Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 15 Mac 2015

500 Juta Hilang Secara Misteri, PFI Berhutang 19.48 Billion Dari KWSP - Lagi Pendedahan Mesti Baca.

JIKA Ketua Juruaudit Negara (KJN), (Tan Sri) Ambrin Buang benar-benar berkuasa dan mempunyai kebebasan untuk menyiasat akaun 1MDB, beliau hendaklah dengan segera memecahkan ruyung sebelum maklumat dan bukti kering atau dirosakkan.

Inilah pendapat beberapa orang pakar undang-undang, kehakiman dan ekonomi veteran yang saya temui sejak tersiar berita mengatakan KJN telah diberi mandat “mengesahkan” akaun syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
Mereka berkata, KJN dan pihak-pihak lain yang terbabit seperti Polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen (PAC) perlu menyelidik akaun dan urus niaga syarikat itu mulai tarikh penubuhannya sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2008.
Ini, kata mereka adalah kerana dari awal lagi TIA/1MDB telah mewujudkan pembiayaan melalui hutang (debt financing) dengan meminjam dari dalam dan luar negara dengan menggunakan khidmat orang tengah.

Mengikut sumber yang mengetahui dan mengenali rapat pengasas-pengasas TIA/1MDB, pinjaman permulaan syarikat itu sebanyak RM5 bilion dikatakan merosot sebanyak RM500 juta secara “misteri” dalam masa tidak sampai setahun.

Sumber-sumber itu percaya “orang misteri” Jho Low muncul dalam urus niaga TIA/1MDB sejak awal lagi dan menjadi “pemudah” perhubungan di antara pengasas-pengasas TIA/1MDB dengan pelabur, khususnya dari negara-negara Teluk.
Apabila (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak naik menjadi Perdana Menteri pada 2009, beliau mengubah TIA daripada syarikat kerajaan negeri menjadi syarikat pelaburan strategik negara dengan nama 1Malaysia Development Berhad. 

Sejak itu peranan pihak-pihak yang mewakili negeri Terengganu dikatakan berakhir. Maka jadilah 1MDB syarikat milik negara di bawah Kementerian Kewangan.

Sumber-sumber itu menekankan bahawa Jho Low adalah “saksi utama” (prime witness) kalau pun bukan yang disyaki utama (prime suspect) dalam usaha menjejaki pengaliran wang (money trail) 1MDB.

PM Saksi Penting

Saksi-saksi lain, kata sumber-sumber itu bermula dengan Mohd Najib sendiri sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB diikuti oleh semua ahli lembaga penasihat, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan sama ada mereka masih berkhidmat atau telah meletakkan jawatan.

Sumber-sumber itu berkata lagi, ramai anggota pengurusan kanan 1MDB telah meletak jawatan atau diberhentikan. Tentu ada sebab mereka meletak jawatan atau diberhentikan.

Juruaudit luar 1MDB yang ada sekarang (Deloitte) dan juruaudit yang ditamatkan khidmat (KPMG) juga berupa saksi penting. Mengapa khidmat KPMG ditamatkan masih menjadi misteri. 

Sumber-sumber itu menambah, adalah mustahil bagi sebuah syarikat besar dan berstruktur seperti 1MDB tidak meminitkan setiap keputusan dan tindakannya yang melibatkan jumlah wang begitu besar.

Kata mereka, adalah mustahil minit mesyuarat lembaga penasihat, lembaga pengarah dan exco 1MDB hilang atau tidak boleh dikesan kerana setiap orang yang terbabit dalam hierarki 1MDB menyimpan salinan masing-masing. Begitu juga dengan institusi-institusi kewangan yang memberi pinjaman kepada 1MDB.

