Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 21 Ogos 2020

Segelintir Pemimpin Umno Terengganu Tidak Faham Muafakat Nasional.

Mohd Nasir Abdullah | Segelintir pemimpin Umno Terengganu tidak faham Muafakat Nasional.

1. Muafakat Nasional diwujudkan untuk menyatukan ummah bagi menjatuhkan kerajaan PH dan dominasi DAP di peringkat persekutuan. Tiada pernah lagi MN berpakat mahu membahagikan kerusi. 

2. Kerajaan Terengganu dibina atas pengorbanan PAS keseorangan dalam PRU14. BN dan PH menyising lengan untuk menghalang PAS dari berkuasa di Terengganu. Kerajaan Terengganu menang dengan milik mutlak PAS, dan bukannya selepas MN mahupun Perikatan Nasional. BN dan PH tidak diterima rakyat di Terengganu waktu itu. Ini adalah kenyataan.

3. Walau bagaimanapun, Kerajaan PAS Terengganu tetap menghormati MN berperingkat-peringkat, kendatipun diserang oleh segelintir pemimpin Umno Terengganu dan tidak diberi kerjasama oleh beberapa kerat pentaksub, pengikut tegar Umno. Sehinggakan sebelum rasminya muafakat, sudah ada ahli PAS yang turun membantu Umno dalam hak kemasyarakatan.

4. Kerajaan PN yang dipimpin oleh Umno di Johor dan Melaka tidak melayan PAS sebagai rakan kongsi kuasa yang adil dan penghayatan samada sebagai komponen PN atau MN yang sewajarnya. Bahkan PAS dipinggirkan daripada posisi dalam Kerajaan Johor dan Melaka. Agak aneh, Speaker Dun Johor, Suhaizan Kayat dari PH pula dikekalkan. Walaupun kita faham PAS tiada wakil dalam Dun Melaka, tetapi jika diikuti desakan Umno Terengganu, maka Umno Melaka juga mesti memberikan ruang kepada PAS. Tetapi PAS Melaka tetap tenang.

5. Umno Terengganu jelas buta melihat nilai MN di negeri lain. Kadangkala dalam mendesak, ada yang membangkitkan perihal apa yang terlaksana di Perak, bagaimana PAS diajak bersama dalam kerajaan. Apa yang mereka lupa ialah, Perak diketuai oleh Faizal Azumu dari Bersatu, bukan Umno.

6. Mereka tidak juga menyebut di Perlis, walaupun Umno dan BN berkuasa majoriti, dua wakil PAS juga tiada tempat. Di Pahang juga sama, setakat yang kita maklum, juga tiada wakil PAS yang dijadikan anggota kerajaan. Tetapi samada PJ Perlis, YB Cikgu Shukri Ramli mahupun PJ Pahang YB Ustaz Rosli Jabar, tiada melalak, meminta belas kasihan diberikan jawatan. Tugas mereka membantu kerajaan, bukan menjadi pengacau kerajaan.

7. Yang Umno Terengganu tahu ialah mengamuk apabila permohonan tanah mereka tidak diluluskan sedangkan tanah dipohon sebelum MN wujud dan tanah yang mereka ada sudah berlambak-lambak. Malah ditempelak pula Kerajaan Terengganu, beginikah cara muafakat, bertempik dua wakil mereka di Dun. Tidak reti mereka untuk bersyukur pula dengan bantuan bagi setiap Dun yang diberikan kerajaan. Yang terkhilaf dilaung-laungkan, yang betul tidak berterima kasih.

8. Bajet 2019 ketika tiada lagi MN, Kerajaan Terengganu memperuntukan kira-kira RM1 juta bagi program perpaduan nasional termasuk kepada Dun pembangkang. Yang peliknya, Ketika sebelum MN wujud, agak bertertib pula Umno Terengganu dalam Dun.

9. Antara sifat orang munafik adalah apabila berkelahi, mereka melampaui batas. Sikap sebegini, sikap terkeji. Seolah-olah berniat rakus mahu menguasai negeri dengan menekan penguasa yang ada. Jikalau kita bertindak, lalu segera mereka mengatakan, inilah sikap PAS dalam bermuafakat, memakan rakan sendiri. Amatlah bahaya dengan perangai yang tidak pernah puas dan bersyukur begini. Semoga ia mendatangkan keinsafan, atau mungkin boleh difikirkan untuk ditukar pimpinan Umno Terengganu.

10. Umno Terengganu juga gagal menuruti sikap Umno Kelantan yang begitu sabar dan tidak memaksa Kerajaan Kelantan dalam hal sebegini. Walaupun tiada jawatan dalam negeri, mereka bersikap seperti PAS, tiada mahu membuat kecoh. Sikap inilah yang akan membantu Kerajaan Negeri lebih maju. Membantu dalam skop yang mereka ada, bukan mencari balah dengan mengorek ngorek kesilapan yang lalu. 

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...