Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 8 Februari 2018

Tukar Cara Kira Hibah, Tabung Haji Dikecam Kaw-Kaw Di Laman Sosial.

SEMALAM, Lembaga Tabung Haji mengumumkan pembayaran dividen kepada semua pemegang-pemegang akaun simpanan di Tabung Haji seluruh Malaysia.

Bagaimanapun pengumuman berkenaan tidak disambut baik oleh rata-rata netizens yang merasakan tertipu dengan pengumuman tersebut.


Antaranya, Nota Umrah Ziarah yang menulis di Facebook mereka bahawanya Tabung Haji telah menukar cara penggiraan hibah (dividen) mereka bermula tahun ini.

"Selepas di ZOOM betul-betul baru admin perasan pengiraan dividen 2017 diambil atas baki terendah dalam setahun. Tidak seperti sebelum ini baki terendah dalam sebulan 

Senario‼️

Pada 1 Januari 2017, baki wang si 'A' dalam akaun TH sebanyak RM 10,000. 

Pada 1 Februari 2017 si 'A' keluarkan wang RM 10,000 sebab kawan nak pinjam kejap buat syarat nak letak atas par sebagai wang hantaran. Baki akaun si 'A' tinggal RM 0.00. 

2 Februari 2017 si 'A' deposit balik ke akaun TH. Duit kekal berada di akaun sehingga 1 Januari 2018 

Jika pengiraan atas baki minima tahunan. Jumlah dividen si 'A' akan terima ialah : (ambil baki terendah dalam setahun × 4.5 %) RM 0.00 × 4.5% = RM 0.00 😱

Jika pengiraan terdahulu baki terendah bulanan. Jumlah dividen si 'A' akan terima ialah : (tambah semua baki terendah bulan selama setahun ÷ 12) × 4.5% RM 11000 ÷ 12 x 4.5% = RM 412.50.

Admin cuma harap TH silap taip. Kalau tidak, memang teruk betul 😆," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Penulisan oleh Nota Umrah Ziarah itu nampaknya tidak bersendirian bahkan rata-rata netizens mempunyai pandangan yang serupa.



Walaupun hanya sebilangan kecil dan jumlah mereka tidaklah ramai, terdapat juga beberapa netizens yang membela tindakan Tabung Haji.


Misalnya Elmiza yang berkata, "Hibah bermaksud hadiah, dan hadiah tidak tertakluk kepada apa-apa syarat wajib memberi pulangan beberapa % pun. Ada lebihan pelaburan, bolehlah bagi hibah. Takde lebihan, krik-krik saja," katanya ketika merespon status Pakar Kewangan & Pelaburan, Azizul Azli Ahmad.

Elmiza juga menasihati agar para pendeposit Tabung Haji kembali membetulkan niat masing-masing memandangkan tujuan menyimpan di Tabung Haji adalah supaya wang simpanan bebas dari unsur riba dan was-was.



Bagaimanapun lebih ramai netizens yang tetap mempersoalkan tindakan Tabung Haji dan berpendirian adalah lebih baik sekiranya Tabung Haji menggunapakai kaedah lama kerana sesungguhnya pendeposit layak untuk mendapatkan keuntungan yang lebih berbaloi dan setimpal dengan wang yang mereka laburkan (simpan) di Tabung Haji. - 8 Februari 2018.

Rabu, 7 Februari 2018

Dihukum Penjara 30 Bulan Kerana Kes NFC, Ini Kenyataan Rafizi.

Kenyataan Media

Dari Rafizi Ramli

HUKUMAN DI BAWAH AKTA BANK KERANA DEDAH SKANDAL NFC.

Anda mungkin kenal saya. Nama saya Rafizi, umur 40 tahun. Seperti juga anda, saya ada anak, isteri dan mak ayah. Sebentar tadi, pada hari ini, 7 Februari 2018, hakim Zamri Bakar telah mendapati saya bersalah dalam kes NFC. 

Saya dituduh mendedahkan maklumat bank keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan syarikat-syarikat milik mereka. Saya ada 13 kes mahkamah yang sedang berjalan, tetapi kes NFC inilah yang memulakan segala-galanya. 


NFC adalah skandal pertama yang saya dedahkan. Sekarang semua orang tahu mengenai lembu dan kondo, bila mana sebahagian besar dari RM250 juta dana awam yang sepatutnya sampai untuk penternak miskin, akhirnya digunakan untuk membeli kondominium mewah dan membiayai perniagaan lain. 

Kes ini telah berlalu 6 tahun, sebahagian besar dari rakyat telah pun melupakannya. Begitulah sifat kita – kita mudah lupa. 

