Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 16 Jun 2015

Pakatan Rakyat Bubar - Lim Guan Eng.


Padan muka PAS. Ini yang dia cari sangat.
Sungguh pun punca masalah bermula dari kegilaan PKR tapi at least PKR tahu berhenti apabila didesak untuk berhenti. PAS pula jalan terus macam taknak tolenrasi langsung. Lantak la korang semua. Kita hadap aje la dengan BN punya pentadbiran sampai mampos semua.

Baca ;

Kenyataan media Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada 16 Jun 2015 di Kuala Lumpur.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) dalam mesyuaratnya pada 15 Jun 2015 telah memutuskan seperti berikut:

Tidak wujud lagi ‘Pakatan Rakyat’

Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 1 April 2008 sebagai respon bersama oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi memenuhi aspirasi perubahan politik rakyat Malaysia berikutan tsunami pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.
Dengan sokongan hebat daripada rakyat Malaysia, parti-parti pembangkang memenangi lebih satu pertiga daripada kerusi Parlimen dan lima kerajaan negeri.

Pimpinan DAP, PKR dan PAS telah bersetuju untuk membentuk Pakatan Rakyat dengan beberapa prinsip yang dikongsi bersama, dengan harapan untuk menyatupadukan kesemua usaha anti-Umno/Barisan Nasional demi mengusung era baru politik dan pentadbiran penuh integriti, akauntabiliti dan demokrasi dalam sebuah negara Malaysia yang progresif.

Juga telah dipersetujui bahawa proses membuat keputusan dalam Pakatan Rakyat haruslah berasaskan konsensus dan kepercayaan bersama di peringkat Majlis Pimpinan.

Di Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama pada Disember 2009, Dasar Bersama Pakatan Rakyat telah dikemukakan dan dipersetujui oleh ketiga-tiga parti sebagai asas kerjasama tiga parti komponen Pakatan Rakyat.

Muafakat Pakatan Rakyat bukanlah diniatkan sebagai muafakat demi kuasa semata-mata, tetapi sebagai sebuah muafakat yang berpandukan idea, prinsip dan nilai-nilai sebuah negara Malaysia yang baru.

Pakatan Rakyat tampil sebagai alternatif yang mampan bagi menggantikan Barisan Nasional pada PRU ke-13 dan memperolehi 52 peratus undi popular.

Namun, dalam beberapa insiden sepanjang tahun lalu, termasuk krisis Menteri Besar Selangor, keputusan yang telah dicapai di peringkat Majlis Pimpinan telah dicabuli oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mengakibatkan muafakat Pakatan Rakyat hampir lumpuh.

Keadaan Pakatan Rakyat yang hampir lumpuh ini direncatkan lagi dengan kerelaan Hadi untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan bersama Umno serta sokongan beliau terhadap Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak, walaupun telah didedahkan bahawa dana Lembaga Tabung Haji telah digunakan untuk membeli hartanah daripada 1MDB pada harga RM2,773 satu kaki persegi, di Tun Razak Exchange (TRX), yang telah dibeli oleh 1MDB pada harga hanya RM64 satu kaki persegi. BN dan Hadi tidak mempersoalkan kenapa Tabung Haji tidak dibenarkan membeli tanah TRX daripada kerajaan pada harga RM64 satu kaki persegi, dan sebaliknya membeli tanah tersebut daripada 1MDB pada harga RM2,773 kaki persegi.

Perbuatan Hadi memungkiri janji peribadinya di mesyuarat Majlis Pimpinan pada 10 Februari untuk membincangkan cadangan undang-undang hudud PAS terlebih dahulu bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat di peringkat Majlis Pimpinan sebelum ia dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan atau sebelum rang undang-undang persendirian oleh Hadi dikemukakan di Parlimen tambah melumpuhkan lagi keseluruhan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Pengkhianatan Hadi ini diikuti keputusan besar pada 6 Jun 2015 apabila Muktamar PAS, perhimpunan agung yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti tersebut, menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa sebarang perbahasan.

CEC DAP menerima usul Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan secara langsung mengakibatkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Memandangkan Pakatan Rakyat dibentuk oleh ketiga-tiga parti berdasarkan konsensus dan terikat dengan Dasar Bersama, usul di Muktamar PAS itu telah membunuh Pakatan Rakyat. Justeru kini, tiada lagi Pakatan Rakyat.

DAP akan bekerjasama dengan Parti KeADILan Rakyat dan semua pihak yang mahu melihat pemerintahan Umno/Barisan Nasional berakhir, bagi membentuk semula politik Malaysia dengan cita-cita menawan Putrajaya demi rakyat. Kesan daripada hal ini terhadap Kerajaan Negeri Selangor pula adalah sokongan DAP bagi kepimpinan Menteri Besar Selangor Azmin Ali untuk merangka semula kerajaan negeri dengan sebuah muafakat yang mampan berasaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta manifesto pilihanraya Pakatan Rakyat Selangor 2013 yang telah menerima mandat lebih 60% undi popular di negeri itu.

DAP akan berusaha ke arah sebuah muafakat baru yang berprinsip dan lebih meluas yang akan muncul bagi mengisi kelompangan politik serta mampu menyalakan semula harapan ke arah perubahan bagi menjadikan Impian Malaysia kita sebuah realiti, serta masa depan yang lebih baik untuk semua.

- Lim Guan Eng

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...