Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 23 Mei 2018

SPRM Rampas Wang Tunai Lebih RM500k, 20 Jam Tangan Dari Rumah MP Baling Datuk Abdul Azeez.

Dengan kemaskini. 23 Mei @ 2 Petang.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan ke atas rumah dan pejabat Ahli Parlimen Baling yang juga Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, malam tadi lapor Berita Harian.



Pengarah SPRM Perlis, Mohd Shukor Mahmud, ketika dihubungi hari ini mengesahkan serbuan berkenaan.

"Tindakan oleh SPRM Putrajaya, SPRM Perlis hanya membantu. Saya tidak pasti sama ada Azeez ditahan atau tidak.

"Kes apa beliau disiasat, itu kena rujuk Putrajaya. Kes ini bawah Putrajaya, boleh rujuk Pengarah Kanan (Siasatan),"
katanya.

Sementara itu, menurut sumber, serbuan berkenaan adalah untuk membantu siasatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"SPRM Putrajaya dengan dibantu SPRM Perlis menyerbu rumah dan pejabat di Baling, malam tadi.

"Difahamkan, kes berkenaan dibawa ke Putrajaya untuk siasatan lanjut,"
katanya. 


Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Rahim mengesahkan bahawa beberapa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah datang ke rumahnya semalam lapor Awani.

Kira-kira 10 anggota SPRM telah datang ke rumahnya sebelum memaklumkan kepada beliau untuk melakukan penggeledahan.

Kesemua pegawai SPRM itu hadir sekitar jam 1 petang semalam.

Azeez dipetik sebagai berkata oleh Awani memberitahu, daripada penggeledahan tersebut, pegawai SPRM turut merampas barang kemas milik isterinya serta wang tunai.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jumlah wang tunai yang dirampas oleh SPRM.

Azeez berkata, beliau bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM jika diperlukan.

“Saya sedia pada bila-bila masa sahaja untuk membantu dan memberi kerjasama kepada SPRM dalam sebarang siasatan.

"Saya tiada apa yang hendak disembunyikan. Sebenarnya saya sudah duga ini akan berlaku memandangkan nama saya memang disebut,"
katanya dalam laporan Awani itu.

Terdahulu, SPRM pada Selasa melancarkan serbuan serentak di lima lokasi berbeza melibatkan kediaman dan juga pejabat Abdul Azeez.

Menurut sumber, serbuan dilakukan di kediaman beliau di Subang, Selangor dan Baling, Kedah.

Selain itu, SPRM turut membuat pemeriksaan di salah sebuah pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

SPRM turut merampas wang tunai hampir RM500,000, lebih 20 jam tangan, dan lebih 20 mata wang asing pelbagai negara antaranya Taka (Bangladesh), Rufiya (Maldives), Riyal (Arab Saudi) dan juga Pound Sterling dengan nilai tukaran sekitar RM1.2 juta.

Difahamkan serbuan yang bermula 12.30 tengah hari itu dilakukan bagi membantu siasatan berhubung lantikan kontraktor melibatkan projek seliaan Tabung Haji.
 - 23 Mei 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...