Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 26 Mac 2018

"Berkecuali Isu 1MDB" : Sinar Harian Jangan Jadi Penyebar Fitnah Kata PAS.

Kenyataan Media Setiausaha Akhbar Presiden PAS

SINAR HARIAN JANGAN JADI PENYEBAR BERITA FITNAH


Saya telah menghubungi Ketua Wartawan Sinar Harian, Muhammad Shamsul Abd Ghani bagi menyatakan kekesalan Presiden PAS terhadap berita Sinar Harian Online pada 25 Mac 2018, semalam dan Sinar Harian Cetak pada 26 Mac 2018 yang bertajuk “PAS AMBIL PENDEKATAN BERKECUALI ISU 1MDB” yang disifatkan sebagai berita fitnah dan palsu dengan niat untuk memburukkan imej dan persepsi awam terhadap Presiden PAS.



PAS mendesak pihak Sinar Harian segera memohon maaf secara terbuka dengan syarat disiarkan dalam Sinar Harian Online dan dipaparkan di muka hadapan Sinar Harian Cetak.

Berita fitnah ini sangat jelas dirancang apabila Sinar Harian terpaksa mengubah tajuk sebanyak tiga kali;

1. PAS ambil pendekatan berkecuali isu 1MDB
2. PAS ambil pendekatan ‘berkecuali’ isu 1MDB
3. 1MDB : Jangan terus hukum


Malahan pihak Sinar Harian juga menukar nama wartawan asal yang menulis berita tersebut daripada Muhammad Faiz Sulong kepada wartawan Sinar Harian sahaja tanpa nama yang bertanggungjawab.

Inilah strategi yang biasanya digunakan oleh portal Pro PH seperti Malaysiakini, The Malaysia Insight, Free Malaysia Today dan The Malay Mail yang menerbitkan tajuk berita pertama berunsur fitnah kemudiannya ia ditukar dengan tajuk lain tanpa nama wartawan yang bertanggungjawab untuk menyebarkan fitnah dan membentuk persepsi buruk terhadap PAS. Sepatutnya Sinar Harian tidak terikut dengan budaya media jahat seperti itu.

Orang ramai mudah mempercayai berita pertama yang berunsur fitnah lalu ianya melekat dalam minda mereka sehingga ramai kalangan penyokong Pakatan Harapan mengutuk dan menghentam Presiden PAS berasaskan berita pertama yang disengajakan dan strategi permainan media untuk meraih pelawat ke portal mereka.

Hakikatnya Presiden PAS menjawab soalan daripada bekas Ketua Wira Perkasa Malaysia dalam Program Dialog Anak Muda Gagasan Sejahtera (DIALOGS 2018) di Hotel De Palma, Shah Alam semalam, mengenai strategi dan tindakan PAS atau Gagasan Sejahtera dalam skandal 1MDB bila berada dalam kerajaan nanti untuk memastikan orang-orang yang terlibat dalam 1MDB tidak terlepas?

Transkrip penuh jawapan Presiden PAS adalah seperti berikut:

“Dalam masalah 1MDB ada soalan tadi. 1MDB ini kita mesti bertindak berdasarkan sistem kehakiman yang adil, mestilah melihat saksi yang adil. Yang adil dalam Islam ini bukan sahaja beriman, termasuk yang tidak mengerjakan dosa besar, yang tidak terus menerus mengerjakan dosa kecil, yang tidak rendah maruahnya, orang yang tidak ada maruah tidak boleh jadi saksi dalam Islam. Apa yang berlaku pada hari ini ialah saksi media. Media pula media sosial. Kita tidak kenal siapa buat media sosial ini. Maka terdedah kepada fitnah, oleh sebab itu mestilah dikendalikan dengan seadil-adilnya. Bukan sahaja 1MDB, termasuklah Forex, termasuklah Skyhawk, termasuklah BMF, termasuklah Tabung Haji, KWSP.

Apa yang berlaku ini kita membawa budaya Melayu mudah lupa. Bila bawa 1MDB, yang dulu kita lupa semua. Kita tidak lupa. Semua kita tak lupa. Oleh sebab itu kita mesti kendalikan, mereka yang salah mesti dihukum. Tetapi dihukum itu mesti dilihat, bukan sahaja kesalahan dia, termasuklah jasa-jasa dia. Dalam Islam kita nak hukum orang bukan hukum salah dia sahaja, kalau dia ada jasa dia, dia baik juga mesti diambil kira, jasa dia, dan ditolak campur dengan jasa dia dengan kejahatan. Ini pendekatan yang diambil oleh Islam. Bukan kita nak hukum (sahaja).

Kita tak bawa budaya kalau orang ternak ayam, tengok ayam dia berminat sembelih, sembelih, akhirnya habis ayam, licin. Bukan budaya itu. Budaya kita mestilah dengan cara yang konsisten, dengan cara yang baik, kita menilai seadil-adilnya, bukan sahaja kejahatan orang termasuklah kebaikan dia. Bukan bermakna kita membela orang yang jahat, tidak. Tapi kita mahu dikendalikan dengan seadil-adilnya. Dan kita kena sedar bahawa konsep kehakiman dalam Islam, orang yang dituduh dianggap tidak bersalah, dia baru dituduh, dianggap tidak bersalah. Apa yang berlaku hari ini, bila dituduh sahaja terus hukum bersalah. Ini satu pendekatan yang tidak betul, oleh sebab itulah kita tidak melampaui batas dalam masalah menyebarkan fitnah. Dan mengikut ajaran Islam, kalau perkara fitnah itu betul-betul berlaku pun, kita mesti cari jalan untuk memurnikan dan membersihkan keadaan, supaya tidak berlaku tindakan bersifat ketidaklanjuran.”

Jelaslah bahawa dalam jawapan Presiden PAS tidak ada sepatah pun perkataan “berkecuali” dan ianya satu fitnah melampau direkayasa oleh Sinar Harian.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL MALIK BIN AB RAZAK
Setiausaha Akhbar Presiden PAS

Bertarikh: 9 Rejab 1439 / 26 Mac 2018

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...