Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 28 Mei 2020

Tun, Mukhriz, Syed Saddiq, Amiruddin Dan Maszlee Tolak Pemecatan Keahlian PPBM.

[KENYATAAN MEDIA]

1. Melalui surat bertarikh 28.05.2020, telah dinyatakan bahawa kami berlima telah kononnya melanggar peruntukan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu. Dakwaan yang terkandung di dalam surat berkenaan adalah bahawa tindakan kami berlima mengambil kedudukan di Parlimen pada 18.05.2020 sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan menyebabkan kami melanggar perlembagaan parti BERSATU.


2. Peruntukkan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan BERSATU menyatakan:

(i) 10.2.2 Mengisytiharkan keluar daripada parti.

(ii) 10.2.3 Menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini. 

Dilihat pada takrifan di atas, amat dangkal dan tidak munasabah untuk kami dikatakan telah keluar parti sedangkan kami hanya melaksanakan apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan hak kami di bawah  Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah.

3. Kami langsung tidak bersetuju bahawa keahlian kami terhenti secara serta-merta apatah lagi ianya bertentangan dengan undang-undang serta juga menafikan hak kami untuk membela diri dan memberi penjelasan, yakni hak yang dijamin di bawah prinsip kedaulatan undang- undang.

4. Yang jelas , pejabat Presiden bermain politik semasa isu Covid-19 dan kegawatan ekonomi yang kini melanda negara. Ini juga menampakkan sikap diktator Presiden. Kami juga menyatakan di sini bahawa tindakan sebelah pihak (unilateral) oleh Presiden BERSATU kini dalam memecat kami tanpa sebab adalah kerana kegusaran beliau dalam menghadapi pemilihan parti serta posisi beliau yang tidak selamat selaku Perdana Menteri yang paling tidak stabil dalam sejarah pentadbiran negara kita.

5. Surat yang diutus kepada kami juga pada zahirnya menampakkan kecelaruan urusetia parti BERSATU kini. Ianya ditandatangani oleh individu yang tidak diberikuasa di bawah perlembagaan parti dan tidak langsung menampakkan BERSATU ditadbir secara profesional. Tindakan seorang Setiausaha Kerja yang mengutus surat sebegini kepada yang diantaranya adalah para pengasas parti BERSATU sendiri adalah sangat menjelikkan serta biadab.

6. Pihak kami tidak menerima pemecatan salah ini yang jelas bertentangan dengan undang-undang dan merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan bukan sahaja untuk diri kami tetapi untuk memastikan kemaslahatan ahli-ahli akar umbi BERSATU. 

7.Kami akan memastikan BERSATU kembali ke landasan betul dan tidak lagi dijadikan wahana pacuan sesetengah pihak yang hanya tamakkan kuasa dan kedudukan. Pada Ahli-Ahli Parlimen BERSATU yang lain, kami menyeru dan memanggil anda, lihat apa yang kini berlaku pada parti kita sendiri, hilang kuasa di negeri-negeri dan menjadi bahan mainan parti yang dulu kita tentang bersama. 

Bertarikh: 28.05.2020

#Kekal Berprinsip #Selamatkan Bersatu

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad
Ahli Parlimen Langkawi
Pengerusi Bersatu

Dato Seri Utama Mukhriz Mahathir
Ahli Parlimen Jerlun
Timbalan Presiden Bersatu

Syed Saddiq bin Syed Rahman
Ahli Parlimen Muar
Ketua Armada Bersatu

Dato Wira Hj Amiruddin bin Hj Hamzah
Ahli Parlimen Kubang Pasu

Dr. Maszlee bin Malik 
Ahli Parlimen Simpang Renggam
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...