Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 21 Mei 2018

Kenapa Najib Simpan Wang Tunai, Jongkong Emas, Permata Berlian Di Tempat Mudah Dijumpai - A. Kadir Jasin.

Oleh : A Kadir Jasin
ADA pandangan dangkal daripada golongan otak udang mengatakan tindakan menggeledah kediaman-kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, dalam bulan Ramadan tidak baik.
Kepada Mamat-Mamat ini saya bertanya: Adakah perbuatan salah yang mencetuskan skandal bilion ringgit 1Malaysia Development Berhad selama satu dekad itu berhenti pada bulan Ramadan?


Adakah orang curi ayam, larikan peti duit masjid dan mengendap perempuan mandi ketika Ramadan tidak boleh diambil tindakan?
Pakatan Harapan (PH) telah menjanjikan ruang bahas dan hak bersuara yang lebih luas. Tolonglah jangan gunakan ruang yang lebih besar ini untuk membuat kenyataan dangkal dengan berselindung di sebalik agama dan kemanusiaan.
Daripada apa yang dilaporkan oleh media massa, khususnya media massa milik Umno, mengenai penemuan di kediaman-kediaman Najib itu, jelaslah yang dia tidak sedikit pun takut kepada undang-undang.
Mustahil bagi sesiapa pun mempercayai bahawa wang tunai, jongkong emas, permata berlian, jam tangan mewah dan beg tangan mahal yang ditemui itu adalah kekayaan turun temurun Najib dan UW isterinya, Rosmah Mansor.
Kalau dia takutkan undang-undang dan pembalasan, dia tentulah tidak menyimpan begitu banyak kekayaan peribadinya di tempat-tempat yang boleh dijumpai. Tetapi itulah yang berlaku.
Ini menimbulkan persoalan adakah Najib percaya bulat-bulat kepada konco-konconya yang dengan angkuh mengatakan Barisan Nasional akan memang besar dalam pilihan raya umum (PRU) 9 Mei maka dia tidak membuat persediaan untuk menyelamatkan dirinya?
Noh Omar berjanji akan merampas balik Selangor. Mahdzir Khalid kata BN akan kekalkan Kedah. Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, (Tan Sri) Irwan Serigar Abdullah, begitu yakin Dr Mahathir akan kalah di Langkawi sehingga dia naik pentas menari macam burung cenderawasih jantan ketika berkempen di pulau itu.
Daripada pemantauan kita ketika PRU dan dari sesi penyiasatan oleh Majlis Penasihat Council of Elders, kita ketahui dan mengenal pasti ketua-ketua jabatan kerajaan, ketua-ketua eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan eksekutif perbadanan awam yang berkempen bagi pihak BN.
Mereka inilah yang memesong dan meyakinkan Najib yang dia tidak perlu berbuat apa-apa kerana BN akan memang besar.
Kita ucapkan terima kasih kepada mereka kerana atas maklumat palsu mereka itulah Najib terus menyimpan harta karun yang luar biasa banyaknya itu di dalam negara.
Apa yang akan terjadi kepada Najib seterusnya sudah boleh diagak.
Kecuali dia lari kerana kecuaian kita atau dijadikan “invisible man” oleh pawang buaya dan bomoh Sri Lanka, dia terpaksa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) di Putrajaya Selasa ini.
Kemungkinan besar ketika itu – macam kawan baiknya, bekas Pengerusi Felda (Tan Sri) Mohd Isa Abdul Samad – dia akan ditahan, dibawa ke mahkamah untuk dikenakan reman dan dipakaikan kemeja-T oren SPRM.
Itu permulaan saja. Jemputan ke Ibu Pejabat SPRM bukan berkaitan 1MDB tetapi berkaitan SRC International Sdn Bhd. Berbanding 1MDB, skandal SRC kecil.
Syarikat milik Kementerian Kewangan ini pinjam RM4.4 bilion duit pencen kakitangan awam daripada KWAP kononnya untuk melombong arang batu di Mongolia, negeri Antantuya Shaariibuu.
Kemungkinannya Najib akan didakwa di mahkamah atas tuduhan menerima atau menggunakan duit SRC untuk tujuan peribadi. Jumlah duit RSC yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib dianggarkan antara RM40 juta hingga RM70 juta.
Soalnya sekarang ialah, kalau Najib mempunyai begitu banyak duit, jongkong emas dan intan permata di dalam negara, bayangkan banyak mana pula yang sudah pun dibawa keluar atau yang dibeli dan disimpan di luar negara.
Sebab itu amat penting kerajaan baru memulakan proses membawa balik harta curi 1MDB dengan meminta bantuan negara-negara yang sudah pun menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang terbabit menyamun duit 1MDB dan membersihkannya di luar negara.
Harap-harap dengan tindakan pantas PDRM dan SPRM itu, saga SRC dan 1MDB dapat ditamatkan, yang bersalah dihukum dan harta yang dicuri itu diperoleh semula.
Siapa yang menabur angin dialah yang akan menuai badai.
Wallahuaklam.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...