Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 4 Mac 2020

UMNO Mahukan Jawatan Timbalan Perdana Menteri Untuk Zahid Hamidi.

Shahbudin Husin | UMNO TERSINGGUNG DENGAN MUHYIDDIN, BERKERAS TETAP MAHU ZAHID HAMIDI SEBAGAI TPM

Sama ada disengajakan atau tidak, perutusan Muhyiddin Yassin yang menyebut hanya mahu melantik mereka yang bersih, berkaliber dan berintergiti sebagai anggota jemaah menterinya telah membuatkan UMNO mula tersinggung dan berkecil hati.


UMNO melihat kenyataan Muhyiddin itu sebagai isyarat beliau hampir pasti akan mengenepikan Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang sedang berdepan perbicaraan di mahkamah dalam barisan kabinet yang bakal dilantiknya.

Hakikatnya, UMNO dengan sumbangan sebanyak 41 kerusi Parlimen untuk menyokong Muhyiddin melakukan rampasan kuasa menumbangkan PH, bukan saja mahukan Zahid Hamidi dilantik sebagai menteri, bahkan untuk menduduki kerusi TPM.

Beberapa sumber yang rapat dengan PWTC memberitahu, UMNO tidak ragu-ragu mengatakan Zahid Hamidi perlu diberikan jawatan TPM atas kapasitinya sebagai Presiden UMNO.

Mereka berhujah bahawa UMNO berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah serta mahu Muhyiddin yang kini bersama dalam Perikatan Nasional turut berpegang kepada prinsip yang sama.

Jika Muhyiddin mengenepikan Zahid Hamidi, beliau dilihat bukan saja tidak berpegang kepada prinsip itu, malah menunjukkan sikap setujunya terhadap Tun Mahathir Mohamad yang sebelum ini telah mengenakan pendakwan ternadap Presiden UMNO itu.

Dalam hal ini, kata sumber itu, apakah Muhyiddin tidak meyakini kata-kata Zahid Hamidi yang bertegas mengatakan pendakwaan terhadapnya adalah palsu, bersifat politik dan terpilih atau beliau secara diam bersetuju dengan tindakan Tun Mahathir?

Lantaran itu, meski tersinggung, UMNO dilaporkan tidak berputus asa untuk terus memberi tekanan kepada Muhyiddin agar akhirnya akur untuk memberikan jawatan nombor dua dalam kerajaan kepada Zahid Hamidi.

Bagi tujuan itu, Zahid Hamidi bersama Presiden Pas, Hadi Awang telah mengadakan pertemuan di rumah Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa malam tadi.

Pertemuan itu yang turut disertai Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, Bendahari BN, Tengku Adnan Tengku Mansor serta beberapa yang lain itu adalah dipercayai untuk membincangkan kedudukan kabinet Perikatan Nasional serta memohon sokongan Pas berhubung kewajaran Zahid Hamidi diletakkan sebagai TPM.

Berdasarkan kenyataan Hadi Awang dua hari lalu yang mengatakan PH juga pernah menggugurkan kes Lim Guan Eng selepas dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh Tun Mahathir, parti itu bukan saja setuju Zahid Hamidi dilantik sebagai TPM, malah seperti memberi bayangan perlunya Muhyiddin melalui arahan kepada Peguam Negara yang bakal dilantiknya menggantikan Tommy Thomas selepas ini agar bertindak serupa menggugurkan kes terhadap Zahid Hamidi.

Dalam kes pembentukan kabinet, selain bertegas mahu Zahid Hamidi diberi jawatan TPM, UMNO juga dilaporkan ingin suara dan cadangan mereka diambil kira dalam perlantikan menteri daripada parti itu oleh Muhyiddin.

UMNO sama sekali tidak mahu Muhyiddin bertindak seperti Tun Mahathir ketika mengetuai PH yang melantik sesuka hati menteri-menteri daripada PKR dan membelakangkan cadangan nama yang diberikan oleh parti pimpinan Anwar Ibrahim.

Jika itu berlaku, Muhyiddin bukan saja dianggap telah melukakan hati UMNO, malah mungkin berdepan tindakbalas daripada UMNO dan Pas yang memang sebelumnya telah bergabung dalam Muafakat Nasional yang memiliki 59 kerusi Parlimen dalam Perikatan Nasional.

Bagi UMNO, wakil parti itu yang mahu dilantik sebagai menteri oleh Muhyiddin mesti datang daripada cadangan Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sahaja dan bukan daripada pihak-pihak lain.

Akhirnya, apakah Muhyiddin berani mengenepikan Zahid Hamidi dan cadangan nama yang bakal dibawa oleh Presiden UMNO itu atau beliau terpaksa akur kerana kedudukannya yang masih tidak menentu? - 4 Mac 2020.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...