Dalam setiap skandal penyelewengan, ada orang yang tidak akan lupa kerana mereka menanggung kesannya. Mereka menjadi mangsa bila masyarakat membiarkan rasuah berleluasa. Ketidakadilan yang berlaku adalah nyata – saya tidak mengambil satu sen pun duit rakyat, tetapi saya dan kerana bank yang menghabiskan banyak masa di dalam kendang tertuduh. 

Tidak ada seorang pun dari mereka yang terlibat dengan skandal NFC yang dihadapkan ke muka pengadilan. Yang kena dakwa adalah saya dan abang Johari, bukannya mereka. 

Jutaan lagi rakyat Malaysia turut menanggung beban bila kegagalan NFC tidak dihukum. Harga daging lembu semakin mahal dan kebelakangan ini banyak keluarga tidak mampu pun untuk menikmati daging lembu. Dana awam RM250 juta sebahagian besarnya hilang begitu saja. 

Saya telah jalankan amanah saya. Saya tidak menyesal sedikit pun. Saya pasrah dan apa pun hukuman yang telah dan akan dijatuhkan ke atas saya, saya dan keluarga saya akan redha dan menerimanya dengan baik. 

Kami tenang kerana kami tahu kami telah menjalankan amanah kami. Jika anda ada sedikit rasa marah dan kecewa kerana ketidakadilan ini berlaku, maksudnya anda peduli. Anda benci dengan ketidakadilan yang berlaku di sekeliling anda. 

Janganlah biarkan rasa marah dan kecewa itu padam secepat ia datang. Perubahan bermula dengan kita. Saya tidak perlukan simpati dari sesiapa, ini pilihan yang saya buat. 

Cuma saya nasihatkan anda turut memilih untuk bertindak, kerana apabila kita sama-sama peduli dan bertindak, kita boleh mengubah keadaan masyarakat. 

Saya perlukan anda menjadi sukarelawan. Saya perlukan sumbangan anda membantu biayaramai (crowdfunding) supaya lebih ramai boleh bertindak bila ketidakadilan berlaku. 

Saya dahulu bermula begitu. Saya tidak boleh menafikan naluri bahawa skandal NFC itu satu penyelewengan dan ketidakadilan yang nyata. Saya akan keluar tidak lama lagi. Sementara itu, mari kita berganding bahu untuk menghentikan semua ketidakadilan ini. 

Bertindaklah sekarang : Anda boleh menyumbang kepada dana membayar denda hukuman secara online di bit.ly/contributeNOW atau anda boleh menyumbang terus ke akaun Maybank INVOKE : INVOKE Solutions Sdn Bhd 5622 0964 0698 atau jika anda mahu menyumbang dari luar negara, boleh menghantar sumbangan menggunakan kod bank MBBEMYKL 62209 atau anda boleh membeli bahan kempen, buku, pelbagai t-shirt, topi dan payung di https://shop.invokemalaysia.org/ 

Paling penting, anda perlu menjadi sukarelawan untuk membantu menumpaskan Dato’ Seri Najib dalam pilihanraya akan datang. Daftar sekarang di bit.ly/JOMJOININVOKE 

[Kenyataan ini disediakan sementara menunggu keputusan mahkamah]

Rakyat Malaysia Ada Duit, Jualan Kereta, Telefon & Pergi Umrah Meningkat - Tun Faisal Ismail Bidas Mydin.

Oleh : Tun Faisal Ismail Aziz
FAKTA ATAU AUTA : MYDIN KATA KDNK KUKUH TAPI RAKYAT TIADA WANG?
1. Saya mendengar temubual Melisa Idris dengan Datuk Wira Ameer Ali Mydin, pengarah urusan rantaian hypermarket popular Mydin di BFM Radio semalam. Memang benar Ameer ada menyebut perkara sebegini. Walaupun itu hanya andaiannya berdasarkan aktiviti perniagaan hypermarket semata-mata. TIDAK TEPAT JIKA DIA MENYIMPULKAN, HANYA KERANA ORANG KURANG BERBELANJA DI HYPERMARKET, MAKA ITU INDIKATOR BAHAWA "RAKYAT MALAYSIA TIADA WANG".
2. Peningkatan KDNK negara bukan ditentukan oleh hypermarket semata-mata, tetapi oleh banyak sektor dalam negara. Sektor pertanian misalnya menyumbang pertumbuhan sebanyak 5.6% pada tahun 2017, perlombongan dan kuari 0.5%, pembuatan 5.5%, pembinaan 7.6% dan perkhidmatan 5.9%. Dalam sektor perkhidmatan pula, Utiliti menyumbang 2.5%, Perniagaan Borong dan Runcit 6.5%, Makanan, Minuman dan Penginapan 7.6% dan banyak lagi. Malah dalam perniagaan borong dan runcit, bukan Mydin dan hypermarket sahaja yang menjadi penyumbangnya kerana perniagaan borong dan runcit melibatkan jauh lebih ramai pemain. Jumlah keseluruhan sumbangan seluruh sektor ini kemudiannya akan membentuk keseluruhan KDNK negara.


