Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 7 Ogos 2018

Komunis Juga Penjajah - Tuan Guru Hadi Awang.

KOMUNIS JUGA PENJAJAH

Saya tertarik kepada polemik berkenaan adakah kumpulan komunis itu juga pejuang kemerdekaan yang perlu disenaraikan dalam perjuangan menentang penjajah dahulu?

 
Sebelum menghukum hendaklah dibaca dan dikaji sejarah dan kefahamannya. Kalangan ilmuan pengkaji sejarah bersepakat bahawa teori komunis adalah ijtihad manusia Yahudi German bernama Karl Marx. Dia bukan Melayu, bukan Cina, bukan India dan bukan juga dari kalangan penduduk asal di hutan rimba tanah air kita.

Teorinya yang ekstrem membela rakyat marhaen yang miskin sehingga menasionalisasikan (merampas dan memilik negarakan harta) sangat menarik pemikiran ramai rakyat Asia yang tertindas. Namun mereka terlepas pandang teorinya yang menolak adanya Tuhan yang dipercayai oleh semua agama, lebih-lebih lagi agama Islam yang lengkap pengajarannya melibatkan ekonomi, politik dan seluruh aspek kehidupan manusia sejagat. Maka Islam menjadi musuhnya paling ketat. Bahkan ramai daripada kalangan ilmuan dan pemimpin Barat menganggap Islam lebih bahaya daripada komunis, walaupun mereka juga berperang menentang komunis sehingga hari ini.

Walaupun komunis itu tidak membawa bala tenteranya seperti negara Barat yang menjajah kita, tetapi fahamannya menjajah pemikiran rakyat pelbagai kaum yang direkrut menjadi bala tenteranya. Memang mereka juga menentang penjajah Barat, tetapi mereka juga adalah bala tentera penjajah pemikiran komunis, di mana bahayanya lebih besar dari bala tentera penjajah Barat yang berkulit putih itu. Ini kerana fahaman komunis itu membunuh akidah secara ekstrem. Adapun penjajah Barat secara lebih terang-terangan dapat dilihat wajahnya.

Di sinilah saya memahami mengapa pemimpin generasi awal daripada PAS seperti Almarhum Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan lain-lain yang menentang penjajah British tidak bersama komunis ke dalam hutan. Bahkan mereka juga menyokong ISA kerana menentang komunis, bukannya menangkap ikut suka hati.

Kita juga membaca bagaimana tanah air umat Islam yang dijajah oleh komunis itu menerima akibat yang lebih dahsyat daripada penjajah Barat, di mana kesannya masih nyata pada hari ini. Walaupun ideologi komunis telah dikuburkan oleh penganutnya sendiri.

Saya dapati ijtihad pemimpin kita yang sama-sama menentang penjajah Barat, tiba-tiba menentang komunis adalah tepat kerana menentang musuh yang lebih berbahaya hendaklah diutamakan. Inilah petunjuk Allah kepada Rasulullah S.A.W dalam menghadapi percaturan antarabangsa pada zamannya di antara Rom dan Parsi yang menjadi sebab turun Surah Ar-Rum yang bermula dengan firman Allah:

غُلِبَتِ الرُّومُ (2) فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ (3) فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِن بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ (4) بِنَصْرِ اللَّهِ يَنصُرُ مَن يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ (5)

“Orang-orang Rom telah dikalahkan. (2); Di negeri yang dekat sekali dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. (3); Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. (4); Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (5)”. (Surah Ar-Rum: 2-5)

Allah mewahyukan ayat-ayat ini apabila Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya berdukacita Rom dikalahkan oleh Parsi, walaupun kedua-dua kuasa besar itu bermusuh terhadap Islam, tetapi Parsi yang beragama Majusi lebih besar bahaya daripada Rom. Al-Quran adalah petunjuk kepada umat Islam dalam segala aspek.

Maka kita mengharapkan mereka yang menjadi mangsa kekejaman komunis itu mendapat kelebihan para syuhada’ kerana menentang musuh Islam yang lebih besar dan mereka yang berpihak kepada komunis itu diampunkan dosa kerana kejahilannya. Inilah dia Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Ahad, 5 Ogos 2018

MB Perak Nafi Terlibat Dalam Majlis Wanita Berpakaian Seksi.

