Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 11 Januari 2019

Tak Undi PH Di Cameron Highlands, Tok Batin Tak Bergaji, Ini Penjelasan Senator PKR.

Kenyataan Media | Kenyataan Media Senator Manolan bin Mohamad pada 11hb Januari 2019 (Jumaat) di Cameron Highlands, Pahang:

Saya merujuk kepada laporan oleh Malaysiakini yang bertarikh 11 Januari 2019 (Jumaat) yang bertajuk “No salaries, posts if you don’t vote Harapan, senator warns Orang Asli chiefs”.



Laporan akhbar tersebut melaporkan bahawasanya saya telah menyatakan bahawa Tok Batin di Cameron Highlands akan kehilangan gaji dan jawatan mereka sekiranya mereka tidak mengundi Kerajaan Persekutuan pada Pilihanraya Kecil Cameron Highlands yang bakal diadakan pada 26 Januari 2019.

Merujuk kepada dialog tersebut, kenyataan sebenar saya adalah merujuk kepada peranan Tok Batin yang tidak seharusnya memegang jawatan Tok Batin dan pada masa yang sama mengambil jawatan di dalam parti UMNO.

Tok Batin yang menjalankan aktiviti politik dan partisan UMNO dan pada masa yang sama menerima elaun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai Tok Batin merupakan satu percanggahan kepentingan atau conflict of interest.

Di dalam keseluruhan kenyataan saya, tidak pernah saya menyatakan amaran atau ugutan yang berbunyi tiada undi tiada bayaran, ataupun “no vote, no pay”.

Pada sesi dialog tersebut, soalan yang dikemukakan oleh peserta kepada saya adalah: Siapakah yang membayar gaji / elaun Tok-tok batin?. Jawapan saya adalah Kerajaan Persekutuan yang membayar oleh itu kepada tok-tok batin yang masih sayang jawatan mereka sebagai Ketua Cawangan UMNO letak jawatan sebagai Tok Batin.

Untuk makluman, Tok-tok Batin yang dilantik oleh Menteri melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berperanan untuk membawa suara orang-orang asli dari kawasan masing-masing. Adalah logik dan rasional untuk mereka untuk sealiran dengan aspirasi dan dasar Kerajaan Pakatan Harapan, yang ingin membawa perkhidmatan sebaiknya dan perhatian khususnya isu masyarakat orang asli melalui agensi-agensi terbabit terutamanya JAKOA.

Dalam usaha memartabatkan demokrasi, Pakatan Harapan mengambil langkah untuk memastikan Pilihanraya Kecil Cameron Highlands ini dapat dijalankan tanpa sebarang campur tangan Kerajaan Persekutuan, tidak kira dalam sebarang bentuk yang mungkin mempengaruhi pengundi di Cameron Highlands.

Ia juga harus diingatkan bahawa punca berlakunya Pilihanraya Kecil Cameron Highlands yang bakal diadakan ini adalah disebabkan oleh penyelewengan dan kegiatan rasuah oleh calon Barisan Nasional yang memenangkan kerusi Parlimen ini pada Pilihanraya Umum Ke-14.

Sehubungan dengan itu, adalah diharapkan bahawa dengan kenyataan media ini, ia dapat menjelaskan kekeliruan dan salah faham yang ditimbul. - 11 Januari 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...