Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 23 Mac 2020

MAIWP Akan Tetap Anjur Majlis Serahan Bantuan Untuk Bakar Semangat Asnaf - Penjelasan Timbalan Menteri.

The Malaysian Insight | MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) akan tetap menganjurkan beberapa siri majlis penyerahan bantuan keperluan harian kepada golongan asnaf yang terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Ini kerana, kehadiran menteri atau timbalan menteri dalam program berkenaan akan menjadi pembakar semangat kepada kumpulan asnaf yang terjejas sepanjang penguatkuasaan PKP dijadualkan berakhir 31 Mac ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Majlis berkenaan bagaimanapun katanya hanya dijalankan dalam skala kecil dengan berpandukan garis panduan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita hadkan (penganjuran program sepanjang PKP), ikutkan banyak tapi kita jadikan sekadar yang perlu.

“Untuk tunjuk keyakinan dan beri semangat, yang penting bila menteri dan timbalan menteri turun padang ia memberi semangat harap mereka (asnaf) bertahan dan bersabar dengan situasi hari ini,”
kata Marzuk.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan makanan harian dan wang tunai kepada 10 asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, di ibu negara.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, melalui program sedemikian, pihak berkuasa agama juga akan mengumpul beberapa maklumat penting yang tidak dapat diperolehi tanpa bersemuka.

“Kita boleh dengar masalah mereka dan kutip maklumat yang perlu yang kadang kala tak dapat dengan saluran rasmi tertentu, bila jumpa begini akan dengar secara langsung daripada masyarakat,” katanya.

Selain barangan keperluan harian bernilai RM300, penerima juga menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM200.

Bagi asnaf-asnaf lain, wang tunai RM500 akan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing di bawah bantuan zakat khas tambahan, bermula April depan.

“Kita buat (program ini) sebagai tanda kita tunjuk keprihatinan tapi kita raikan SOP (prosedur operasi standard) dan standard keselamatan MKN, pogram tidak lama, dengan kita jarakkan kehadiran.

“Kita buat hari ini tunjuk prihatin dan simpati kepada asnaf, dalam meraikan SOP keselamatan MKN,” katanya, lagi.

Sumbangan yang disampaikan merupakan salah satu daripada misi agensi pengurusan Islam di bawah menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan agama itu untuk membantu pihak terjejas ekoran penularan wabak Covid-19.

Antara bantuan yang disediakan Maiwp adalah mempercepatkan bantuan kewangan bulanan daripada 25 Mac, kepada 19 Mac kepada 24,196 asnaf.

Agensi itu juga mengagihkan barangan berbentuk makanan kering kepada petugas Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, setiap hari bermula 21 Mac hingga tamat PKP. – 23 Mac 2020.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...