Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 3 Februari 2018

Isu Kerusi, PKR VS Amanah - Kronologi Lengkap Pergaduhan Pemimpin PH Di Selangor.

Amanah kata pembahagian kerusi di Selangor belum selesai (25 Januari)

Terdahulu Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Jamzuri Ardani berkata soal pembahagian kerusi PH di Selangor belum dimuktamadkan kerana setakat ini kesemua parti-parti komponen yang terlibat belum lagi bermesyuarat bagi membincangkan isu pembahagian kerusi.

Jawatankuasa khas yang sepatutnya ditubuhkan seperti yang pernah diumumkan oleh Mahathir bagi membincangkan isu rundingan kerusi peringkat Selangor juga belum ditubuhkan kerana tidak diendahkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali itu sendiri.


Kesemua parti komponen gagal mencapai kata sepakat dan hanya akan memulakan mesyuarat jika jawatankuasa khas mengenai rundingan kerusi ditubuhkan ini kerana PPBM, Amanah dan DAP tidak bersetuju berbincang menggunakan jawatankuasa pilihanraya negeri yang diketuai oleh Xavier.

Zuraidah tempelak AMANAH (26 Januari)

Zuraidah kemudiannya bertindak menafikan kenyataan Amanah Selangor sebaliknya menegaskan rundingan kerusi DUN Selangor telah mengadakan mesyuarat sebanyak 4 kali setakat ini.

Ia dibincangkan menerusi Jawatankuasa Pilihanraya PH Selangor yang dipengerusikan oleh Xavier Jeyakumar. Dalam kenyataan penafian yang sama, Zuraidah turut menekankan tiada kerjasama diantara PKR dan PAS Selangor.

Zuraidah ialah Ketua Wanita PKR dan Setiausaha PH Selangor.

Tony kata tiada mesyuarat bincang kerusi (26 Januari)

"Saya tidak tahu. DAP Selangor tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara ini," katanya apabila ditanya tentang isu pembahagian kerusi.

Tony Pua adalah Pengerusi DAP Selangor.

Jamzuri pertahankan kenyataan, nafi penjelasan Zuraidah (26 Januari)

Jamzuri berkata : “Zuraidah silap. Mesyuarat yang dia cakap tu bukan mesyuarat agihan kerusi. Itu mesyuarat Biro Pilihan Raya. 

Mesyuarat Biro Pilihan Raya sepatutnya bincang gerak kerja jentera, bukan bincang pasal kerusi. "PKR yang bawa agenda agihan kerusi dalam mesyuarat biro pilihan raya ... salah tempat. DAP, PPBM, Amanah faham benda ni .., tapi PKR tak faham".

Azmin kata Amanah bohong (2 Februari)

Membidas kenyataan Amanah, Azmin Ali berkata Amanah tidak amanah ketika mengeluarkan kenyataan mengenai isu rundingan kerusi di Selangor.

"AMANAH berbohong...AMANAH tidak mengatakan yang benar, AMANAH tidak amanah. 

Bolehkah AMANAH paling kurang memberitahu orang ramai duduk perkara yang sebenarnya? Kita telah bertemu sebanyak empat kali?". 


Menurut Azmin lagi, mereka telah mengadakan mesyuarat sebanyak empat kali membincangkan soal pembahagian kerusi DUN.

"Biar saya jelaskan. Kami telah bertemu sebanyak empat kali untuk berbincang bukan sahaja pembahagian kerusi tetapi isu-isu lain berkaitan dengan PRU14. 

Sudah tentu rundingan kerusi merupakan antara isu utama yang dibincangkan dalam jawatankuasa tersebut. 

"Malangnya kami masih belum mencapai persetujuan di kalangan empat parti ini," katanya.

Dakwa Azmin lagi, Jawatankuasa Khas hanya tukar nama sahaja.

"Tetapi sekarang terdapat permintaan, daripada menamakan jawatankuasa pilihanraya negeri Selangor, mereka mahukan ia untuk memfokuskan kepada rundingan kerusi.

(Jadi) mereka menamakannya sebagai 'jawatankuasa rundingan kerusi'. 

Anggota yang sama, anggota parti yang sama, parti yang sama," jelasnya. 

Azmin turut menjelaskan 80% isu rundingan kerusi Selangor sebenarnya sudah dimuktamadkan.

"Anda tidak boleh mengharapkan kami memutuskan 100 peratus rundingan kerusi empat bulan sebelum pilihan raya," katanya seperti dipetik portal Malaysiakini.