KENYATAAN MEDIA - MENTERI BESAR, KERAJAAN NEGERI TIADA KAITAN DENGAN MAJLIS TAMPILKAN WANITA BERPAKAIAN SEKSI.
 
Assalamualaikum WBT dan selamat petang,
Saya terpanggil untuk membuat satu kenyataan media menafikan pembabitan saya, Pejabat Menteri Besar Perak dan juga mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri Perak dalam satu majlis 'amal' yang menampilkan seorang penyanyi wanita yang tampil berpakaian seksi, seperti yang tersebar di media sosial.



Dalam klip video berdurasi 1 minit 24 saat itu, seorang penyanyi wanita kelihatan tampil membuat persembahan tarian dan nyanyian dengan pakaian seksi pada satu majlis makan malam.

Terpapar pada skrin besar dalam video tersebut adalah "Persatuan Kebudayaan dan Pelancongan Kinta Perak. Malam Amal Ratu Kebudayaan Yang ke-14 Tahun 2018. Ratu Kebaya, Ratu Sari, Ratu Cheongsam."

Turut dipaparkan pada skrin besar dalam video tersebut adalah : "Ribuan terima kasih dan penghargaan kepada tetamu terhormat YB M Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia) dan YAB Ahmad Faizal Azumu (Menteri Besar Perak)".

Pihak penganjur juga didapati telah menggunakan logo Jata Negeri Perak, logo Visit Perak 2017 dan logo Tourism Perak pada skrin latar majlis tersebut.

Saya telah meminta pihak berkaitan untuk menyemak kaitan kerajaan negeri dengan majlis tersebut dan makluman yang saya terima menunjukkan tiada sebarang tajaan atau kehadiran mana-mana wakil pejabat Menteri Besar atau mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri pada majlis terbabit.

Justeru itu, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya pembabitan saya, pejabat Menteri Besar Perak dan juga mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri Perak secara langsung atau tidak langsung dengan majlis itu.

Saya tidak pasti apakah niat pihak berkenaan berbuat demikian, tetapi saya memandang serius perbuatan berkenaan kerana ia melibatkan imej institusi Menteri Besar Perak dan juga kerajaan Perak keseluruhannya.

Susulan daripada kejadian yang mendukacitakan ini, saya telah mengarahkan supaya mana-mana pihak yang ingin menggunakan imej saya atas kapasiti sebagai Menteri Besar, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen supaya merujuk kepada Pejabat Menteri Besar terlebih dahulu.

Ini adalah bertujuan melindungi imej insitusi Menteri Besar Perak dan imej kerajaan negeri Perak secara keseluruhannya dari sebarang acara atau aktiviti yang boleh menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat pelbagai agama dan kaum, serta menyentuh perkara-perkara sensitif.

Sekian, terima kasih.

AHMAD FAIZAL DATO' AZUMU
MENTERI BESAR PERAK
SABTU, 5 OGOS 2018

Ini Luahan Kekecewaan Mazlan Aliman Mengenai Bayaran Sara Hidup Peneroka FELDA.

CATITAN MAZLAN ALIMAN ISU FELDA.

Telah seminggu saya tidak menulis samada di fb, whatsapp group dan lain-lain.

Ada orang kata saya kecewa tiada jawatan dalam Felda. Ia berdasarkan whatsapp, sms dan panggilan talipon kepada saya.


Ye, saya mungkin kecewa. Namun, saya lebih kecewa dan tidak mampu untuk menutup kekecewaan saya terhadap cara pengurusan kita dan Felda menangani isu Felda, khususnya bayaran Sara Hidup terhadap kira kira 31 ribu peneroka Felda yang terlibat dengan tanam semula.

Sara Hidup umpama 'gaji' bagi peneroka. Ianya telah gagal dibayar mengikut jadual. Kegagalan kali kedua. Hari ini, 4 Ogos, berapa lama sudah lewat; seharusnya Sara Hidup dibayar antara 23-25 hb, setiap bulan.

Saya telah salurkan isu ini kepada pemimpin terbabit. Dari Pengarah Besar Felda hingga ke Pengurus Besar Wilayah(RGM). Dari Pak Menteri yang jaga Felda sampai ke menteri lain.

Dimana silapnya, sampai hari ini berlarutan. Jawapan hampir standard, "Felda sedang berdepan dengan krisis kewangan yang parah, akibat mewarisi Kerajaan lama"."Bersabar, kita sedang tangani"....

