Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 13 Mac 2017

Blockade : Orang Asli vs Kerajaan Negeri Kerajaan

Oleh : Mohd Fauzi Mohd Azmi (Impian Kelantan)

"Membangun Bersama Islam" atau "Membangun Bersama Syaitan"..? 


Kali terakhir saya menulis dan mengulas isu Blockade atas tajuk rundingan antara Masyarakat Orang Asli dengan Kerajaan Negeri Kelantan ialah pada 31hb. Januari, 2017. Itu adalah lebih kurang 2 bulan dari tarikh dimana Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan membekukan kelulusan Permit memasuki Kawasan Hutan Simpan Kekal. 

Sekali lagi saya jelaskan, antara sebab utama pembekuan kelulusan & pengeluaran Permit tersebut adalah bagi memberi laluan kepada pihak-pihak yang bertelagah mengadakan rundingan sepertimana yang dijelaskan oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan pada Surat Pekeliling dan juga Surat Pembatalan Permit bertarikh 17hb. November, 2016. 

Sehingga ke hari ini, saya tidak nampak "ruang" dan "peluang" yang diberi digunakan samada dalam lingkup yang sedikit atau seluas-luasnya oleh Kerajaan Negeri Kelantan. 

Menteri Besar dan juga Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan pernah mengeluarkan beberapa kenyataan mahu mengadakan rundingan dengan Masyarakat Orang Asli bagi menyelesaikan krisis Blockade. Seingat saya lebih dari 3 kali. Tetapi sekadar itu sahaja. 

Tiada apa-apa usaha rundingan. Tiada surat tawaran rundingan pernah dikeluarkan, tiada wakil pernah dihantar untuk menemui mana-mana wakil Masyarakat Orang Asli yang terlibat dalam pembinaan Blockade - tiada, tiada, tiada, tiada dan tiada. 

Saya bukan siapa-siapa untuk berada dihadapan dalam apa-apa usaha untuk menyelesaikan krisis antara MOA dan juga Kerajaan Negeri Kelantan. Saya bukan Ahli bagi mana-mana Parti Politik jauh lagi dari memegang sebarang jawatan penting atau picisan dalam mana-mana Parti Politik jadi apa saja usaha yang mampu saya lakukan dalam mendepani isu ini..? 

Apa yang mampu saya lakukan ialah menaip dan berkongsi rasa juga keluhan Masyarakat Orang Asli didalam Media Sosial. 

Paling-paling pun setiap kali saya menulis, saya akan panjangkan juga tulisan saya pada Pimpinan-pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan termasuk pada Timbalan Menteri Besar melalui Whatsapp. 

Saya yakin dan pasti beliau ada membaca tulisan saya yang saya panjangkan ke Whatsapp beliau dinombor +60193186465. Betulkan saya jika saya tersilap nombor. Paling akhir saya panjangkan tulisan saya pada beliau ialah pada 5hb. Februari, 2017. 

Juga berkenaan persoalan bila rundingan mahu diadakan bagi menyelesaikan Krisis antara Masyarakat Orang Asli dan juga Kerajaan Negeri Kelantan. Tiada respon peribadi daripada TMB, jawapan Terima Kasih atau OK atau K sahaja pun tiada, tiada, tiada, tiada dan tiada. 

Respon saya atas tiada respon dari TMB ialah - "Menatey sunggoh menatey TMB, menatey ni nk reply spatoh huruf K sajo pun x. Baso TMB menatey". 

Walau bagaimanapun, respon saya hanya sekadar didalam hati dan saya kongsikan dengan semua pembaca hari ini atas sifat peribadi saya sebagai Marhaen. 

Jam 8:14 malam semalam, saya menerima panggilan dari Kak Yatie salah seorang Kakitangan NGO PEKA Malaysia memaklumkan pada saya bahawa Team PEKA yang diketuai oleh Presiden PEKA Malaysia Puan Sri Sabrina Syed, beliau (Kak Yatie Shahrom), Karin Lee, Kareemi Kasban dan Kropok Lekor (Mustafa Pengerusi JKOAK) telah ditahan oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan berada di IPD Gua Musang. 

Saya mula bekerjasama dengan Team PEKA Malaysia memasuki kawasan Blockade sejak akhir bulan Oktober, 2016. 

Program pertama dimana kami bekerjasama ialah Program Medical Camp yang diadakan pada tarikh 21hb. Oktober, 2016 dimana Team PEKA Malaysia telah membawa masuk bekalan makanan dan Pasukan Perubatan bagi memberi rawatan dan ubat-ubatan secara percuma kepada Masyarakat Orang Asli. 

Program tersebut telah disertai oleh Dr Yodi Husin, Dr Mohd Tajudin Haji Shaffee dan juga mendapat kerjasama dari Team Impian Malaysia yang diwakili oleh Young Syefura dan juga Iza Suraiya Zainudin. 

Saya sendiri ketika itu mewakili Team 4x4 Impian Kelantan. Seterusnya kami mula bekerjasama dengan lebih banyak program penghantaran bantuan bekalan makanan dibuat ke perkampungan-perkampungan Orang Asli yang banyak terjejas akibat Aktiviti Pembalakan. 

Apa yang mahu dihilitekan disini ialah, sepanjang kami bertungkus-lumus membantu meringankan beban Masyarakat Orang Asli yang terjejas akibat Aktiviti Pembalakan, pihak Kerajaan Negeri Kelantan dilihat bersikap "sambil lewa" sahaja. Tiada kesungguhan dalam menyelesaikan krisis dan lebih banyak berdolak-dalik dalam isu ini. 

Berbalik pada Team PEKA Malaysia yang ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan tadi, mereka telah dibebaskan selepas kenyataan mereka diambil tetapi malang, Pajero milik Kareemi Kasban telah disita Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dengan Bond sebanyak RM5,000.00. 

Sidang DUN Kelantan akan berlangsung pada 20hb. Mac, 2017 (minggu depan) dan saya ingin memanjangkan hasrat saya pada Dato' Haji Husam Musa atau mana-mana ADUN yang terbaca tulisan ini supaya membawa isu Krisis Blockade ke dalam Sidang DUN. 

Mungkin ini agak keterlaluan bagi sesetengah pihak tetapi pada saya, ini adalah peluang terbaik bagi Masyarakat Orang Asli mendapat pengadilan, pembelaan dan jawapan bagi penyelesaian masalah yang dihadapi oleh mereka. 

Suara dan keluhan mereka perlu dibawa kedalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, banyak persoalan perlu diajukan terus pada Pimpinan-pimpinan Kerajaan Negeri dan jawapan-jawapan atas beberapa persoalan perlu dijawab secara jujur dan terbuka. 

Harapan saya agar krisis ini dapat diselesaikan segera dengan bantuan wakil-wakil DUN dan juga liputan meluas dari wakil-wakil media yang prihatin terhadap Masyarakat Minoriti yang sering dianak-tirikan kehadiran mereka dalam Masyarakat Moden hari ini. 

Saya juga akan mengusahakan agar beberapa wakil Masyarakat Orang Asli hadir ke Sidang DUN kali ini dan harapnya dengan kehadiran wakil Masyarakat Orang Asli ke Sidang DUN akan mempercepatkan lagi penyelesaian krisis Blockade antara Orang Asli dengan Kerajaan Negeri Kelantan kelak. 

Cukup-cukuplah bermain wayang dengan Orang Asli. Apa rasionalnya mengangkat slogan "Membangun Bersama Islam" jika lidah berbelit-belit umpama syaitan.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...