PANDANGAN PERIBADI SAYA TENTANG UMNO
Terdapat dua kerosakan utama yang ada pada UMNO, yang sukar untuk diperbaiki atau hampir mustahil.
Pertamanya ialah lapisan bangsawan mereka. Maksud saya ialah kelompok yang memegang tampuk kuasa dalam UMNO, sejak dahulu, kini dan akan datang.
Mereka ini memang dipilih dan di'groom' sejak bangku sekolah dan universiti untuk mengambil alih tampuk kuasa dalam UMNO dan pemerintahan Malaysia. KJ pada saya termasuk dalam senarai ini.
Kita akan dapati pelbagai latar belakang pemimpin yang menyertai UMNO; nasionalis, liberalis, sosialis, sekularis, Islamis, 'opportunis' dan lain-lain.
Tetapi tampuk kuasa akan kekal di tangan sekularis versi nasionalis. Nasionalis, sama ada sememangnya dia benar-benar nasionalis, atau sekadar pendekatan pragmatis demi memenangi hati pengundi Melayu.
Kita tidak akan dapati Islamis berada di tampuk kuasa UMNO, kecuali sekadar orang kanan atau kiri yang membantu memberi imej Islamik.
Orang seperti Dr Asyraf Wajdi sebagai contoh, atau Islamis yang lebih hebat kepimpinan daripadanya, tiada laluan dan peluang untuk memasuki kelompok elit pemegang tampuk kuasa UMNO.
Kecuali jika Islamis bertukar jadi pragmatis dan sekularis. Itupun sekadar kemungkinan.
Oleh itu projek mendaulatkan Islam dan Melayu, dalam erti kata yang hakiki, bukan tempelan, tidak akan berlaku di tangan kelompok elit ini.
Kerosakan kedua ialah majoriti penjawat di bahagian dan cawangan yang telah di"didik" dengan duit dan projek kebendaan.
Tahap "pendidikan" itu sehingga menjadi seperti ayam daging yang tidak boleh hidup tanpa dedak walaupun bertenggek atas batang sagu yang tumbang.
Hidupnya UMNO bermakna berisi periuk nasi mereka. Matinya UMNO bermakna dapur mereka tidak berasap. Itu iktikad jazam mereka.
Selain itu, kebanyakan ahli di cawangan jahil tentang Islam yang syumul. Islam pada pendirian mereka sekadar budaya hidup orang Melayu. Urusan pemerintahan terserah kepada kebijaksanaan sipemegang tampuk kuasa dalam UMNO. Islam terserah pada keputusan mereka yang elit itu. Ahli mengikut saja.
Majoriti penjawat yang hidup dengan duit projek dicampur dengan majoriti ahli yang jahil tentang Islam, membentuk sebatian budaya kepengikutan buta tuli yang hampir mustahil dirungkai. Sebatian inilah yang bebas diuli oleh kelompok elit penguasa UMNO.
Oleh sebab itu, kita akan dapati sebahagian kecil orang-orang UMNO yang walaupun mereka begitu jinak di masjid dan kelihatan warak, tetapi hati mereka tetap utuh memberi wala' kepada pucuk pimpinan. Jinak merpati.
Manakala yang tidak jinak ke masjid pula, mereka ibarat telunjuk lurus kelingking berkait. Mereka merapati Islamis sekadar mahu kepentingan mereka sahaja.
Nota: Status ini sekadar pandangan peribadi tentang satu sudut UMNO (sudut kerosakan yang kronik) yang tidak memungkinkan UMNO diislah, apatah lagi diletak harapan untuk mendaulatkan Islam dengan kedaulatan yang hakiki.