Apabila peneroka hubungi saya dan menyumpah seranah, saya berusaha menjadi pendengar yang baik. Adakalanya, makin diberi penjelasan, bertambah teruk dimakinya saya.

 

"Dah jadi Kerajaan dan ada kuasa, isu Sara Hidup pun tak boleh selesai? "Dulu janji macam-macam (diikuti dengan carut mereka).."

Saya pun manusia biasa. Bayangkan, di maki setiap hari khususnya dalam media sosial.

Apa pun persepsi kita pada peneroka, harus ingat, mereka sedang bergelut untuk survive. Mereka sedang hadapi derita. Nak bayar segala bil, keperluan harian, belanja anak sekolah dan lain lain. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul!

Terimakasih kepada YAB PM, Tun Dr Mahathir yang menyentuh soal Sara hidup peneroka dalam mesyuarat tertinggi PH kelmarin. 


Terimakasih juga buat Sdr Husam Musa, yang hubungi saya dan ajak sarapan pagi semalam. Memberi pandangan dan nasihat yang berkaitan Felda. Beliau antara sahabat yang peka tentang Felda.
"Orang lain mana tau sangat tentang Felda syeikh. Anta kena terus bantu Felda. Ana dah sebut benda ni dalam mesyuarat PH". Kata Husam.

Saya bermuhasabah. Saya yakin hikmah disebalik perlantikan Pengerusi Felda dan Lembaga Pengarah Felda yang baru.

Tahniah buat Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dan barisan Lembaga Pengarah Felda yang telah dilantik. Saya yakin atas kemampuan mereka.

Felda perlukan kepimpinan yang memiliki kelulusan tinggi dan 'corporate skills', demi membawa Felda kembali ke era cemerlang. Saya bukan orangnya, apatah lagi tugas memulihkan semula Felda terlalu amat sukar.

InshaAllah, saya bersama Ngo ANAK, SGK2F, MBFM, KAF dan lain lain, akan terus komited memperjuangkan hak dan kepentingan peneroka dan warga Felda pada keseluruhannya, meskipun 'diluar gelanggang'.

Catatan anak Felda,
Mazlan Aliman
4 Ogos 2018


Sumber : ANAK

Kediaman Rasmi MB Perak Dijual, Akan Bina Rumah Lain.

Oleh : Bernama

Kawasan kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini mungkin akan dijual memandangkan ia dilihat tidak lagi sesuai untuk didiami, kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

 
Beliau berkata aspek keselamatan antara satu daripada sebab kediaman rasmi itu tidak lagi boleh diduduki selain lokasinya yang kurang sesuai pada ketika ini.

“Sekarang naik (terdapat) pelbagai bangunan (sekitar kediaman), maka rumah ini tidak lagi sesuai untuk MB (menteri besar) tinggal, bukan saya sahaja tapi sesiapa pun (selepas saya).

“Saya telah sembah maklumkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengenai perkara ini,”
katanya dalam temu bual khas di kediaman rasmi Menteri Besar, baru-baru ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata nilai tanah kawasan kediaman itu adalah tinggi dan jika ia dijual banyak projek boleh dilaksanakan seperti pembinaan rumah untuk semua Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco).

Ahmad Faizal berkata Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang mengumpul cadangan daripada pelbagai pihak berhubung projek yang sesuai dilaksanakan di kawasan tersebut bagi mengantikan kediaman rasmi Menteri Besar.

“Kami akan pastikan, apapun yang akan dilaksanakan akan menjaga kepentingan negeri selain mempunyai nilai kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya jika kediaman rasmi baru Menteri Besar dibangunkan nanti, ia akan dibina dengan teguh, cantik serta boleh dikunjungi orang awam untuk mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.

Kediaman rasmi Menteri Besar yang terletak berdekatan bulatan Sultan Yusof itu dibina pada 1962 dan siap setahun kemudian.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal meminta media di Perak menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dalam menyampaikan sebarang maklumat untnuk memajukan negeri.

“Anda (media) kerap ke lapangan boleh sampaikan kepada saya masalah dan kesusahan rakyat,” katanya sambil berharap media dapat menjalin kerjasama erat sebagai sahabat dengannya. - 5 Ogos 2018.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...