Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 11 Disember 2019

Lanjutkan Operasi LYNAS, 3 Pihak Tampil Saman Tun Mahathir Dan Kerajaan PH.

MALAYSIAKINI | Tindakan undang-undang difailkan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kabinet bagi membatalkan keputusan kerajaan melanjutkan lesen operasi selama enam bulan kepada kilang pemprosesan nadir bumi Lynas.
 

 
Perkara itu didedahkan melalui salinan permohonan semakan kehakiman ex parte oleh Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas, Tan Bun Teet, 71 dan dua penduduk Kuantan yang lain, Ismail Abu Bakar, 71 dan G Ponusamy, 68, yang difailkan oleh Firma Tetuan Azri Lee Swee Seng & Co di Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Nov.

Ex-parte merujuk kepada prosiding mahkamah jika satu pihak sahaja yang hadir manakala pihak lawan tidak.

Ketiga-tiga pemohon mahu memulakan semakan kehakiman untuk mendapatkan beberapa pengisytiharan, di antaranya keputusan Mahathir dan seluruh kabinet yang dibuat pada 15 Ogos untuk memberikan lanjutan lesen selama enam bulan bag operasi Lynas adalah batal dan tidak sah, dan tiada kesan.

Dilaporkan pada 15 Ogos bahawa kerajaan memberikan lanjutan lesen berkenaan tetapi mengenakan beberapa syarat dengan pandangan bahawa kilang itu akan membendung pengeluaran sisa radioaktifnya dalam tempoh empat tahun dari lanjutan diberikan.

Ketiga-tiga pemohon mendakwa keputusan kabinet itu melanggar keputusan Lembaga Peselesenan Tenaga Atom (AELB) pada 4 Disember tahun lepas, yang memerlukan Lynas memenuhi dua prasyarat sebelum lesen operasinya diperbaharui.

Mereka berkata prasyarat bahawa Lynas perlu menghapuskan 451,000 tan sisa buangan Water Leached Purification (WLP) dari premis itu pada 2 Sept tahun ini dan syarikat itu perlu mengemukakan pelan tindakan bagi pelupusan bahan bukan radioaktif NUF (buangan terjadual) sebelum 15 Feb tahun ini sebelum ia boleh dipertimbangkan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berjadual) 2005.

Mereka berkata AELB mengenakan prasyarat ini untuk pembaharuan lesen operasi Lynas berikutan penemuan laporan yang dibuat oleh jawatankuasa pemeriksaan eksekutif yang dilantik oleh kerajaan pada 15 Oktober 2018 untuk melihat operasi Lynas. - 11 Disember 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...