Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 25 Januari 2020

3 Pelancong China Di Malaysia Positif Wabak Wuhan, Ini kenyataan KKM.

Kenyataan Media | PENGESANAN KES YANG DISAHKAN DIJANGKITI 2019 NOVEL CORONAVIRUS (2019-nCoV) DI MALAYSIA  

KKM ingin maklumkan mengenai tiga (3) kes yang disahkan dijangkiti 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) dalam kalangan kontak rapat kepada dua (2) kes yang merupakan bapa dan anak, yang terdahulu disahkan dijangkiti penyakit yang sama oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS). 

  
Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kesemua mereka diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam.

Tiga kes positif tersebut merupakan ahli keluarga terdekat kepada kes positif di Singapura, iaitu lelaki berumur 66 tahun dari Wuhan, China.

Mereka dilaporkan telah menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari 2020. Kes tersebut bersama anak lelakinya didapati bergejala dan dimasukkan ke hospital di Singapura pada 22 Januari 2020. Kedua-dua mereka telah disahkan positif oleh KKS.

Seramai sembilan orang telah menaiki pesawat bersama kes pertama yang berumur 66 tahun itu; iaitu isteri, anak lelaki, menantu perempuan, dua (2) orang cucu dan satu lagi keluarga berempat (terdiri dari sepasang suami isteri dan 2 anak mereka), yang merupakan kawan baik keluarga kes. 

KKM telah menerima pemakluman mengenai keputusan ujian positif yang diperolehi untuk kes pertama dari KKS, yang turut memperincikan maklumat mengenai kontak rapat beliau yang berada di Malaysia.

Melalui perkongsian maklumat tersebut pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua lapan (8) orang kontak terbabit dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

Saringan awal mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan selanjutnya pengesahan 2019-nCoV di MKAK Sungai Buloh.

Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan oleh JKN Johor sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.

Untuk makluman, tiga kes yang dikesan positif melalui ujian yang dijalankan oleh MKAK adalah isteri dan dua (2) orang cucu kepada kes pertama di Singapura.

Mereka kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan selanjutnya dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil. Manakala lain-lain kontak yang dikesan adalah negatif bagi 2019-nCoV.

*TINDAKAN KKM SETERUSNYA*

Mengambilkira perkembangan terkini, pasukan Rapid Response Team (RRT) dan Rapid Assessment Team (RAT) di lapangan telah diaktifkan serta merta bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak di lapangan.

Semua anggota kesihatan adalah diingatkan untuk memberikan perhatian serius terhadap pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi yang optimum pada setiap masa.

Saringan pesakit di semua fasiliti kesihatan perlu dilaksanakan dengan teliti, bagi memastikan kes yang memenuhi akan dirujuk bagi menjalani penyiasatan selanjutnya.  

Kejadian wabak jangkitan ini dipandang serius oleh KKM, justeru suatu tatacara mengenainya yang melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan baru-baru ini.

Tatacara ini akan digunakan sebagai rujukan kepada semua anggota kesihatan di lapangan bagi mengesan, mengendali dan menguruskan individu yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV.

Selain dari tiga (3) kes positif yang dikesan ini, secara keseluruhannya pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan untuk sembilan (9) kes yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV dan kesemuanya disahkan negatif bagi 2019-nCoV melalui ujian makmal yang dijalankan.       
   
DATUK SERI DR. DZULKEFLY BIN AHMAD
Menteri Kesihatan Malaysia
25 Januari 2020

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...