Menurut laporan itu, sebahagian peneroka masih belum berpuas hati kerana rumah yang dijanjikan pada 2000 sudah berubah termasuk jenis rumah yang bakal dibina untuk peneroka tanah terbabit.
Wakil penduduk, Mohd Fadzil Ibrahim, segelintir penduduk kini tidak berpuas hati berikutan sebelum ini mereka dijanjikan rumah jenis berangkai (semi D) namun mereka difahamkan akan menerima kediaman bersaiz lebih kecil.
"Selepas pentadbiran Kerajaan Negeri bertukar pada Pilihan Raya Umum lalu, bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ada membuat perjumpaan tertutup dengan kami memandangkan projek perumahan kami masih terbengkalai.
"Dalam pertemuan itu, Abdul Khalid mengarahkan projek perumahan kami di Puncak Alam ini dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tetapi disebabkan berlakunya pertukaran Menteri Besar, projek itu juga tidak menjadi.
"Sekarang, lain pula jadinya. Apa yang kami pertikaikan, kenapa perjanjian dahulu, sudah berubah kerana sepatutnya rumah kami dibina di kawasan laluan utama dan semua penerima mendapat rumah jenis Semi D," katanya ketika ditemui, di sini.
Difahamkan, penduduk juga tidak berpuas hari berikutan saiz rumah yang kecil selain tidak dapat melihat rumah contoh.
Selain isu saiz rumah, Mohd Fadzil berkata, peneroka juga mempersoalkan isu wang tunai yang sepatutnya diterima berdasarkan kepada nilai tanah ketika ini yang lebih tinggi berbanding dengan kira-kira 18 tahun lalu.
"Mengikut perjanjian pada tahun 2000, kami menerima wang tunai RM180,000 berdasarkan nilai semasa tetapi duit itu juga masih belum diterima sepenuhnya.
"Dengan nilai tanah ketika ini, sepatutnya jumlah berkenaan harus lebih tinggi dan berikutan itu kami minta Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, untuk bantu kami mendapatkan hak kami," katanya.
Justeru, penduduk mahu Kerajaan Selangor terutama Mohamed Azmin untuk campur tangan dalam isu berkenaan.
Mohd Fadzil berkata, tanah berkenaan adalah 'tanah anugerah' yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika Selangor ditadbir Tan Sri Muhammad Muhd Taib bagi membantu golongan penduduk susah.
Katanya, sepatutnya Kerajaan Negeri yang kini ditadbir PKR berterusan membantu penduduk dan bukan bertindak sebaliknya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Adnan Kandar, 71, berkata, beliau merasakan ditindas dan ditipu kerana sepatutnya mendapat wang pampasan lebih berbanding nilai tanah pada tahun 2000.
"Sudah 18 tahun dan harga tanah di sini melambung tetapi kenapa kami tidak menerima wang sepatutnya. Malah, wang RM180,000 yang sepatutnya diberikan dahulu pun ada peneroka yang masih belum terima.
"Untuk dapat wang itu, saya terpaksa mengemis dan memanjat bangunan pejabat untuk dapatkan pampasan bagi diri sendiri," katanya.