Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 20 Mei 2018

Najib Dakwa Polis Makan Coklat, 'Selongkar' Peti Ais, Minta Makanan & Ini Respon Amar Singh.

Peguam Najib Razak, Harpal Singh Grewal, mempersoalkan sikap sesetengah polis yang menyelongkar peti ais rumah Najib dan memakan coklat yang terdapat di dalamnya.

Harpal Singh Grewal
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Harpal mewakili anak guamnya yang kesal dengan cara tidak bertanggungjawab pihak berkuasa itu ketika melakukan serbuan ke rumah Najib bagi mendapatkan bahan bukti berkaitan kes 1MDB. 

Selain didakwa makan coklat, terdapat pihak polis yang meminta keluarga Najib menyediakan makanan untuk anggota polis yang sedang melakukan serbuan dan penyitaan di rumah Najib ketika itu.
"(Ia) dicerminkan dengan cara kakitangan polis yang makan makanan dan coklat di dalam peti sejuk serta kemudiannya meminta makanan disediakan untuk mereka.
"Publisiti yang meluas sekitar rampasan itu yang sebenarnya hanya barangan peribadi kepunyaan anak-anaknya telah menyebabkan penghinaan yang teruk dan memalukan kepada keluarga tersebut."
Najib juga mempersoalkan polis yang merampas barangan kepunyaan anak-anaknya yang dakwanya tidak terlibat dalam kes 1MDB.

Polis didakwa merampas barangan yang terdapat di dua unit kondominium Pavilion Residence yang didiami oleh dua anak Najib, iaitu Ashman dan Nooryana Najwa.

"Najib ingin menyatakan kekecewaan beliau terhadap penyitaan barangan peribadi sewenang-wenangnya di kedua-dua premis berkenaan," kata Harpal dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada pemberita di luar kediaman Najib di Jalan Langgak Duta pada sabtu.

Menurut peguam itu antara barangan peribadi Ashman yang dirampas ialah jam tangan dan komputer riba, selain pakaian, kasut serta pakaian bayi milik Nooryana.

Kata Harpal Singh tiada cubaan dibuat bagi mengesahkan sama ada pakaian, kasut serta baju bayi itu ada kaitan dengan siasatan yang dijalankan.

"Kedua-dua mereka tidak ada sebarang kaitan dengan 1MDB atau syarikat yang sedang disiasat," katanya.

Harpal Singh berkata kedua-dua anak anggota parlimen pembangkang itu berhak untuk memiliki pakaian dan kasut berkenaan, sama seperti orang lain.

Barangan milik Ashman, kata Harpal Singh, digunakan oleh anak Najib itu untuk bekerja.

"Setakat yang Gina (Nooryana) tahu, barang (yang dirampas itu) sebahagiannya adalah hadiah perkahwinan," katanya.
Harpal turut berkata kedua-dua anak Najib merayu Jabatan Siasatan Jenayah Komersil untuk 'secepatnya memulangkan kesemua barangan peribadi dan mengelakkan untuk terus memalukan serta mendatangkan kesedihan kepada keluarga ini'.
Dalam satu respon segera kepada Najib, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata tindakan tegas akan diambil terhadap anggota pasukan polis yang dikatakan 'menyerbu' peti sejuk salah seorang anak bekas perdana menteri, jika tuduhan tersebut terbukti benar.

"Mengenai tuduhan permintaan 'menyediakan makanan' dan anggota polis 'makan coklat dan makanan dari peti sejuk', saya meminta agar butiran lebih lanjut disediakan mengenai kejadian yang berlaku dan juga mengenal pasti, jika mungkin, anggota polis yang terbabit.

"Saya tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku tidak profesional dan tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang terlibat dengan melanggar prosedur operasi polis kami, jika tuduhan itu benar,"
kata Amar Singh dalam satu kenyataan yang tersiar di halaman rasmi Polis Diraja Malaysia - Facebook pada sabtu.


"Merujuk dakwaan membocorkan gambar serbuan di sosial media, bagi memastikan proses waran geledah dijalankan secara profesional dan mengelak gambar di lokasi kejadian (tempat siasatan) bocor dan tular di laman sosial seterusnya mengakibatkan perbicaraan 'media sosial', anggota diarahkan untuk tidak membawa sebarang telefon bimbit bagaimanapun arahan tersebut terkecuali ke atas ketua dan timbalan ketua namun kebenaran menggunakan telefon hanya terhad untuk tujuan komunikasi.
Gambar-gambar dan segala jenis rakaman video hanya boleh dilakukan oleh jurugambar rasmi pasukan PDRM," jelas Amar Singh yang menjawab kenyataan peguam Rosmah mengenai kebocoran gambar barangan sitaan.
Polis juga mahu pihak yang mendakwa gambar-gambar barangan sitaan yang bocor di laman sosial menyediakan maklumat berkaitan gambar yang didakwa tular, jika ada bagi membolehkan polis menjalankan siasatan untuk mengenalpasti jika gambar tersebut disebarkan oleh pihak polis atau ahli keluarga dan kenalan rapat Najib yang turut berada di kediaman Najib ketika proses waran geledah dilakukan.
Jika terbukti wujud sebarang salahlaku, tindakan tegas akan diambil kata Amar Singh lagi. - 20 Mei 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...