Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 21 September 2020

Jika WARISAN Kalah #PRNSabah Itu Salah Muhammaddin Ketapi..

ULASAN  | Sudah ada cakap-cakap politik yang tersebar kononnya Muhammaddin Ketapi itu membuat kenyataan bodoh kerana mahu sabotaj. Beliau didalangi oleh pihak yang bermusuh sama Warisan. Anehnya walaupun kenyataan-kenyataan sedemikian dibuat oleh netizens tanpa mengemukakan sebarang bukti ia berupaya mempengaruhi pembaca.

Ini mungkin kerana sejarah politik katak di Sabah dan Malaysia secara amnya. Hari ini jika ahli politik berkata mereka tidak bergaduh dan bermusuh, akan terkeluarlah video mereka mengutuk sesama parti komponen.

Jika mereka kata kerajaan pintu belakang tak wujud, maka itulah petandanya sedang membentuk kerajaan dibelakang tabir seperti yang dilalui Pakatan Harapan.

Jika dikata Sabah stabil, Kedah stabil itu maknanya tidaklah stabil dan akan bertukar tangan bila-bila masa. Inilah wajah politik di Malaysia. Mempercayai watak ahli politik itu lebih sukar dari menyimpan angan-angan satu hari babi akan terbang.

Tular sudah dua kenyataan bodoh dari bekas Menteri Pelancongan era Pakatan Harapan lantikan Tun Mahathir yang mengulas insiden pencerobohan Lahad Datu dan penarafan red zone di kawasan tercemar Covid19. Untuk versi video boleh dilihat di akhir artikel ini.

Pencerobohan Lahad Datu itu sandiwara..

"Sandiwara bohong membunuh orang. Kamu ingat dahulu PRU yang lalu, dia bilang Filipina mau ambil Sabah, jadi ada peperangan, datanglah jet dibomnya kelapa sawit orang, habis semua kelapa sawit orang.

Habis rumah orang, koyak ditembak, ini kenyataan. Disuruh kereta kebal masuk kampung suruh berperang sama ayam, ayam sama anjing lawan dia berperang, apabila habis pilihanraya tiada pula peperangan itu.

Tetapi saya ingat, saya wakil rakyat Lahad Datu," - inilah kenyataan Muhammaddin Ketapi yang menjadi kontroversi ditengah-tengah keributan PRN Sabah.

Kita tak perlukan ahli politik yang bodoh dan pandai mengeluarkan kenyataan sewel. Kita cuma perlukan ahli politik yang bekerja membantu rakyat dan pengundi.

Tidakkah Muhammaddin Ketapi menyedari kenyataan ini juga boleh ditafsir seperti berikut;

- Menghina ATM dan PDRM yang menjaga keselamatan negara

- Memperlekehkan kematian anggota dan petugas keselamatan yang terkorban

- Menuduh BN dengan sengaja mencipta wayang sehingga mengakibatkan kematian rakyat

Tidakkah Muhammaddin Ketapi memikirkan petugas keselamatan seperti PDRM dan ATM juga mempunyai kuasa undi? Tidak pentingkah undi mereka kepada Warisan Plus di Sabah?

Sebagai rekod, Muhammaddin Ketapi telah pun meminta maaf tapi dalam keadaan masih sempat mengaitkan BN dan menyalahkan pihak yang sunting video.

Red Zone Covid19 wayang..

Satu lagi video yang tular ialah mengenai kenyataan Muhammaddin Ketapi tentang kawasan yang diberikan penarafan red zone kerana covid19.

Dalam rakaman itu, Muhammaddin Ketapi berkata ia adalah wayang kerana kawasan red zone itu adalah kubu kuat Warisan dan mengajak memijak orang yang pura-pura pengsan.

Tak faham sangat macam mana Muhammaddin Ketapi boleh dakwa ia adalah wayang tanpa mengemukakan bukti. Zaman sekarang nak tuduh apa-apa pun kena bawakan bukti. Contoh saksi dari KKM yang mendakwa kenaikan kes covid19 di Sabah adalah penipuan dan dibuat-buat.

Statistik dan ujian yang dilakukan adalah tipu. Adakah ia mustahil? Tidak. Dalam peperangan politik, tak ada yang mustahil. Semua boleh berlaku tetapi setiap dakwaan perlu ada hujah dan bukti bagi membenarkan tuduhan kita. Ini asasnya.

Kita cakap ianya wayang tetapi apa pula bukti kita? Kenapa kita tak langgar je red zone tu dan dedahkan ia wayang?

Orang-orang kat red zone tu pun manusia. Mereka boleh memberontak. Jika mereka tak ada covid19 dituduh ada covid19, kenapa? Staff KKM ramai. Yang buat ujian. Ujian saringan, merekod, menjaga pesakit, menjaga jalan keluar masuk, melibatkan beberapa agensi yang berbeza, adakah nak menuduh mereka berpakat beramai-ramai melakukan penipuan dengan tujuan menambahkan beban kerja supaya Warisan kalah di Sabah?

Penipuan dan sandiwara yang melibatkan seorang pemimpin atau dalam skala partisan, logik. Tapi kalau dah sampai melibatkan rakyat biasa, beberapa agensi, sudah pasti akan terbongkar - ia tak boleh disimpan-simpan pun. Maka lebih baik Muhammaddin Ketapi pergi cari bukti bagi menyokong kenyataannya. Bukan apa, setiap undi kakitangan KKM juga berharga. Atau Muhammaddin Ketapi anggap ianya tak bernilai sama sekali?

Mendorong rakyat memijak orang yang pura-pura pengsan ketika hari membuang undi adalah kenyataan bodoh.

Bukan begitu cara kita menanggani penipuan politik (jika ada). Apa yang patut kita lakukan ialah merakam kejadian. Kalau dapat buat LIVE, boleh sebarkan di Facebook.

Lapor polis dan seterusnya bekerjasama dengan NGO bebas yang benar-benar komited melawan penipuan pilihanraya.

Itu tindakan yang patut kita buat. Dari kenyataan Muhammaddin Ketapi, yang menyeru memijak-mijak orang, jelas membuktikan dia ada masalah tumpuan perhatian. Sebagai wakil rakyat peringkat Parlimen dan ADUN (sebelum DUN dibubarkan), beliau sepatutnya senantiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan menyelesaikan masalah menggunakan akal rasional dan bukannya emosi tak ketahuan hala.

Dalam apa jua keadaan beliau perlu menganjurkan jalan damai bagi menyelesaikan kemelut.

Ketika berkempen, beliau patut membahas perubahan yang ingin dilaksana Warisan jika menang PRN Sabah dan bukannya mengungkit-ungkit kisah lampau yang melukakan rakyat Malaysia.

Kita tak perlu ke Lahad Datu dan melalui insiden pencerobohan untuk memahami betapa peristiwa tersebut tersangatlah sensitif untuk diulas secara sembrono.

Kita hanya perlu jadi manusia yang menggunakan akal kita. Untuk Muhammaddin Ketapi yang penulis memang tak gemarkan prestasinya sebagai Menteri Pelancongan suatu ketika dahulu, penulis rasa agak janggal untuk mengajak pengundi memangkah beliau di Segama. Beliau kelihatan tidak stabil sebagai wakil rakyat yang mampu menyelesaikan masalah rakyat setempat. - 21 September 2020.



Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...