Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 13 Mac 2018

Tiada Kes Murid Tak Mampu Beli Makanan Atau Tak Makan Ketika Di Sekolah - KPM.

Oleh : Free Malaysia Today

Kementerian Pendidikan mempertikaikan kaji selidik Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) yang mengaitkan masalah kekurangan zat makanan dan pembesaran terbantut kanak-kanak di Kuala Lumpur dengan Ghana.



Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata tiada laporan daripada guru yang menunjukkan ada pelajar tidak makan di sekolah.

“…saya tak tahulah macam mana laporan itu boleh dikeluarkan (Unicef) dan dia bandingkan pula dengan Ghana.

“Kita sendiri boleh lihat sebenarnya tiada pelajar (yang kekurangan zat makanan dan pertumbuhan terbantut), kalau kita hendak bandingkan dengan Ghana dari segi pemakanan sebab kita bagi kepada semua pelajar kita (Rancangan Makanan Tambahan) yang memerlukan, sama ada bandar ke tak bandar.

“Kita juga ada kajian dan tak ada setakat ini di sekolah yang menunjukkan budak-budak sampai tak mampu (nak makan) dan tak ada kes lagi dalam laporan daripada guru menunjukkan budak tak makan kat sekolah,”
katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) mengenai kaji selidik Unicef itu dan tindakan susulan kerajaan serta bila kementerian akan menjalankan kaji selidik keberkesanan Rancangan Makanan Tambahan.

Mahdzir berkata, untuk 2018, seramai 450,000 pelajar menerima Rancangan Makanan Tambahan, sama ada sekolah di bandar atau luar bandar, termasuk pelajar yang tinggal di flat kos rendah.

Beliau berkata, selain sekolah kebangsaa, terdapat 40,948 pelajar sekolah jenis kebangsaan Cina dan 26,620 pelajar sekolah jenis kebangsaan Tamil yang berada dalam Rancangan Makanan Tambahan.

Pada 27 Februari lalu, kaji selidik Unicef bertajuk “Kanak-kanak pinggiran : Satu kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah di Kuala Lumpur” mendapati 1 dalam 5 kanak-kanak di ibu negara mengalami pertumbuhan terbantut, manakala 1 dalam 10 orang kurang berat badan.

Kajian melibatkan 966 ketua isu rumah dan 2,142 kanak-kanak di 17 lokasi berbeza di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dari 20 Ogos hingga 30 September 2017 menunjukkan masalah kurang berat badan, terbantut dan kurus kering yang berleluasa di kalangan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun adalah 2 kali ganda lebih banyak berbanding purata Kuala Lumpur.

Manakala masalah berat badan berlebihan pula hampir 6 kali ganda (23%) daripada purata Kuala Lumpur (4%).

Menurut Unicef, berbanding negara yang mempunyai keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita sama dengan Malaysia, berat badan di kalangan kanak-kanak Malaysia secara perbandingan adalah tinggi.

“Misalnya hampir 13% kanak-kanak kita yang berusia 5-19 tahun adalah obes (gemuk) dan peratusan ini lebih tinggi daripada Hungary (11), Turki (10%) dan Poland (9%).

“Peratusan kanak-kanak kita yang terbantut pula lebih teruk (20.7%) daripada Ghana (18.8%) walaupun KDNK per kapita Malaysia 6 kali lebih tinggi.

“Di Putrajaya, 1 dalam 4 kanak-kanak terbantut, menjadikannya ‘lebih tinggi daripada purata kebangsaan’, manakala di Kelantan, masalah pembesaran terbantut mencapai 34%, lebih teruk daripada kanak-kanak di negara berpendapatan rendah seperti Zimbabwe (27.6%) dan Swaziland (25.5%).”

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...