Oleh : Sosialis
Latar belakang perjuangan peneroka Gatco
Peneroka-peneroka yang menetap di Kampung Gatco berasal dari ladang-ladang di seluruh Semenanjung Malaysia. Kebanyakan merela telah berhijrah ke Kampung Gatco dengan harapan bahawa generasi sekarang (generasi yang ketiga) akan menikmati satu kehidupan yang lebih stabil dari segi punca pendapatan.
Kebanyakaan penduduk Kampung Gatco mula menetap di kampung ini sejak tahun 1970-an dalam satu projek yang diusahakan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW), iaitu Sugarcane Small Holder Settlement Scheme 1975. Anak syarikat NUPW, iaitu Gatco (The Great Alonioners Trading Corp Bhd) ditubuhkan untuk menjalankan dan mengawasi projek tersebut.
NUPW telah menyewa tanah seluas 4932.52 ekar yang asalnya hutan lebat untuk 66 tahun, iaitu bermula dari 1 Januari 1977 daripada kerajaan negeri di bawah PKNNS. Tebu ditanam sebagai pertanian komoditi yang utama disebabkan terdapat kilang gula NS berdekatan. Penduduk Kampung membayar sebanyak RM 7,600 pada 1977 (iaitu satu nilai yang tinggi pada masa itu), di mana RM 2,600 sebagai wang pendahuluan untuk satu ekar tanah, pembinaan rumah dan infrastruktur di kawasan perumahan dan kemudiannya dibayar lagi wang sebanyak RM 5,000 sebagai wang pendahuluan untuk membersihkan hutan, infrastruktur serta penanaman tebu bagi 10 ekar tanah setiap orang.
Namun, malangnya Syarikat Gula N.S. telah muflis serta terpaksa tutup kerana mengalami masalah kewangan. Penduduk kampung mengalami satu situasi yang sangat getir pada masa itu. Pada masa itu, pihak NUPW dengan kadar pantas mengambil pinjaman kewangan bank sebanyak RM 15 juta daripada United Asian Bank Berhad untuk penanaman semula getah. Tanah yang sepatutnya dimiliki penduduk telah berkurangan daripada 10 ekar kepada 8 ekar seorang di bawah satu perjanjian baru yang dibuat pada 26 April 1983.
Disebabkan ketidakcekapan pentadbiran, sekali lagi projek getah ini juga gagal. Kegagalan yang terbesar apabila beberapa pihak mengisytiharkan Projek Gatco muflis disebabkan syarikat tersebut tidak bayar upah kepada kontraktor, iaitu sebanyak RM135,000.00. Penduduk Gatco kemudian membawa kes ini ke mahkamah pada tahun 1985. Pihak bank yang meminjam kewangan untuk penanaman semula getah melantik The Great Alonioners Trading Corporation Berhad c/o Singam & Yong untuk menjual tanah ini. Pada tahun 4 December 2003, satu lelongan awam telah dipanggil dengan kadar lelongan sebanyak RM16 juta.
Pihak penduduk berjaya membayar sebanyak 2%, iaitu sebanyak RM320,000 kepada pelikuidasi pada 18 Ogos 2004. Akan tetapi, pelikuidasi telah memberi tanah ini kepada satu syarikat korporat yang datang kemudian entah dari mana. Pada masa itulah syarikat yang bernama Thamarai Holdings sdn. Bhd muncul dan seterusnya menyatakan mereka adalah tuan tanah yang baru dan sah. Peneroka Gatco dapat tahu bahawa penjualan tanah ini tidak dibuat melalui lelongan awam padahal dijual melalui perbincangan serta persetujuan secara peribadi.
Pihak penduduk kemudian memfail kes di Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan hak mereka. Selepas beberapa perbicaraan, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan segala keputusan yang dibuat terlebih dahulu dan menyatakan bahawa cara pembelian dan penjualan tanah ini tidak mengikut prosedur tepat serta mungkin mengandungi unsur penyelewengan. Justeru, pihak Mahkamah Rayuan memberi laluan kepada peneroka Gatco untuk memfailkan kes ini semula di Mahkamah Tinggi pada 24 Februari 2014. Sebelum penduduk Gatco memperolehi keputusan Mahkamah Rayuan, tiba-tiba PKNNS muncul bersama Thamarai Holdings Sdn. Bhd dan menceroboh tanah milik peneroka Gatco. Pencerobohan ini berlaku sehingga kini dan apabila mereka cuba menghalang pencerobohan ini, pihak polis serta Rela menganiaya penduduk di sana.
Ancaman Terhadap Tanah Peneroka Berterusan
Buat masa sekarang, keputusan pihak Mahkamah Rayuan pada 25 Februari 2014 telah pun memihak kepada peneroka Kampung Gatco, namun pihak pemaju giat menggunakan taktik kotor melibatkan Kerajaan Negeri Sembilan dan PKNNS, RELA, Polis serta samsung untuk menceroboh tanah usaha milik peneroka Gatco.
Sejak kebelakangan ini, atas nama PKNNS, beberapa jentolak telah memasuki kawasan ladang Gatco dan sedang bergiat menebang dan memotong pokok getah yang ditanam oleh penduduk Gatco. Apabila peneroka Gatco cuba menghalang dan meminta dokumen yang sah untuk mereka bekerja di kawasan ini, pihak polis dan Rela sering kali bersikap kasar dan menangkap kami.
