Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 6 Mac 2017

Surat Terbuka Buat Salahuddin Ayub

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor. 

Saya merasa terpanggil untuk meninta warkah ini memandangkan Abang Din makin galak menyerang PAS, meremeh malah menista harakatul ummah ini seperti abang Din tak pernah bersama jamaah Islam ini. 

Salahuddin Ayub
Saya mengambil sikap memerhati gelagat abang Din agak lama, semenjak pasca Muktamar PAS ke-61, tidak terpilih semula sebagai Naib Presiden, diberikan jawatan lantikan sebagai AJK PAS Pusat namun ditolak. Abang Din dipujuk oleh Dato Tuan Ibrahim dan Ustaz Idris Ahmad untuk terus bersama PAS, namun tetap ditolak dengan alasan "orang PAS buang ana". 

Abang Din hanya kalah dalam pemilihan muktamar di mana setiap dua tahun sekali pemilihan diadakan oleh gerakan Islam ini untuk memilih barisan kepimpinan. Kalah dalam pemilihan, tidak bermakna dibuang oleh ahli-ahli. 

Ramai pimpinan PAS kalah dalam pemilihan sejak dahulu lagi, bahkan mereka jauh lebih berkompetensi, berilmu, pakej. 

Antaranya Ustaz Dato Harun Taib, Ustaz Hasan Shukri, Ustaz Dato Abu Bakar Chik, Ustaz Dato Tuan Ibrahim dan lain-lain nama besar dalam PAS. Adakah mereka merajuk, menyerang PAS atau menubuhkan wadah baru?. 

Saya menjadi saksi bagaimana figura-figura ini terus menyemai bakti pada jamaah tanpa lelah. Almarhum Ustaz Hasan Shukri sebagai contoh tanpa segan silu, dengan penyapu dan berbaju pagoda membersihkan Markas Tarbiah Taman Melewar, dengan senyuman khasnya terus menyemangati anak-anak muda untuk berjuang memenangkan Islam. 

Di malam hari almarhum hadir ke pelbagai tempat mengisi fikrah ahli-ahli PAS dengan kereta buruknya dipandu oleh amilin parti. Istiqomah almarhum sehinggalah nyawanya diambil pulang, ribuan yang menyolati jenazah mantan Ketua Pemuda PAS didikan Ikhwan Muslimin ini. Apakah lagi kesudahan yang membahagiakan dalam hidup ini, disolati dan didoakan oleh ribuan manusia?. 

Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik dan Almarhum Ustaz Harun Taib juga dengan jasa bakti yang sama kepada jamaah Islam. Mereka membina institusi pendidikan Islam, mengkaderkan amilin tanpa jemu, bergerak keseluruh negara untuk mencerdaskan ummah. 

Lihatlah kesudahan hidup mereka yang mulia, didoakan oleh masyarakat Islm tanpa mengenal apa latarbelakang politik. Saya merasa agak kehairanan dengan sikap Abang Din sebaik sahaja meninggalkan bahtera PAS, berterusan menyerang dan cuba mewajahkan PAS dengan wajah yang hodoh. 

PAS diratib sebagai gerakan takfiri sedangkan sebaik masuk PAS dalam tahun 80an daripada keluarga berdarah likat UMNO, abang Din dibawa ke tamrin panjang di Kelantan oleh Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah. PAS dalam apa sahaja medan pengajian, para asatizahnya membuka kitab berkaitan batas-batas iman dan kufur, asatizah dan pimpinan PAS menerangkan berkaitan aqidah Islam dan betapa perlu menjaga batas-batas akidah agar tidak tergelincir. 

Dekad 80an, mulut pimpinan UMNO sangat lancang menolak penegakan Syariah Islam, maka PAS sentiasa menerangkan isu menjaga batas-batas iman dan kufur. 

PAS sentiasa menjadi kambing hitam dalam pelbagai isu untuk menyudutkan PAS ke ruang paling hujung dalam strata masyarakat. 

Abang Din sangat arif sejarah PAS dan sentiasa mengulangi kisah seorang dua penceramah PAS yang ghuluw, akhirnya menyertai UMNO. Jamaah ini mempunyai tapisan dan Allah memelihara jamaah ini dan itulah ratib serta tazkirah Abang Din kepada kami saban waktu semasa memimpin Dewan Pemuda. Semasa abang Din menjadi ketua, kami akur dan taat, membantu program -program yang dirancang tanpa jemu. 

Teringat juga bagaimana sebelum abang Din menang sebagai MP Kubang Kerian, kami Exco Dewan Pemuda Pusat mencadangkan abang Din untuk bertanding di kawasan selamat agar berjaya menjadi jurubicara ummah yang berkesan. 

