Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 11 Ogos 2018

Didakwa Iktiraf LGBT, Ini Respon Mujahid.

KENYATAAN MEDIA

BERTEMU TIDAK BERMAKNA BERSETUJU

1. Merujuk kepada pertemuan saya bersama aktivis transgender Nisha Ayub semalam, ingin saya tegaskan bahawa pertemuan saya bersama Nisha tidak bermakna saya bersetuju dengan semua yang diperjuangkan mahupun mengiyakan perbuatan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). 



2. Nisha telah menghubungi saya sendiri untuk mengadakan pertemuan dan saya menerima kehadirannya dengan ikhlas memandangkan isu berkaitan transgender perlu diselami serta difahami khususnya yang berkaitan dengan peranan institusi agama bagi menangani fenomena ini. 

3. Nisha turut menegaskan beliau bukan ikon bagi komuniti LGBT sebaliknya beliau hanya seorang aktivis yang memperjuangkan nasib golongan mak nyah yang sering disisihkan serta memberi galakan agar mereka keluar daripada 'industri seks'. 

4. Pada pertemuan semalam juga, tiada langsung isu berkaitan hak sama rata melibatkan perkahwinan sama jantina dibangkitkan. Pertemuan itu lebih kepada perbincangan bagaimana untuk mengatasi masalah diskriminasi terhadap golongan mak nyah serta bagaimana untuk mengatasi masalah yang dihadapi mereka termasuk penghayatan soal-soal agama dan beribadat secara khusus. 

5. Berhubung isu gambarnya digantung dan diturunkan di pameran fotografi Georgetown, Nisha berkata beliau tidak dimaklumkan bahawa gambarnya digunakan dalam pameran tersebut. Malah beliau juga memberitahu bahawa beliau tidak kisah tentang penurunan gambar berkenaan. 

6. Apa yang paling utama ketika ini ialah, kita perlu hapuskan budaya benci dan diskriminasi kepada komuniti tersebut terutamanya di tempat kerja mahupun di tempat-tempat awam. Kita tidak boleh mengamalkan dasar pilih kasih dalam menjalankan kerja-kerja dakwah malah Islam juga tidak mengalakkan umatnya untuk menyakiti manusia yang lain. Hak mereka sebagai rakyat Malaysia tidak boleh dinafikan.

Rahmatan lil a'lamin

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (AGAMA)

11 OGOS 2018

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...