Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 7 Januari 2020

Penduduk Kampung Segambut Permai Akhirnya Setuju Pindah.

THE MALAYSIAN INSIGHT | PENDUDUK Kampung Segambut Permai kini mampu menarik nafas lega selepas menerima kediaman baharu seperti dijanjikan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

SDF
 
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhirnya akur dengan tuntutan 33 keluarga itu yang mahu mendapat unit sewa beli bagi gantian tanah berkenaan.

Dengan itu, penduduk tersebut bersetuju keluar dari tanah yang diteroka nenek moyang mereka sejak empat generasi lalu dan menyaksikan kediaman yang masih ada dirobohkan semalam bagi membolehkan kawasan itu dimajukan.

Wakil penduduk, Mohd Fariz Ramli memberitahu The Malaysian Insight mereka bersetuju dengan tawaran terbaharu yang lebih sesuai.

“Semua dapat rumah, kita juga terima surat tawaran baharu daripada DBKL, unit kediaman yang diberikan kali ini berhampiran dengan kampung kami, jadi anak-anak tidak perlu tukar sekolah.

“Surat tawaran yang dikeluarkan juga ada penambahan lampiran mengatakan walaupun unit ini untuk enam bulan.

“Tapi selepas tiga bulan menetap, kami boleh membuat permohonan untuk terus menetap di unit yang ditawarkan,” kata Fariz, 35.

Mereka pada awalnya hanya dijanjikan kediaman alternatif yang didapati usang dan tidak sesuai didiami, dan terletak jauh daripada kampung asal.

Fariz bagaimanapun menjelaskan, hanya 28 keluarga menerima surat tawaran rumah alternatif tersebut apabila tiga keluarga menarik diri kerana sudah memiliki rumah lain.

Dua keluarga lagi memilih untuk menetap bersama anggota keluarga lain, katanya.

Tawaran terbaharu itu adalah rumah tiga bilik dan bukannya rumah satu bilik dalam surat tawaran asal yang hanya diterima 22 keluarga sebelum ini.

Dengan itu, mereka akan dipindahkan ke beberapa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti Intan Baiduri, Desa Rejang, dan Ayer Panas, serta Batu 5.

Mereka sebelum itu dipindahkan ke beberapa flat jauh dari lokasi asal apabila diberikan unit di sekitar ibu negara seperti pangsapuri San Peng, Kerinchi, Seri Petaling, dan Pantai Ria.

Ia menyukarkan urusan ke tempat bekerja dan persekolahan anak-anak mereka, kata pemilik kedai percetakan itu.

Bagaimanapun, mereka hanya akan menerima kunci rumah baharu pada Selasa atau Rabu selepas kediaman mereka dirobohkan pemilik tanah pada Isnin.



“Kami dapat surat tawaran daripada bahagian perumahan DBKL mengatakan Khamis (2 Januari) tempoh hari boleh ambil kunci.

“Tetapi apabila kami pergi pihak DBKL maklumkan mereka sedang menaik taraf sistem mereka, dan minta kami datang semula pada Selasa atau Rabu minggu hadapan.

“Dalam perjanjian dengan pemilik tanah, Isnin, 6 Januari kami kena kosongkan rumah dan mereka akan datang robohkan, kalau tidak kami tidak dapat wang pampasan RM7,000,” katanya.

Oleh itu, mereka terpaksa menumpang di rumah saudara-mara buat sementara waktu.

Katanya, penduduk juga memberikan jaminan kepada pemaju tidak akan menghalang kerja perobohan kediaman mereka nanti.

“Orang kampung akan turun pada 6 Januari nanti tapi bukan untuk protes… Kami akan datang untuk ambil wang pampasan.

“Kita jangka tiada orang kampung yang mengamuk, sebab sudah ada perjanjian, setakat ini dah selesai, cuma bahagian ambil kunci sahaja,” katanya, lagi.

Kesemua mereka adalah baki terakhir daripada 80 unit kediaman yang pernah berada di Kampung Segambut Permai.

Penduduk kampung itu sudah beberapa kali dipindahkan apabila kampung mereka diambil alih untuk pembinaan menara pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad dan lebuh raya DUKE.

Penempatan yang nama asalnya Kampung Ayam itu dibuka beberapa tahun selepas kemerdekaan selepas Menteri Besar Selangor Harun Idris waktu itu menjemput komuniti Melayu berhijrah ke bandar.

Rancangan tersebut dibuat bagi mengimbangi bilangan penduduk di ibu kota Kuala Lumpur.

Tanah yang menjadi tapak kampung itu menjadi milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sejak 1981.

Ia kemudian diambil alih syarikat pemaju Kemasekutu Sdn Bhd pada 2002. Seterusnya pada 2013 ia berjaya memohon kepada mahkamah untuk mengusir penduduk.

Dan kini, Kampung Segambut Permai hanya tinggal nama. - 7 Januari 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...