Pihak polis dan RELA berat sebelah dan bertindak ganas
Pasukan Rela diberi tanggungjawab untuk menjaga kawasan tanah penebangan. Mereka diberi tanggungjawab (tidak tahu oleh siapa) untuk menjaga para peneroka daripada memasuki kawasan tersebut, malah juga tidak dibenarkan menggunakan jalan utama ke kebun peneroka sendiri. Mereka sering menggunakan kata-kata lucah, menghasut, dan bersikap kasar terhadap peneroka-peneroka wanita yang menggunakan laluan tersebut.
Beberapa kejadian pernah berlaku di mana pihak polis memberi kuasa kepada Rela untuk menahan dan menggari. Beberapa insiden berlaku, apabila peneroka yang pulang dari kebun getah ditahan dan digari oleh pasukan Rela dengan kerjasama Polis dan membawa peneroka ini ke Balai Polis Air Hitam serta diugut akan dikenakan pelbagai tuduhan terhadap mereka. Beberapa orang peneroka yang ditangkap juga telah direman selama beberapa hari.
Mereka menangkap peneroka Gatco atas alasan peneroka ini menghalang dan menceroboh kawasan tanah milik PKNNS. Setakat ini sebanyak 245 aduan polis telah pun dibuat ke atas Polis, Rela dan PKNNS bahawa mereka menceroboh tanah peneroka gatco kerana tiada dokumen dikemukakan yang menyatakan tanah ini milik PKNNS. Akan tetapi, sehingga kini tiada siasatan dijalankan ke atas aduan-aduan peneroka Gatco.
Satu insiden yang pernah berlaku adalah Ketua Balai Air Hitam, Sarjan Mejar Abu Bakar bertindak ganas dan cuba melakukan perbuatan lucah terhadap peneroka wanita dengan membuka zip seluar dan mengajak mereka tidur bersama beliau.
Kejadian seperti ini sering kali berlaku pada peneroka Gatco sehingga punca pendapatan mereka terjejas dan terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Peranan Kerajaan Negeri mencurigakan
Satu lagi persoalaan adalah, mengapakah Kerajaan Negeri terlibat? Menteri Besar Negeri Sembilan pernah turun ke Kampung Gatco dan memberi janji bahawa Kerajaan Negeri akan berusaha untuk memberi tanah kepada peneroka sebanyak 4 ekar untuk peneroka asal dan 2 ekar untuk peneroka yang datang kemudian. Akan tetapi, tiada satu surat hitam putih diberikan, ia hanya kata kata manis oleh MB. Selepas itu, Kerajaan Negeri menggunakan PKNNS untuk menjalankan kerja mereka di tanah peneroka Kampung Gatco. PKNNS juga telah meletakkan papan tanda di sekeliling ladang ini yang menyatakan tanah ini adalah hak milik tanah kerajaan.
Pada 22 April 2015, ADUN Senawang, Guna, mengemukakan soalan kepada Kerajaan Negeri semasa sidang DUN tentang penglibatan serta status Kerajaan Negeri di tanah peneroka Gatco. Dalam jawapannya (secara bertulis), Kerajaan Negeri mengatakan bahawa tanah ini pada asalnya dipajak kepada Syarikat Gatco. Kini, oleh kerana Syarikat Gatco telah muflis, Kerajaan Negeri telah berunding dengan pemilik sah, iaitu Thamarai Holdings untuk menyerahkan tanah seluas 1206 ekar kepada peneroka.
Persoalannya di sini adalah bagaimana Thamarai Holdings boleh menjadi pemilik sah dan memberi tanah ini kepada Kerajaan Negeri padahal mahkamah telah memutuskan ada unsur penyelewengan dalam urusan pembelian tanah oleh Thamarai Holdings? Mengapa pula PKNNS meletakkan papan tanda yang menyatakan Tanah Milik Kerajaan dan kawasan yang dibersihkan dan kayu getah yang dikeluar dibuat oleh kontraktor MIC?
Pejabat Daerah bersuhabat?
Pada 3 dan 4 Mac 2015, Pegawai Daerah bersama pegawai-pegawai lain datang ke Kg Gatco dan memberitahu para peneroka bahawa mereka berhasrat untuk meletakkan 7 buah jentolak di ladang mereka. Tetapi setiba sahaja jentolak ini, mereka mula menebang dan mengeluarkan kayu getah peneroka secara giat dan meluas. Ini jelas menunjukkan bahawa pegawai daerah juga terlibat dalam usaha menebang sedangkan keputusan Mahkamah Rayuan telah pun berpihak kepada peneroka di sini.
Pegawai Daerah juga seringkali menyatakan bahawa mereka hanya menjalankan mengikut arahan “pihak atasan” akan tetapi tidak pernah menunjukkan sebarang dokumen berkenaan dan memberitahu siapa yang mengarahkannya. Peneroka dan penduduk asal tempat ini berhak mengetahui segala aktiviti yang dijalankan di atas tanah mereka. Peneroka langsung tidak dipanggil untuk rundingan atau diberikan maklumat.
Persoalannya adalah, setahu peneroka, tanah ini hanya berada pada nama Syarikat Thamarai dan keputusan Mahkamah Rayuan telah pun berpihak kepada Peneroka, di mana cara pembelian oleh Thamarai Holdings menunjukkan ada unsur-unsur penyelewangan dengan menggunakan dokumen palsu. Jadi, mengapakah pihak Pejabat Daerah Jempol masuk campur urusan sebuah syarikat swasta yang tidak mempunyai pemilikan secara sah?