Dalam mesyuarat DPPP di Taman Melewar, abang Din dikeluarkan daripada bilik mesyuarat supaya mesyuarat tidak bias dan berkesan, seterusnya wakil DPPP dihantar menemui Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. 

Mengapa saya bangkitkan isu pencalonan ini, kerana saya mahu abang Din tak lupa kasih sayang kami pada abang Din yang seakan melupakan sejarah ini. 

 Abang Din menikmati keadaan yang selesa sebagai anggota legislatif, namun sebahagian Exco-Exco DPPP yang menggalang watak murabithun hidup sebagai orang miskin. Ada yang dimarah dalam mesyuarat kerana terlewat hadir kerana menghadiri kuliah dhuha, semua anak buah abang Din tak pernah merasa kecil hati ditegur walaupun kehidupan mereka ala kadar. 

Ustaz Azli Toliban semenjak muda sehingga tua tetap berdengkur dalam bas ekspress, menyambangi keseluruh negara berdakwah, bermesyuarat, menghadiri program-program parti. PAS disinis memakan dedak, usaha PAS mengumpulkan ratusan ribu ahli-ahli dan rakyat ke lautan ungu H355 disindir, seolah Abang Din tak kenal sikap dan watak orang PAS dalam berkorban harta dan jiwa. 

Saya teringat kembali kisah-kisah yang Abang Din sentiasa lontarkan dalam ceramah, bagaimana penoreh getah PAS yang menyisihkan setiap hari beberapa keping getah yang mereka perolehi untuk perjuangan. Ahli-ahli PAS mempunyai tabung khas jamaah, mereka menyimpan bukan sahaja untuk keluarga mereka, namun untuk membiayai perjuangan PAS. 

Abang Din bimbang tentang pimpinan PAS terutama "young blood" yang memiliki kereta hebat, saya kira Abang Din sendiri maklum mereka mempunyai perniagaan sendiri untuk menyarai keluarga dan membantu perjuangan. 

Menjadi motivator, memiliki rangkaian perniagaan, penasihat Syariah dan pelbagai ruang untuk meraih rezeki yang halal. Abang Din, pasti menyimpan kenangan paling indah bagaimana berukhuwwah dalam PAS, bagaimana ahli-ahli harakatul ummah ini saling melengkapi, membahu antara satu sama lain bagi menjayakan matlamat perjuangan. 

PAS digelar oleh ahli dan pimpinan PAN sebagai "parti sejarah" dan kami langsung tidak berkecil hati kerana kami tahu sejarah PAS yang ditulis dengan tinta emas. Ada yang meregang nyawa syahid, dipenjara, dikucilkan malah dihina sepanjang masa demi menggalang perjuangan Islam ini. 

Untuk maklumat Abang Din, program PAS pasca Muktamar ke-61 terus menerus mendapat sambutan masyarakat, bermula daripada cawangan hinggalah ke peringkat Pusat. Keahlian PAS terus membesar dan memancing pesona kelompok intelektual sehinggalah rakyat jembel yang berkeringat untuk sesuap nasi, mesyuarat kami bulan Februari baru-baru ini, PAS Pusat telah meluluskan lebih 5000 orang ahli baru. 

Manakala di sepanjang tahun 2016, kami menerima lebih 26 000 ahli baru, dengan erti kata yang lain menyertai PAN, yang dibanggai oleh Abang Din jauh lebih kecil berbanding ahli-ahli baru kami dalam tahun 2016. 

Abang Din, saya merasa bersyukur jauh di sudut hati saya yang paling dalam kerana dalam tempoh selepas pasca Muktamar ke-61, Mesyuarat PAS Pusat tidak pernah bocor kepada pihak lain. 

Ahli ahli Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat dengan penuh harmoni, bersepuh ukhuwwah, berulam ceria dan mematuhi arahan yang diputuskan. Sangat kontradik dengan apa yang berlaku dalam beberapa penggal sebelum ini dan ini melonjakkan semangat kami untuk terus berkerja bagi memenangkan perjuangan Islam. 

Abang Din, cukuplah coretan ukhuwwah untuk kali ini, kami mempunyai jadual kerja yang padat dengan medan operasi siasah, dakwah dan tarbiah yang sentiada memerlukan sentuhan. 

Saya memegang teguh kata-kata Abang Din pada anak-anak muda pada suatu masa dahulu, "PAS akan terus dijaga oleh Allah selagi mana parti ini berpegang pada al Quran dan didoakan oleh manusia-manusia yang ikhlas".

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...