Azmin badut kata Pengerusi Amanah (2 Februari)

Ketika diminta untuk mengesahkan kenyataan Azmin, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dipetik sebagai berkata oleh Malaysiakini : "Tak ada (rundingan kerusi). Dia ni badut (joker). Bila kita bincang kerusi? Hanya PKR yang bincang tentang soal itu, tidak ada yang bincang dengan mereka," katanya. 


Ujar Izham lagi, seorang Menteri Besar seharusnya bijak dan Azmin tidak memenuhi ciri-ciri tersebut.

"Nak jadi pengerusi HARAPAN Selangor kena bijak. Sejujurnya beliau tak berkebolehan (fit) untuk jadi menteri besar dan pengerusi negeri. 

Beliau tak boleh uruskan perkara mudah sebegini. Mesyuarat tak panggil kemudian tuduh kita pula yang berbohong," katanya lagi.

Tambah Izham setakat ini mesyuarat hanya untuk membincangkan isu pilihanraya dan bukannya isu pembahagian kerusi.

"Mesyuarat empat parti untuk bincang kerusi memang tak ada, boleh semak dengan DAP dan BERSATU. Yang ada hanya mesyuarat pilihan raya," jelasnya lanjut. 

DAP Selangor nafi kenyataan Azmin (2 Februari)

Namun Pengerusi DAP Selangor Tony Pua nampaknya tidak tahu-menahu tentang perkara itu. 

"Saya tak tahu yang 80 peratus kerusi sudah dirunding kerana kami tidak pernah ditanya tentangnya," katanya seperti dipetik dari portal Malaysiakini.

PKR Mahu kerusi lebih di Selangor, dan tuntut kerusi Shah Alam, Hulu Langat.

Dalam perkembangan berkaitan, The Malaysian Insight melaporkan;

- PKR mahu menuntut kerusi Shah Alam dan Hulu Langat yang telah diserahkan kepada Amanah sebelum ini

- PKR juga menuntut 10 daripada 20 kerusi yang ditandingi oleh PAS pada PRU ke 13.

- PKR mahu mempertahankan 21 kerusi yang dipertandingkan pada PRU ke 13, dengan tambahan 10 kerusi yang dituntut dek kekosongan yang ditinggalkan PAS bermaksud kesemua kerusi yang mahu ditandingi PKR ialah 31 kerusi.

- DAP dilaporkan mahu kekal dengan 15 kerusi di Selangor.

- Manakala baki 20 kerusi yang ditandingi oleh PAS, dipersetujui diagihkan kepada PPBM dan AMANAH. Perkara ini dipersetujui oleh DAP, PPBM dan Amanah tetapi mendapat tentangan PKR.

Azmin dipertahankan oleh pimpinan PKR


Selepas digelar badut dan tiada kelayakan sebagai Menteri Besar oleh Amanah, beberapa pimpinan PKR tampil mempertahankan Azmin Ali dan menempelak Amanah.

Azmizam Zamanhuri : "Azmin seorang yang teliti dan terlalu banyak kaji selidik yang telah dilakukan jadi adalah lebih baik juga kita memberikan fokus kepada pilihan raya.

Tak manislah penyokong lihat serang menyerang antara kepimpinan dan mana boleh cakap menteri besar badut, dia ketua kita.

Jadi, semua kepimpinan parti dinasihatkan memberikan tumpuan kepada usaha kita mendapatkan tandatangan bantahan kepada syor persempadanan semula SPR".


Ketua Srikandi PKR Selangor, Nurainie Haziqah Shafi'i : "Tindakan saudara Izham Hashim adalah amat dikesali terutamanya apabila beliau menyifatkan Datuk Seri Azmin Ali tidak layak memimpin dan menjadi Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Selangor. Dalam proses perbincangan dan pembahagian kerusi pilihanraya di negeri Selangor yang merupakan proses rumit dan sukar, seharusnya sepenuh kerjasama dan kepercayaan diberikan kepada Datuk Seri Azmin Ali sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Selangor."
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Gombak Zainol Abidin Mohamed : "Tuduhan ini sangat serius dan kami mendesak Tuan Ir Izham segera menarik balik tuduhan nakal dan berniat jahat ini. 

Kami AMK Gombak juga ingin mendesak pimpinan AMANAH agar segera meminta Ir Izham menarik balik kenyataan beliau". 

Setakat ini, PPBM Selangor belum mengeluarkan apa-apa lagi kenyataan rasmi mengenai isu rundingan kerusi.

Rujukan : 

https://www.malaysiakini.com/news/410877

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/34538/

https://www.malaysiakini.com/news/410889 

https://www.malaysiakini.com/news/410915

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/35849/

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...