Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 22 Jun 2017

GST Untuk Mee, Laksa, Ini Bukti Menteri Bentang Di Parlimen Bukannya Salah Kastam.

Oleh : Rafizi Ramli
GST KE ATAS 60 BARANG MAKANAN DIBENTANGKAN KEMENTERIAN KEWANGAN, KINI MENTERI CUCI TANGAN.
Saya terkejut membaca satu berita yang dilaporkan BERNAMA (dilaporkan kembali Malaysiakini di capaian http://www.malaysiakini.com/news/386158) yang memetik kenyataan Dato’ Seri Johari Ghani yang memberi gambaran keputusan menguatkuasakan kutipan GST ke atas 60 barang makanan adalah tindakan tergopoh gapah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja yang tidak dirujuk kepada Kementerian Kewangan terlebih dahulu.
Saya bersimpati dengan Ketua Pengarah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta seluruh kakitangan jabatan yang dengan terang-terang dikambing hitamkan atas keputusan yang tidak popular itu.
Sedangkan usul untuk meluluskan cadangan mengenakan GST ke atas 60 barang makanan itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan sendiri di sessi Dewan Rakyat yang lalu. Saya ingat kerana saya berada di dalam Dewan Rakyat ketika Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Wira Othman Aziz bangun membentangkan usul tersebut.
Untuk makluman orang ramai, proses untuk mewartakan senarai barang baru yang dikenakan GST adalah seperti berikut:
i. Akta Akta Cukai Barang Dan Perkhidmatan 2014 melalui subseksyen 17(5), subseksyen 18(3), subseksyen 56(2), subseksyen 160(2), subseksyen 163(2) dan subseksyen lain memberi kuasa kepada Menteri Kewangan menukar kadar standard GST (dari 6% ke kadar-kadar lain) serta mewartakan senarai barang baru yang dikenakan GST setiap tahun
ii. Menteri Kewangan akan membawa usul ke Dewan Rakyat untuk meluluskan agar cadangan senarai baru yang hendak dikenakan GST itu diluluskan menjadi Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan; yang setelah diluluskan Dewan Rakyat menjadi kertas statut
iii. Setelah menjadi kertas statut, maka menjadi tanggungjawab Jabatan Kastam dan Eksais menguatkuasakan Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan itu melalui pewartaan dan melaksanakan kutipannya
Sebab itu, adalah tidak bertanggungjawab bagi Dato’ Seri Johari Ghani menyalahkan Jabatan Kastam dan Eksais sedangkan Kementerian Kewangan yang pandai-pandai membentangkan dan mendapat kelulusan untuk mencukai 60 barang makanan ini.
Perkara ini dapat disahkan melalui dokumen-dokumen rasmi Dewan Rakyat seperti berikut:
1. Usul oleh Menteri Kewangan untuk meluluskan cadangan mengenakan GST ke atas 60 barang makanan ini dimasukkan di dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat bertarikh 4 April 2017 yang saya sertakan bersama.
2. Usul tersebut disenaraikan sebagai usul 6 yang berbunyi (rujuk Aturan Mesyuarat):
6. Menteri Kewangan akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan iaitu menurut kuasa yang ditetapkan padanya oleh subseksyen 17(5), subseksyen 18(3) dan subseksyen 56(2), subseksyen 160(2), subseksyen 163(2), Akta Cukai Barang Dan Perkhidmatan 2014 supaya Perintah Cukai Barang Dan Perkhidmatan yang dibentangkan di hadapan majlis ini sebagai Kertas statut, bilangan ST.17/2017, ST.18/2017, ST.19/2017, ST.20/2017 dan ST.21/2017 disahkan.”
3. Usul ini dibentangkan oleh Dato’ Wira Othman Aziz, Timbalan Menteri Kewangan seperti yang terkandung di dalam Hansard Dewan bertarikh 4 April 2017 yang disertakan bersama (rujuk mukasurat 209 Hansard Dewan yang mengesahkan Timbalan Menteri Kewangan membentangkan usul ini)
4. Timbalan Menteri Kewangan secara khusus menghuraikan mengenai barang-barang makanan yang akan dicukai seperti laksa kering, kue tiaw kering dan mi kuning kering seperti laporan Hansard Dewan di mukasurat 212 yang saya lampirkan bersama
Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan dan Dato’ Seri Johari Ghani sebagai Menteri Kewangan II perlu bertanggungjawab ke atas keputusan mengenakan GST kepada 60 barang makanan, walaupun ditarikh balik di saat akhir.
Adalah sangat tidak bertanggungjawab dengan mencuci tangan dan menyalahkan Jabatan Kastam dan Eksais setiap kali keputusan kerajaan mengutip GST dibantah rakyat, kerana keputusan mengutip GST itu datangnya dari Menteri Kewangan dan hanya dilaksanakan oleh Jabatan Kastam dan Eksais.
Saya mengesyorkan Dato’ Seri Johari Ghani meminta maaf kepada seluruh kakitangan Jabatan Kastam dan Eksais di seluruh negara.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...