"Pernah satu ketika empat hari tak ada air mula, Rabu, Khamis dan Jumaat , biasanya hari Jumaat ini kewajipan sebagai seorang suami kepada isterinya jadi apabila malam itu kita melakukan tanggungjawab, pagi nak mandi wajib tapi air tak ada," ulas Jamal dalam wacana Sinar Harian semalam.
Katanya, beliau tidak dapat mandi hadas besar malah ingin bertayamun pun tidak tahu kaedahnya.
"Saya pertama kalinya sembahyang taubat sebab tidak dapat tunaikan tanggungjawab sebagai Muslim untuk tunaikan solat Subuh sebab ada 'kerja' malam tadi.
"Jadi saya datang ke SUK nak tumpang mandi di pejabat Menteri Besar," katanya.
Jamal juga katanya mendakwa nampak satu tangki besar dari SYABAS yang digunakan untuk terus salur air ke rumah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
"Memandangkan Azmin rumahnya tidak terjejas dengan krisis air sebab saya lalu nampak ada satu tangki besar Syabas yang salur air terus ke rumahnya sedangkan rakyat lain tak mandi," katanya dalam wacana itu.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar meminta Azmin agar segera meluluskan pembinaan Langat 2 bagi menyelesaikan krisis bekalan air yang kerap berlaku di negeri itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmin Ali meminta agar kesemua pihak tidak menunding jari dan menyalahkan kerajaan negeri dalam isu masalah air.
Memetik laporan Malaysiakini, Azmin Ali dipetik sebagai berkata, "Saya tidak ingin menuding jari kepada sesiapa tetapi bagi pihak kerajaan negeri, kita telah mengambil semua langkah proaktif bagi memastikan (masalah) tidak berlaku," katanya ketika diminta untuk mengulas samada kerajaan negeri boleh dipersalahkan masalah air yang berlaku di enam kawasan berbeza di Selangor.
Azmin Ali juga dilaporkan mencabar Najib dipersalahkan dalam isu masalah air. "Kalau berani, salahkan perdana menteri," katanya memetik laporan portal itu.
Gangguan bekalan air kali ini berpunca daripada kerja membaik pulih Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang berada di bawah pengurusan Splash yang dilaksanakan awal minggu ini. Untuk rekod, Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) berada di bawah kerajaan pusat.
Bagaimanapun, Sistem Mampatan Udara (Surge Vessel System) di SSP3 pecah secara tiba-tiba pada Selasa lalu menyebabkan masalah bekalan air dijangka berlanjutan sehingga Ahad ini. - 9 Mac 2018.