Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 28 Disember 2017

Pengusiran Paksa - Kerajaan Pulau Pinang Perlu Lebih Peka Dan Prihatin.

Oleh : Zainulfaqar Yaacob 

ANDAIKAN anak perempuan kepada Zainulfaqar sedang sakit. Bumbung rumah kami bocor. Kereta Proton Saga pula ‘overhauls’. Rumah sekejap ada elektrik dan sekejap gelita akibat litar pintas. 

Kalau saya ada tunai RM1 bilion pun, tapi semuanya disimpan di bawah bantal tanpa bertambah atau berkurang walaupun “sekupang” atas sebab jimat tak berbelanja, saya ingat seluruh kampung akan maki saya jika mereka tahu kedaifan sebenar hidup keluarga saya. 

Buat apa simpanan tunai sampai RM1 bilion rapi bawah bantai, jika anak, kediaman, kereta dan kemudahan utiliti begitu teruk dan naif. Mungkin saya akan dimaki, “tak guna punya ayah, ketua keluarga, ada duit tapi tak belanja untuk keselesaan keluarga.” 

Tapi, jika RM1 bilion itu, sebahagiannya saya gunakan untuk merawat sakit anak, membaik pulih keadaan rumah serta kenderaan serta meningkatkan mutu kehidupan keluarga, mungkin lain reaksi jiran tetangga sekampung terhadap diri saya. Mereka mungkin akan kata, “Ish… Zainulfaqar itu adalah ayah terbaik di dunia, (untung sesiapa jadi teman hidupnya), walaupun kehilangan isteri muda cantik jelita Allahyarhamuha Siti Hajjar Hassan akibat barah pada 9 Januari 2017 lalu, dia sanggup belanja apa sahaja demi anak dan keluarganya. 

Kalau diminta tukar ganti dengan nyawa sekali pun, barangkali dia sanggup sebab separuh daripada RM1 bilion tunainya telahpun dia belanjakan.” 

Sebenarnya situasi sebuah kerajaan adalah tidak jauh berbeza dengan seorang ayah bernama Zainulfaqar. RM1 bilion tunai di bawah bantal Zainulfaqar boleh diumpamakan seperti jumlah lebihan kewangan atau surplas sebuah kerajaan. 

Ambil contoh rekod surplas pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam tempoh tahun 2008 hingga 2015 sahaja berjumlah RM578 juta. Rekod lebihan kewangan ketika Umno BN menguasai kerajaan negeri dalam tempoh 50 tahun (1957-2007) pun baru RM373 juta. 

Bayangkan! Guan Eng lebih disegani apabila pentadbirannya mengumumkan peruntukan RM100 juta Pulau Pinang Bangkit iaitu program pemulihan pasca bencana banjir 4 November 2017 lalu, dengan memberi RM700 secara “one-off” kepada mangsa-mangsa terbabit. 

Fahamnya di sini, rekod surplas pentadbiran Guan Eng lebih dipuji apabila rakyat melihat kerajaan negeri lebih berbelanja untuk keperluan rakyat terbanyak, khususnya 48,424 mangsa banjir terbabit. 

Inilah falsafah mudah apabila bercakap mengenai tadbir urus ekonomis oleh sebuah kerajaan, iaitu sakit demam anak, bumbung bocor, kereta overhauls, kemudahan utiliti teruk yang dihadapi oleh anggota keluarga Zainulfaqar, sama lah seperti keadaan sulit dan susah hidup yang dihadapi oleh rakyat terbanyak. 

Sebenarnya banyak lagi contoh yang benar-benar berlaku, mengenai kesulitan hidup yang dihadapi rakyat serta patut membuka mata semua pihak, demi mempertahankan mandat Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang waktu pilihan raya umum nanti. 

Pegawai kerajaan negeri tak kreatif selesai masalah Awal pertengahan Disember 2017, empat keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Tembak dilaporkan mengaku berdepan risiko diusir secara paksa daripada kediaman masing-masing. Salah seorang wanita warga emas memaklumkan, rumahnya beberapa kali mahu dikunci secara paksa kerana tidak membayar sejumlah tunggakan sewa. 

Katanya, untuk membayar RM550 sebulan, iaitu RM250 sewa bulanan dan RM300 lagi tunggakan, adalah di luar kemampuannya. Gajinya yang tak tetap hanya kira-kira RM600 hingga RM650 sebulan. 

Ibu tunggal berusia lebih 60 tahun itu mengaku ada menyatakan hasrat untuk membayar sewa bulanan RM110 - seperti kadar siling untuk unit PPR lain - bersekali bayaran tunggakan RM100, namun seakan tidak dilayan oleh seorang pegawai kanan Bahagian Perumahan Kerajaan terbabit dalam satu pertemuan di lobi Komtar. 

Satu kes lain yang tular di Facebook hari ini (27 Disember 2017) adalah mengenai empat sekeluarga pada malam Krismas terpaksa tidur di koridor unit kediaman kondominium, kerana ketua keluarga hilang pekerjaan dan tak mampu bayar tunggakan sewa RM900 sahaja. 

