Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 2 April 2018

KeTTHA Nafi Enggan Serah Loji Langat Kepada Selangor, Dakwa Azmin Berbohong.

Kenyataan Media

KENYATAAN BALAS KeTTHA TERHADAP DAKWAAN MENTERI BESAR SELANGOR BAHAWA KERAJAN PERSEKUTUAN ENGGAN MEMBUAT SERAHAN SEPARA LOJI RAWATAN AIR LANGAT 2 KEPADA PENGURUSAN AIR SELANGOR SDN BHD.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) ingin merujuk kepada dakwaan YAB Menteri Besar Selangor yang dibuat ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor bahawa Kerajaan Persekutuan enggan menyerahkan Loji Rawatan Langat 2 (LRAL2) kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).



KeTTHA dengan sekeras-kerasnya menafikan dakwaan YAB Menteri Besar Selangor mengenai perkara ini. Apa yang diputuskan Jemaah Menteri pada 28 Februari 2018 ialah serahan separa LRAL2 oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) kepada Air Selangor hanya akan dibuat setelah Kerajaan Selangor memuktamadkan skim penstrukturan bekalan air di negeri berkenaan.

Kerajaan Persekutuan melihat penstrukturan bekalan air merupakan jalan terbaik bagi membolehkan PAAB membangunkan asset-aset air bagi menangani isu rizab margin air terawat yang rendah di Selangor iaitu antara 0% hingga 3%.

Dalam pada itu, adalah juga adil untuk PAAB, sebagai pemilik LRAL2, mengutip balik pelaburan berjumlah RM3.7 bilion bagi pembinaan loji ini melalui sewa pajakan yang akan dibayar oleh Air Selangor.

Kerajaan Selangor juga perlu komited untuk membayar balik pinjaman PAAB berjumlah RM1.6 bilion bagi pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Konsortium ABASS Sdn Bhd dan RM6 bilion Water Bond Selangor.

Kerajaan Selangor perlu segera bertindak untuk memuktamadkan penstrukturan semula bekalan air agar rakyat Selangor dapat menikmati air bersih berjumlah 565 JLH yang dibekalkan oleh LRAL2, sekaligus meningatkan rizab margin air terawat di Selangor.

Dalam pada itu, bekalan air di Selangor dapat diuruskan dengan lebih efisien melalui kawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta membolehkan Air Selangor, sebagai pemegang Lesen Perkhidmatan, dapat menumpukan perhatian kepada kecekapan operasi, kewangan dan peningkatan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Putrajaya.
1 April 2018

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...