Perdana Menteri tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) bukan "kitab suci" yang wajib dipatuhi dalam pelantikan speaker Dewan Rakyat.
Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengakui HARAPAN tidak dapat melantik speaker dari kalangan anggota parlimen seperti yang dinyatakan dalam manifesto.
"(Ya), tapi atas sebab tertentu, kita tidak dapat patuhi manifesto. Kita perlu ingat, manifesto bukan kitab suci, ia hanya panduan.
"Kadang-kadang kita boleh laksanakan sesuatu perkara, kadang-kadang tidak boleh, jadi kita perlu berfikiran praktikal," katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.
Pengerusi HARAPAN itu juga menambah bahawa orang awam mahukan speaker yang tidak dikaitkan dengan mana-mana parti politik.
Persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Yusof mengangkat sumpah sebagai speaker baru.
Pelantikan Mohamad Ariff yang juga merupakan bekas anggota Parti Amanah Negara (AMANAH), bagaimanapun mendapat bantahan daripada anggota parlimen BN dan PAS yang menyifatkan lantikan itu tidak mematuhi peraturan Dewan Rakyat.
Berdasarkan peruntukan 4 (1), nama speaker perlu diserahkan 14 hari sebelum parlimen bersidang buat kali pertama, yang bererti, Pakatan Harapan perlu menyerahkan nama calon speaker sebelum 2 Julai.
Bagaimanapun, terdapat kekeliruan dilihat di kalangan pemimpin HARAPAN apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong mendakwa nama calon speaker diserahkan pada 2 Julai sementara Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pihaknya membincangkan perkara itu pada 8 Julai.
Ketika ditanya berhubung percanggahan tarikh itu, Dr Mahathir bertegas bahawa HARAPAN menyerahkan nama calon speaker pada 2 Julai.
"Tiada pertukaran tarikh. Ia sudah disediakan terlebih awal, jadi bila saya tandatangan saya yang letak tarikh," katanya.