Pada 16 Mei 2015, saya dah nyatakan pendirian saya:
"Kita akan buat berdasarkan budi bicara atas dasar kemanusiaan tapi kita tidak boleh bagi isyarat yang Malaysia terbuka, siapa-siapa hendak masuk, boleh masuk,”
Itu pendirian saya mengenai etnik Rohingya dan hari ini saya masih lagi kekal dengan pendirian yang sama.
Kalau kita benarkan, apa erti kedaulatan negara ini?
Pada masa ini, kita berdepan dengan satu wabak yang sungguh dahsyat dan kita sudahpun menutup sempadan kita maka tiada keperluan untuk kita menerima mana-mana warganegara termasuk pelarian.
Keutamaan perlu diberikan pada rakyat Malaysia.
Tidak perlu dibahaskan atau dipersoalkan lagi. Muktamad.
Pada 17 April lalu, masih ada lagi yang nak masuk ke negara ini. Alhamdulillah tentera kita sangat efektif.
Tiada kompromi apabila kita dah tetapkan bahawa sempadan kita ditutup dari warga asing.
Seperti saya kata, jika dibenarkan, ia akan menjadi kelaziman dan semakin ramai yang akan masuk. Kalau 200 nak masuk, sudah tentu ada yang lain menunggu.
https://www.bharian.com.my/…/cubaan-200-pati-seludup-masuk-…
Tetapi kita tetap dengan sifat kemanusiaan dan tentera kita tetap agihkan makanan kepada pendatang tanpa izin ini.
Bukan arah mereka pusing balik semata-mata tanpa sebarang bantuan.
Ia juga akan menjadi bencana kemanusiaan namun saya juga tetap dengan pendirian bahawa Malaysia tidak seharusnya dibebankan dengan masalah ini.
Malaysia tidak boleh lagi berterusan menjadi destinasi utama etnik ini dan menanggung beban ini secara sendiri.
Apatah lagi, ada pertubuhan yang tidak berdaftar atau NGO-NGO tertentu dari dalam dan luar negara yang mahukan kesaksamaan dari kerajaan, disebalik status mereka?
Inilah kata orang, sudah diberikan betis, nak peha pulak.
Kita tak zalim tetapi sampai bila kita perlu tangani masalah ini yang bermula sejak tahun 1990an?
Sampai bila?
Adakah ASEAN ini hanya terdiri dari Malaysia sahaja?
Malah, punyalah baik hati Malaysia, pada pentadbiran saya lalu, kita buatkan hospital medan di Cox Bazar melalui Angkatan Tentera Malaysia.
Sebab itu, tiada siapa yang boleh menuduh Malaysia tidak pernah buat apa atau berlaku zalim dalam isu pelarian Rohingya in.
Sebaliknya, saya percaya Malaysia adalah antara negara yang paling banyak menolong selama ini. Tapi janganlah ambil kesempatan dari kebaikan kami ini.
Dan maaf cakap, PBB pernah ‘suarakan kebimbangan’ malah pada 23 Januari lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) sudahpun memerintahkan Myanmar untuk memastikan tenteranya menghentikan genosid terhadap etnik Rohingya di negara mereka.
http://www.astroawani.com/…/icj-bela-nasib-etnik-rohingya-p…
Selepas itu, apakah tindakan selanjutnya?
Apa dilakukan UNCHR? Apa fungsi mereka?
Nampaknya Malaysia bukan lagi dijadikan tempat perlindungan sementara tetapi ada yang berhasrat malah sudah jadikan Malaysia sebagai rumahtangga mereka namun ada juga tak mahu patuh pada undang-undang tetapi nakkan kesaksamaan seperti diterima rakyat Malaysia. Siap ada yang mendakwa mewakili pertubuhan padahal tidak berdaftar pun.
Adakah kita benci pada mereka?
Tidak.
Kita tak suka pada sikap mereka yang tak mahu menjaga kebersihan, tidak mahu mematuhi undang-undang tetapi mahukan kesaksamaan melampau.
Kita perlu utamakan rakyat Malaysia.
Kerajaan perlu bertegas dalam soal pelarian ini dan desak PBB untuk tempatkan semula etnik ini kembali ke Myanmar.
ICJ sudah buat keputusan jelas dan PBB perlu buat tindakan susulan dan bukan sekadar keluarkan kenyataan retorik semata-mata.
Dan jika atas dasar kemanusian dan atas sebab lokasi, Malaysia diperlukan mewujudkan sebuah kem penempatan sementara bagi pelarian Rohingya di sebuah pulau berasingan seperti apa yang negara pernah buat di Pulau Bidong untuk pelarian Vietnam pada masa silam, PBB dan ASEAN perlu menanggung kos serta tanggungjawab ini bersama-sama.
Tapi ini bukan penempatan kekal.
PBB juga perlu memberi jaminan bahawa penempatan semula pelarian Rohingya ke negara-negara ketiga akan dipercepatkan oleh mereka. - 23 April 2020.