Sumber-sumber itu mengatakan bahawa memang wujud pertalian istimewa di antara Perdana Menteri dan isi rumahnya dengan beberapa pembesar Arab dan Teluk seperti yang pernah didakwa  oleh isterinya, (Datin Paduka Seri) Rosmah Mansor. Jho Low dipercayai berperanan mengasaskan perhubungan itu melalui rakan-rakan kongsi beliau di negara-negara Arab dan Teluk.
Laman Web rasmi 1MDB mempamerkan dua orang kenamaan Teluk sebagai ahli Lembaga Penasihatnya, iaitu Sheikh Hamad Bin Jassim Bin Jabr Al-Thani, bekas Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar dan Khaldoon Khalifa Al Mubarak, Pengerusi Pihak Berkuasa Hal-Ehwal Eksekutif (Abu Dhabi Executive Affairs Authority) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Urusan, Mubadala Development Company. 
Turut dipamerkan sebagai anggota Lembaga Penasihat 1MDB ialah warganegara Perancis Bernard Arnault, Pengerusi Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif syarikat fesyen dan arak antarabangsa, LVMH Moet Hennessy Louis Vuitton.(Lihat di sini)
Sumber-sumber itu berkata, pihak penyiasat juga perlu membuat pencerahan mengenai peranan T Ananda Krishnan “membiayai” 1MDB sebanyak RM2 bilion dan dakwaan mengenai kaitan di antara 1MDB dengan sebuah syarikat bernama SRC International Sdn Bhd.
Baru-baru ini tercetus dakwaan bahawa Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah “dipaksa” memberi pinjaman RM4 bilion kepada syarikat Kementerian Kewangan itu. Khabarnya, SRC International Sdn Bhd pada asalnya dimiliki oleh 1MDB.
Kemudian pada 12 Mac, tersiar berita mengatakan sebuah lagi syarikat milik Kementerian Kewangan berhutang besar dengan KWSP. Ini bukan dongengan seorang blogger, tetapi pengakuan terbuka Ketua Setiausaha Perbendaharaan, (Tan Sri) Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. 

Belau dilaporkan oleh akhbar The Sun sebagai berkata,  Pembinaan PFI Sdn yang dimiliki 99.9% oleh Kementerian Kewangan terhutang RM19.48 bilion kepada KWSP sehingga bulan Ogos 2014.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 ia mencatat keuntungan bersih RM31.18 juta daripada pendapatan sebanyak RM1.11 bilion dengan harta bernilai RM26.66 bilion dan tanggungan RM26.6 bilion.

Soalnya, kalau syarikat ini adalah syarikat PFI (private financing initiative/inisiatif pembiayaan peribadi) mengapakah ia dimiliki oleh Kementerian Kewangan dan dibiayai oleh KWSP? Mohon maaf kalau soalan saya bangang (meminjam istilah Perdana Menteri).

Cerita Penglipur Lara

Pada 11 Mac, (Datuk Seri) Syed Ali Alhabshee, Ketua Umno Bahagian Cheras, menangkis dakwaan pembangkang bahawa kerajaan akan meminjamkan RM900 juta lagi kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Beliau menafikan dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak akan menambah bantuan kepada 1MDB.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dilaporkan mendakwa beliau mendapat maklumat bahawa hal itu telah dinyatakan oleh Mohd Najib sewaktu pertemuan dengan 160 Ketua Bahagian Umno Ahad lalu.

Rafizi mendakwa beliau mendengar daripada salah seorang Ketua Bahagian yang hadir dalam pertemuan tertutup itu.

Syed Ali yang berupa salah seorang penganjur perhimpunan perpaduan baju merah itu menyifatkan dakwaan Rafizi sebagai "satu lagi cerita dongeng pembangkang."

Portal berita Malaysiakini memetik Syed Ali sebagai berkata: "Saya mencabarnya menamakan ketua bahagian Umno itu. Saya menafikan ini berlaku."

Maksudnya, sepanjang apa yang Syed Ali ketahui dan dengar di perhimpunan itu, Mohd Najib tidak memberitahu atau membayangkan yang kerajaan akan menyediakan bantuan kewangan tambahan RM900 juta kepada 1MDB.

Tak Sebut atau Tak Dengar?


Perdana Menteri tak sebut atau Syed Ali tak dengar? Mungkin Perdana Menteri sebut, tetapi Syed Ali tak dengar atau tak perasan.

Yang kita orang luar dengar, semua 160 Ketua Bahagian yang hadir sangat puas hati dengan penjelasan Presiden dan beliau tidak melayan pertanyaan dari bawah.

Sehari selepas Syed Ali melabelkan kenyataan Rafizi sebagai “satu lagi cerita dongeng pembangkang", kebenaran menjelma. Syed Ali silap, Rafizi betul.

