Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 24 Januari 2018

Royalti Minyak Terengganu RM210 Juta Setahun Adalah Lebih Rendah Dari Perjanjian Asal 5% Kata MP Amanah.

Oleh : RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD / Malaysiakini

Saya ingin merujuk kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang menyatakan kerajaan pusat membayar RM210 juta setahun kepada negeri itu sehingga 2020 sebagai bayaran balik royalti minyak.

Terlebih dahulu, perlu dinyatakan bahawa mengikut perjanjian asal, kadar royalti minyak yang berhak diperoleh Terengganu ialah sebanyak 5 peratus.


Bayaran setiap tahun kepada kerajaan Terengganu akan mengikut kiraan pengeluaran sebenar minyak dan juga harga semasa minyak dunia.

Oleh itu kenyataan Ahmad Razif bahawa kerajaan negeri menerima RM210 juta setahun adalah tidak masuk akal dan tidak tepat.

Tidak mungkin jumlah bayaran boleh ditetapkan pada kadar RM210 juta setahun kerana wujudnya dua faktor pemboleh ubah (variable), iaitu :


Jumlah pengeluaran minyak sebenar setiap tahun
Harga semasa minyak dunia yang pasti berubah-ubah.

Kalau pembayaran royalti mengikut dua faktor berkenaan, sudah pasti jumlah yang diterima kerajaan negeri akan berubah-ubah pada setiap tahun.

Justeru bayaran tetap RM210 juta yang dinyatakan menteri besar Terengganu itu bukanlah royalti tetapi "pemberian" kerajaan pusat mengikut formula perjanjian lain yang ditetapkan di antara Terengganu dan Putrajaya.

Saya menuntut Ahmad Razif menyatakan keadaan sebenar isu ini.

Kami berpendapat pemberian RM210 juta setahun kepada Terengganu adalah terlalu rendah, dan jika mengikut perjanjian asal royalti sebanyak 5 peratus, ianya akan menjadi jauh lebih tinggi. Ini adalah kerugian besar kepada Terengganu.

Ahmad Razif mesti menjawab kenapa kerajaan Terengganu sanggup menerima bayaran lebih rendah daripada sepatutnya.

Ahmad Razif juga mesti menjawab apa yang terjadi kepada pendapatan telaga minyak baru Bertam 307 yang sepatutnya menjadi milik tuntutan Terengganu.

Mengikut pengumuman awal kerajaan, pendapatan dari telaga minyak Bertam 307 sahaja memberi pendapatan RM100 juta setahun.

Kenapakah kerajaan Terengganu senyap terhadap tuntutan Bertam 307 yang diberitakan diberi kepada negeri Pahang?

Pendapatan RM100 juta setahun adalah hampir separuh daripada jumlah RM210 juta yang dikatakan diterima Terengganu setiap tahun.

Sebagai menteri besar Ahmad Razif mesti menjawab dua soalan utama kepada rakyat Terengganu.

Pertama, kenapa hak royalti Terengganu - yang dihentikan atas permintaan Umno Terengganu pada 1999 - hingga kini masih belum diminta supaya dikembalikan? Isu ini melibatkan hak dan maruah rakyat Terengganu.

Kedua, mengapa Ahmad Razif tidak menuntut hak ke atas telaga minyak Bertam 307 yang telah disahkan oleh perunding antarabangsa - Lundin - berada dalam kawasan perairan Terengganu? Adakah Ahmad Razif hanya akur dengan kenyataan serta kehendak Datuk Seri Najib Razak dan tidak berhasrat menuntut hak rakyat Terengganu?

Rakyat Terengganu menuntut Ahmad Razif dan Umno negeri menebus maruah dan menuntut hak rakyat negeri Terengganu.

Kami juga mencabar menteri besar menghadhiri suatu perbahasan khas isu royalti Terengganu yang akan kami anjurkan tidak lama lagi.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...