Oleh : Shahbudin Husin
Hakikat
bahawa UMNO kini sangat terdesak untuk memenangi pilihanraya umum akan
datang tidak boleh disangkal lagi apabila mereka kini tanpa rasa malu
atau bersalah mahu melebarkan jangkauan kempen hingga ke sekolah-sekolah
rendah.
Selama
ini sekolah sentiasa bebas daripada unsur kepartian kerana murid-murid
dihantar ke sana untuk menuntut ilmu dan menjadi pandai, bukan akhirnya
untuk menjadi balaci dan mengagungkan kleptokrasi.
Kenyataan
Menteri Pendidikan, Mahadzir Khalid bahawa membawa bendera dan
menyanyikan lagu UMNO di sekolah-sekolah tidak bersifat politik dengan
alasan parti itu yang memperjuangkan kemerderkaan, terlihat bukan saja
menggelikan hati, malah menjengkelkan sekali.
Kenapa
baru sekarang baru teringat untuk memberitahu murid-murid sekolah
rendah dan guru-guru bahawa UMNO yang memperjuangkan kemerdekaan
sedangkan kita merdeka sejak tahun 1957 lagi?
Tidak
cukupkah fakta mengenai perjuangan UMNO dan kemerdekaan negara yang
sudah tertulis dalam buku-buku sejarah dan diajar oleh guru kepada
murid-murid sekolah?
Mengapa hanya tahun ini iaitu menjelang PRU 14 saja terlihat kesungguhan untuk mengUMNOkan sekolah-sekolah?
Mengapa tidak pada tahun-tahun sebelumnya?
Bukankah sambutan bulan kemerdekaan sudah diadakan setiap tahun sejak beberapa tahun yang lalu?
Jika
alasan sejarah mahu digunakan, bolehkah PKR dan DAP mahu mengadakan
program yang sama di sekolah kerana kedua-dua parti itu juga mencipta
sejarah sebagai pemerintah baru di Selangor dan Pulau Pinang selepas
UMNO sejak 10 tahun yang lalu?
Bolehkah
juga diadakan program pengkisahan sejarah kepada murid-murid mengenai
sumbangan dan peranan Tun Mahathir Mohamad sebagai Bapa Pemodenan
Malaysia yang yang patut dikenang dan disanjung?
Bolehkah kerajaan dan Menteri Pendidikan bersikap adil dalam hal ini?
Apa
pun hujah dan alasannya, apa yang sudah dilakukan UMNO mengenai program
di sekolah di Putrajaya beberapa hari lalu dan jawapan Menteri
Pendidikan yang menghalalkan perbuatan itu, keterdesakan UMNO nyata
sukar dinafikan.
Sementara
di universiti dan pusat-pengajian tinggi larangan berpolitik sangat
dikuatkuasakan, hakikatnya adalah amat bertentangan apabila budaya
politik UMNO tiba-tiba dibenar untuk diadakan di peringkat sekolah
rendah.
Terlanjur
UMNO sudah begitu terdesak dan kemaruk untuk berpolitik hingga ke
sekolah rendah, ada baiknya jika kerajaan cepat-cepat menukar peraturan
dengan segera memberi kebenaran kepada murid-murid sekolah seawal usia 7
tahun untuk mengundi sama mulai PRU 14 akan datang.
Ia
tentunya suatu keputusan yang amat bermakna jika dilaksanakan kerana di
sebalik rakyat tidak lagi mempercayai UMNO, peneroka Felda dan
kakitangan kerajaan sudah terbelah dua, hanya sokongan murid-murid
sekolahlah sandaran terbaik bagi Najib Razak, UMNO dan BN untuk terus
mengekalkan kuasanya.
Ini
kerana murid-murid sekolah belum begitu faham mengenai rasuah,
pembaziran, kemewahan, salah guna kuasa, penyelewengan, bagaimana rupa
rantai dan cincin juta-juta serta jauh sekali pernah mendengar perkataan
kleprokrasi.