Menteri Kewangan II, (Datuk Seri) Ahmad Husni Hazadlah dalam kenyataan di Parlimen pada 12 Mac mengesahkan yang kerajaan telah menyediakan kredit tunggu sedia (stand-by credit) RM950 juta untuk bantu 1MDB.

Beliau dilaporkan berkata, buat permulaan hanya RM60 juta akan digunakan bagi menampung aliran tunai (cashflow) syarikat kerajaan itu.

Saya tidaklah mahu mengatakan yang Syed Ali sudah kena kelentong atau tidak menyatakan kebenaran. Tetapi kekangan macam inilah yang menyebabkan maklumat kerajaan semakin hari semakin tidak diyakini.

Kepada Ahmad Husni saya ucapkan syabas dan terima kasih kerana akhirnya mengakui secara terbuka bahawa nisbah hutang (gearing ratio) 1MDB tidak lestari (unsustainable).
Cabaran Kepada Menteri Celik Ekonomi


Saya cabar dan gesa anggota kabinet yang celik ekonomi supaya bercakap benar. Saya tahu ramai anggota kabinet yang lebih tahu mengenai ekonomi, kewangan dan perniagaan berbanding Perdana Menteri.

Saya harap menteri celik ekonomi dan tahu hal perniagaan, termasuklah Timbalan Perdana Menteri, (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin, tidak terus membisu dan menjadi menteri tunggul.

Khusus mengenai Muhyiddin, beliau akan hilang kewibawaan dan akan mengecewakan ramai penyokongnya kalau beliau tidak terus tegas mengenai 1MDB, khasnya berkenaan penyelamatan (bail-out) syarikat itu.

Saya setuju dengan pandangan Ahmad Husni bahawa penyenaraian aset penjanaan elektrik 1MDB akan menyelesaikan sebahagian hutangnya. Tetapi saya kurang yakin dengan sambutan pelabur terhadap cadangan tawaran umum permulaan (IPO) 1MDB itu memandangkan kontroversi dan siasatan yang sedang dilakukan ke atasnya.

Saya sangat bimbang syarikat-syarikat dan tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLC/GLIC) seperti Khazanah, PNB, Tabung Haji, LTAT, KWSP dan KWAP akan dipaksa membeli saham 1MDB.

Kita sudah pun melihat bagaimana sukarnya 1MBD membayar balik RM2 bilion pinjaman kepada bank-bank tempatan, termasuk yang dimiliki PNB dan Kumpulan Wang KWSP.
1MDB Bukan Ibu Duit


Sebagai syarikat pelaburan strategik milik negara, 1MDB adalah berdaulat dan suci. Ia milik rakyat jelata. Kalau boleh, Insya-Allah, kita hendak jadikan ia sebagai legasi kejayaan.

1MDB tidak boleh dijadikan operasi gelap, operasi sembunyi-sembunyi atau operasi “fly-by-night” bagi membolehkan pihak-pihak tertentu, di dalam dan luar negara, membuat duit segara (fast bucks).

Hasil yang dijanakannya bukan untuk membiayai kerjaya politik atau menampung gaya hidup keluarga dan kawan rakan sesiapa. Ia adalah untuk rakyat jelata.

Kalau 1MDB adalah angsa yang bertelur emas, seperti kata Setiausaha Agong Umno, Tengku (dulu Teuku) Adnan Mansor, telur emas itu adalah untuk rakyat jelata. Cuma itik angsa Tengku Adnan itu berhutang besar dan tahun lalu rugi RM665.4 juta. Atau beliau terlepas cakap mengenai sesuatu yang sepatutnya rahsia mengenai 1MDB?

Kesimpulannya, apa yang Syed Ali Alhabshee tidak tahu dan Mohd Najib tidak beritahu, tidak semestinya Rafizi tidak tahu. Bila Rafizi tahu, ramai rakyat akan tahu.

Adalah amat berbahaya dan merugikan kalau orang Umno sendiri tidak tahu atau tidak berminat ambil tahu kerana percaya bulat-bulat kepada ketua nombor satu.

Jadi orang Umno, termasuk yang makan tak lalu, tidur tak lena dan mandi tak basah kerana rindu berahi kepada Presiden, perlu juga ambil tahu kalau mereka mahu parti mereka terus memegang teraju.

Wallahuaklam. 


A.Kadir Jasin

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...