3. Walaupun pertumbuhan dalam sub-sektor hypermarket menguncup, namun Ameer ada menyebut bahawa, selepas Mydin Mohamed Holdings Bhd menjual SAM's Groceria, sejumlah pasaraya mini, menghentikan operasi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan melaksanakan pemotongan kos yang sangat ketat secara besar-besaran, tidak mengambil pekerja baru dan tidak menaikkan gaji pekerja, baharulah Mydin memperolehi keuntungan semula sebanyak RM30 juta. Jika RAKYAT MALAYSIA BENAR-BENAR TIADA WANG, BAGAIMANA MYDIN BOLEH MEREKODKAN KEUNTUNGAN RM30 JUTA? Adakah keuntungan sebanyak RM30 juta ini hasil perolehan daripada rakyat Bangladesh, Indonesia, China, Korea atau warga asing yang lain?
4. Menurut The Edge, "Mydin Holdings mencatatkan kerugian pertama dalam tempoh 6 dekad dalam tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2016. Alasan yang diberikan adalah pertama, RINGGIT YANG MELEMAH berbanding Dollar AS dan kedua, kesan pengembangan AKTA KAWALAN HARGA DAN ANTI-PENCATUTAN 2011. Kerugian yang dicatatkan adalah RM156.61 juta dari perolehan sebanyak RM2.99 bilion".
Gambar - Invoke/Malaysiakini
5. Dalam laporan yang sama, The Edge menyebut "dalam bulan Februari 2017, RAM Ratings menyatakan KERUGIAN Mydin Holdings ini juga adalah kerana "A LAGGED RESPONSE TO THE MISPRICING OF PRODUCTS AT THE GROUPS MINI MARKETS AND CONVENIENCE STORES (dan BUKAN KERANA RAKYAT MALAYSIA TIADA WANG).
6. Ada kebenaran kenyataan RAM Ratings ini kerana semakan The Edge terhadap Sam’s Groceria Sdn Bhd menunjukkan ia adalah syarikat yang membuat kerugian, iaitu kerugian bersih sebanyak RM27.49 juta daripada perolehan sebanyak RM63.16 juta dalam tahun kewangan 2016. ADAKAH SAM'S GROCERIA RUGI KERANA RAKYAT TIADA WANG? Sam's Groceria adalah PASARAYA PREMIUM yang mensasarkan PEMBELI DALAM KALANGAN GOLONGAN BERPENDAPATAN TINGGI. Pasaraya ini menawarkan lebih 19,000 barangan, yang mana 60% daripadanya adalah BARANGAN IMPORT dari Amerika Syarikat, Australia, Japun, India, Taiwan dan Thailand. SASARAN MYDIN BUKAN RAKYAT BIASA, TAPI RAKYAT YANG MEMPUNYAI WANG (PENDAPATAN TINGGI). JIKA SAM'S GROCERIA RUGI, MAKA ISUNYA BUKAN RAKYAT TIADA WANG TAPI KERANA IA MENYASARKAN SEGMEN YANG SALAH ATAU IA GAGAL MENARIK SEGMEN ITU BERBELANJA DI SITU.
7. The Edge turut melaporkan bahawa Mydin Holdings juga menjual MyMydin Sdn Bhd, yang mengendalikan operasi 48 kedai serbaneka (convenience store) MyMydin kepada Jubilee Games Sdn Bhd. MyMydin merekodkan kerugian bersih sebanyak RM16.64 juta dan kerugian terkumpul sebanyak RM39.39 juta. JIKA BENAR RAKYAT MALAYSIA TIDAK MEMPUNYAI WANG SEPERTI YANG DIDAKWA OLEH AMEER, MAKA PEMILIK JUBILEE ADALAH SANGAT TIDAK CERDIK KERANA MEMBELI 48 BUAH KEDAI SERBANEKA DARIPADA MYDIN HOLDINGS YANG MEREKODKAN KERUGIAN DEMI KERUGIAN.

