai kaitan dengan kemasukan lebih dari 100,000 pekerja Bangladesh ke Malaysia! Satu jumlah yang sangat besar dan dipercayai ia adalah perniagaan monopoli.
Ahli perniagaan itu juga dikatakan telah berkahwin dengan seorang wanita warga Malaysia dan menjadi orang tengah penting yang memastikan perjanjian kerajaan antara kerajaan yang ditandatangani Malaysia dan Bangladesh pada 2016 yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional dahulu.
Perjanjian itu membolehkan hanya 10 syarikat Bangladesh untuk merekruit pekerja ke Malaysia, dan mengaut keuntungan selaku orang tengah, kata sumber tidak dinamakan kepada The Star.
The Star juga melaporkan setiap pekerja perlu membayar RM20,000 kepada ejen di kampung masing-masing yang akan menggunakan sekurang-kurangnya dua lagi orang tengah sebelum sampai ke ejen tempatan yang dilantik kerajaan Bangladesh.
Separuh daripada jumlah wang berkenaan akan masuk ke kocek sindiket yang mengatur penerbangan dan permit kerja pekerja ke Malaysia.
Sumber menyebut ia sudah berlaku sejak hujung 2016, dan 100,000 lagi pekerja masih menunggu giliran mereka untuk masuk Malaysia.
“Datuk Seri itu juga berkongsi jumlah wang tersebut dengan ahli politik dan kakitangan kerajaan kedua-dua negara,” kata sumber dipetik akhbar itu.
Bagi memastikan kelancaran operasi dan melindungi kepentingan 10 syarikat terbabit, ahli perniagaan itu menubuhkan sistem pendaftaran dalam talian dikenali sebagai “Sistem Perkhidmatan Pekerja Asing (SPPA)” bagi fungsinya hanyalah untuk memudahkan pengambilan pekerja Bangladesh.
SPPA digerakkan oleh sebuah syarikat swasta, Bestinet Sdn Bhd, yang dilaporkan milik bekas menteri dalam negeri Azmi Khalid yang juga membangunkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang digunakan Jabatan Imigresen untuk permohonan visa pekerja asing.
“Majikan diperlukan untuk membayar RM305 untuk setiap pekerja yang digaji dari Bangladesh di bawah SPPA. Wang yang dikutip adalah upah perkhidmatan disediakan Bestinet untuk penyerahan pekerja kepada majikan mereka menerusi 10 syarikat itu,” kata sumber.
Sebelum SPPA dan orang tengah wujud, pekerja yang datang ke Malaysia hanya perlu membayar antara RM7,000 dan RM8,000 seorang, lapor The Star lagi memetik kenyataan Chirara Kannan, pemilik syarikat perunding perkhidmatan untuk beberapa majikan.
“Ia malahan menjadi semakin teruk apabila sesetengah majikan meminta komisen dari pihak ejen apabila menyedari pihak pekerja (warga asing) telah membayar sejumlah wang yang begitu tinggi semata-mata mahu bekerja di Malaysia.
Beberapa majikan menerima sekurang-kurangnya rm1,500 untuk setiap pekerja yang digajikan oleh pihak mereka," kata Chirara Kannan lagi.
Lihat sahaja carta yang disediakan oleh The Star dibawah ini;
i) Pekerja Bangladesh membayar rm20,000 untuk masuk bekerja di Malaysia.
ii) Agen pertama mendapat 2,500
iii) Agen kedua mendapat 2,500
iv) 10 syarikat yang diberikan tauliah untuk menguruskan kemasukan warga asing diberikan bayaran rm10,000
v) Agen Malaysia diberikan bayaran rm3,000 per kepala
vi) Kos tersembunyi rm2,000 (contohnya seperti bayar komisen kepada majikan yang dah tahu rahsia agen dan sebagainya).
Sebab itu bilangan warga asing khususnya dari Bangladesh bertambah ramai dari sehari ke sehari ini kerana kemasukan mereka bukan lagi berdasarkan kepada permintaan majikan ataupun tawaran pekerjaan sebaliknya ia adalah mengenai tentang wang dan pemerdagangan manusia! - 23 Jun 2018.