Oleh : Shabudin Husin
Sehari
selepas Noh Omar mengumumkan UMNO Selangor menolak hasrat Jamal Md
Yunus untuk meletakkan jawatan, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu
"buat gila" lagi di Pejabat SUK di Shah Alam.
Ini
adalah kali ketiga beliau berbuat demikian. Kali pertama sebelum ini
dengan bertuala sambil berus gigi terselit di telinga dan kali kedua
pula bersama katil dan tukang urut.
Untuk
kali ketiga ini, Jamal datang menyerbu pejabat pentadbiran Kerajaan
Negeri Selangor itu dengan membawa 15 van jenazah dan mengusung keranda
dengan gaya seorang penggali kubur pula.
Walaupun
Jamal bertujuan membuat gimik untuk menyerang kepimpinan kerajaan
negeri yang diketuai oleh Azmin Ali, tetapi beliau jelas semakin
tersasar jauh kerana keghairahan yang melampau untuk mengaut laba
politik.
Dengan
membawa keranda kosong yang diatasnya diletakkan kain bertulis
ayat-ayat suci Al-Quran, Jamal secara jelas telah menghina agamanya
sendiri melalui perbuatannya kali ini.
Apakah
keranda kosong yang tiada jenazah dan semata-mata untuk tujuan politik,
dibolehkan diletakkan ayat-ayat Al-Quran di atasnya?
Tidakkah perbuatan Jamal sesuatu yang tidak wajar serta keterlaluan?
Selain
itu, perbuatan Jamal membawa keranda juga menunjukkan beliau tidak
sensitif dengan keadaan ibu Azmin yang senang tenat dan dirawat di
hospital di Shah Alam ketika ini.
Semua
orang tahu keadaan ibu Azmin itu, malah majlis bacaan doa dan solat
hajat memohon kesihatan juga sudah beberapa kali diadakan dan ia hampir
dalam pengetahuan semua orang.
Ketika
Azmin dan keluarganya sedang bertarung dengan dugaan berat dan
kesedihan, adakah perbuatan yang beretika membawa keranda ke Pejabat SUK
semata-mata untuk menyerang kepimpinan beliau?
Di manakah akal dan otak sihat Jamal dalam berpolitik?
Di
waktu yang sama, sebagaimana tular di laman sosial, akibat perbuatan
Jamal menyewa 15 van jenazah untuk menyertai demonstrasi yang
dianjurkannya itu, ia telah menyebabkan terdapat sebuah keluarga yang
ditimpa kematian menghadapi kesukaran dari segi pengangkutan.
Sekali
lagi, apakah Jamal tidak berfikir panjang dari segi kemungkinan
menyusahkan masyarakat lain sebelum memutuskan untuk menyewa 15 van
jenazah menyertai demontrasi yang tidak berfaedah itu?
Kelakuan
Jamal ini bukan saja salah beliau, tetapi juga salah Noh Omar yang
merupakan rakan baiknya yang tidak menerima perletakan jawatannya.
Jika
dua hari lalu Noh Omar memutuskan menerima perletakan Jamal, sudah
pasti kejadian di Pejabat SUK Selangor semalam tidak berlaku.
Kini, UMNO Selangor mungkin terpaksa menanggung beban yang tidak boleh diperbaiki lagi akibat perbuatan Jamal itu.
Jika
kita masih ingat, sebelum PRU 2008, Khir Toyo telah menghadiahkan
penyapu kepada seorang Yang Dipertua PBT sehingga ia kemudiannya
mengakibatkan UMNO dan BN kalah dalam pilihanraya tersebut.