8. Sebenarnya Ameer boleh sahaja mengandaikan bahawa rakyat Malaysia sekarang lebih bijak dan berhati-hati dalam berbelanja. Mereka tidak membeli keperluan dan menyimpan stok seperti dulu. Kedua, persaingan sudah menjadi semakin sengit dan rakyat akan berbelanja di premis yang boleh menawarkan harga paling rendah. Ketiga, rakyat Malaysia tetap berbelanja untuk memenuhi kehendak mereka dan mereka akan berjimat cermat untuk memastikan mereka dapat memenuhi kehendak mereka. Jika diperhatikan dalam pasaran kereta, jualan kereta menunjukkan peningkatan, misalnya Perodua, meningkat 2.4% pada pertengahan tahun 2017, Honda, 19% pada tahun 2017 dan Mercedes meningkat 2.3% pada tahun 2017. Rakyat Malaysia juga berbelanja lebih RM6.8 bilion untuk membeli telefon bimbit sepanjang tempoh 2016 hingga 2017. Jumlah rakyat yang melancong di dalam dan ke luar negara serta menunaikan umrah juga meningkat setiap tahun. Pelancong domestik membelanjakan RM66.5 bilion sepanjang tahun 2016. Jumlah perbelanjaan rakyat Malaysia di luar negara juga meningkat kepada RM43.4 bilion pada tahun 2016 berbanding RM41.7 bilion pada tahun 2015. Jumlah rakyat Malaysia yang melancong ke Jepun meningkat 400% daripada hanya 65,010 pada tahun 2009 kepada 322,683 sehingga Oktober tahun 2017. Jumlah rakyat Malaysia yang pergi menunaikan umrah juga meningkat, iaitu hanya 80,000 pada tahun 2009 kepada 310,000 pada tahun 2016.

9. KESIMPULANNYA, bukan soal RAKYAT TIADA WANG, tetapi selepas mendengar secara penuh wawancara tersebut dan menyemak semula prestasi Mydin, boleh dikatakan PENETAPAN HARGA YANG SALAH (kenyataan RAM Ratings), KESILAPAN MEMILIH MODEL PERNIAGAAN (KR1M), KESILAPAN MEMILIH SEGMEN DAN KEGAGALAN MEMENUHI CITARASA SEGMEN TERSEBUT, DAN KOS OPERASI YANG TINGGI (GAJI DAN PENGAMBILAN PEKERJA) adalah punca Mydin Holdings merekodkan kerugian. Ternyata selepas Mydin membetulkan kesilapan-kesilapan itu, mereka tetap merekodkan keuntungan RM30 juta.


10. Tanpa analisis, memang dijangkakan Malaysiakini dan portal berita pro Pakatan akan mengambil kesempatan ke atas kenyataan-kenyataan seperti ini. Hampir sahaja BFM berjaya melagakan Ameer dan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Mujurlah Ameer bijak menjawab.
Gambar : Tun Faisal Ismail Aziz

Gelaran 'Datuk' Husam, Wan Rahim Ditarikbalik Sultan Kelantan.

PENGERUSI Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Bin Wan Abdullah dan Naib Presiden Amanah, Husam Musa hari ini mengumumkan telah memulangkan semula pingat kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk' kepada pihak Istana Kelantan.

Ini ujarnya, selaras dengan surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang diterima oleh kedua-dua pemimpin Amanah itu pada petang semalam. 


Melalui surat itu katanya mereka dimaklumkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, bersetuju menarik balik tauliah pelantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang telah dianugerahkan kepada mereka sebelum ini.

Husam dan Wan Rahim mengeluarkan satu kenyataan media bersama di Facebook masing-masing bagi mengumumkan penarikan semula gelaran kehormat itu.



Dan berikut dibawah adalah Kenyataan Media penuh seperti yang dipaparkan menerusi facebook rasmi Husam Musa;

YB Hj Husam Musa & Wan Abd Rahim Wan Abdullah:

Kami telah menerima surat daripada YB Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pada petang semalam, 20 Jamadil Awal 1439H bersamaan 06 Februari 2018 memaklumkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V bersetuju menarik balik Tauliah Perlantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D. J. M. K.) (Al-Ismaili II) yang telah dianugerahkan kepada kami sebelum ini, mulai pada 06 Februari 2018.

Menjunjung sebagaimana dititahkan, kami berdua telah mengembalikan ketandaan Darjah Kebesaran dan surat perlantikan yang berkaitan kepada Yang Amat Berusaha Pengelola Istana D’Raja pada hari ini, 07 Februari 2018 di Istana Balai Besar.

Kami mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjunjung kasih dan mengulangi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhamad V.

Sekian. Terima kasih.

YB Hj Husam Musa

Wan Abd Rahim W Abdullah

21 Jamadil Awal 1439H
07 Februari 2018
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...