Bagi saya, dua kes ini seakan menjejaskan imej integriti dan tadbir urus Cekap Akauntabel Telus (CAT) Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, semacam seorang ayah bernama Zainulfaqar yang ada RM1 bilion di bawah bantal tetapi semacam tuli mengenai keadaan daif keluarganya. 

Sebagai ayah, Zainulfaqar wajib berbelanja lebih mengikut keperluan keluarganya. Mungkin dengan berbelanja lebih, akan mengurangkan simpanan tunainya. Tetapi, ia memberi faedah lain daripada aspek sosial, seperti tahap kesihatan anak semakin baik disebabkan rawatan terbaik, kediaman dan kereta lebih selesa. 

Patut kerajaan pun begitu, melihat setiap belanja lebih bukan semuanya membawa pulangan keuntungan (ROI), menambah angka surplas, serta laba lain daripada aspek ekonomi. Sebab itu dalam berbelanja lebih, ekonomis sendiri senantiasa melihat kesan berganda (multiplier effect) daripada aspek sosial, selain impak ekonomi. 

Apabila saya menyebut sebegini, bukan membawa maksud kerajaan negeri hari tiada hati perut, sampai menutup mata ketika ada kes-kes pengusiran paksa seperti di atas. Saya melihat kes-kes pengusiran paksa yang tular di media belakangan ini patut dikaitkan dengan kelemahan negosiasi Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri sendiri - pegawainya (bukan semua) semacam tidak kreatif dalam meregulasi masalah tunggakan sewa membabitkan rakyat. 

Sebuah kerajaan sebenarnya boleh nyah tunggakan atau mengurangkan kadaran bayar sewa, asalkan terus boleh mengekalkan warga bandaran dalam bandar walaupun hidup susah. Kalau kompaun atau saman pun boleh diskaun bagi satu-satu notis kesalahan oleh agensi persekutuan sendiri. Takkan lah sebuah agensi negeri atau kerajaan negeri tidak boleh melaksanakan amalan sama atas niat memelihara kepentingan rakyat agar tidak terus diusir dari unit kediaman PPR mereka? 

Apabila disebut begini, bukan bermakna kerajaan pusat lebih bagus dan kerajaan negeri lebih lemah. Rakyat Pulau Pinang mangsa pilih kasih kerajaan kleptokrasi? Untuk rekod, kerajaan pusat sehingga hari ini tidak membina satu unit pun kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia. 

Secara simbolik, tidak salah jika rakyat Malaysia di Pulau Pinang berasa dianaktirikan oleh rejim kleptokrasi. Untuk rekod juga, 30 lagi projek kerajaan pusat di bawah Tabung Penyelenggaran 1Malaysia untuk membaiki keadaan unit kediaman kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) di Pulau Pinang, sampai ke hari ini tergendala walaupun permohonan lengkap telahpun sampai ke meja Putrajaya. 

Kerana TP1M tergendala, pentadbiran Guan Eng sejak tahun 2012 terpaksa melaksanakan sendiri program Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80% Pulau Pinang (TPM80PP). Untuk rekod juga, sejak tahun 2013 hampir RM8 juta (RM7,866,841.93) dana TPM80PP telahpun dibelanjakan oleh pentadbiran Guan Eng untuk tukar ganti lif, tangki air, bumbung serta kerja-kerja penyelenggaraan berwajib yang lain. 

Justeru, bagi saya, pentadbiran Guan Eng lebih cakna hal tahap keselesaan hidup rakyat terbanyak di rumah pangsa. Kerana itu, saya secara peribadi lebih percaya, kalau dua tiga kes pengusiran paksa seperti di PPR Padang Tembak ini sampai ke meja ketua menteri, mungkin tiada layanan dingin sebagaimana ditunjukkan oleh seorang pegawai bahagian perumahan terbabit sebelum ini. 

Orang tua dahulu telahpun berpesan, “jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.” Eloklah beberapa isu pengusiran paksa segelintir rakyat yang tular di media sosial ini ditangani secara hemah, biar semua pihak bertambah yakin bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang begitu cakna dan peduli rakyat terbanyak. 

Biar rekod tadbir urus berkebajikan kerajaan negeri yang cemerlang pada hari ini terus mendorong lebih ramai rakyat Malaysia di luar negeri Pulau Pinang untuk mengundi Pakatan Harapan serta menolak rejim kleptokrasi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti. 

Cegah pengusiran paksa membabitkan segelintir rakyat sebenarnya pasti akan menggamit sokongan rakyat terbanyak kepada parti memerintah di Pulau Pinang. 

Orang politik tahu timbang tara hikmah ini, jadi jangan biarkan pegawai kerajaan tertentu dengan garis panduan sewa PPR di tangan, secara rigid serta tidak kreatif, membiarkan lebih banyak lagi pengusiran paksa demi memburu seribu atau dua ribu ringgit sahaja daripada rakyat miskin. 

Cegah pengusiran paksa membabitkan warga bandaran merupakan sebahagian maksud #ManifestoMerah, iaitu dasar yang lebih menguntungkan rakyat terbanyak berbanding segelintir puak - "for the many, not the few"! 

Setuju? 

*** Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap penulisan surat terbuka ini. Pandangan penulis adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mewakili pihak pentadbir. Atas nama kebebasan bersuara pihak pentadbir akan menyiarkan semua pandangan tanpa tapisan.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...