Setiausaha agung PKR itu berkata, beliau sudahpun mengarahkan peguamnya mengemukakan surat tuntutan kepada Zuraida, selain satu lagi surat berhubung salah laku menteri tersebut.
“Selain surat disiplin kepada Zuraida saya juga ada satu lagi surat iaitu (sama) saya, bukan parti tapi surat peribadi saya kepada dia.
“Ini kerana ucapan dia itu juga mengandungi beberapa unsur pertuduhan dan fitnah terhadap saya,” katanya kepada petugas media di Putrajaya hari ini.
Saifuddin merupakan antara sasaran dalam kritikan Zuraida sewaktu perhimpunan Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 pada Disember lalu.
Dalam majlis yang digelar Kongres Renaissance itu, Zuraida turut mengkritik Presiden PKR Anwar Ibrahim, Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil dan setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.
Susulan itu, Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Displin dan diberi tempoh 14 hari untuk menjawab. – 28 Januari 2020.