Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 25 Februari 2018

Pesawah Semakin Terhimpit, Hutang Semakin Banyak.

Oleh : The Malaysian Insight

PESAWAH Mohd Roshdi Yahya, 50, bergelut setiap hari untuk menjaga makan minum keluarganya kerana hasil tuaian tidak berapa menjadi. Kos operasi yang tinggi untuk mengerjakan bendang menelan pendapatannya.



Beliau bimbang untuk memperturunkan pekerjaan penanaman padi kepada anaknya memandangkan hutang yang ditanggungnya sekarang belum tentu dapat dilunaskan sebelum anaknya menyambung legasinya.

“Boleh dikatakan 90% pesawah hidup dalam hutang,” kata Roshdi yang menetap dekat Kampung Dulang Kecil, di Yan, Kedah, negeri yang terkenal dengan nama jolokan “Jelapang Padi.”

“Bapa saya meninggalkan hutang kepada saya, dan tidak mustahil sekarang ini pun boleh nampak apabila saya tiada nanti, hutang akan diperturunkan kepada anak saya,”
kata Roshdi yang merupakan ahli jawatankuasa Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue).

Beliau antara 300,000 pesawah di Kedah, yang menurut Padi Rescue sedang bergelut dengan hutang dan kesempitan hidup kerana peningkatan kos operasi yang mendadak.

Pendapatan yang tidak seberapa itu tambah menyusahkan lagi mereka apabila tertekan dengan hutang.

Walaupun nasi adalah makanan ruji rakyat Malaysia, pesawah ini berkata pengurusan kerajaan yang tidak membantu mereka untuk mendapat pendapatan yang selesa. Monopoli dalam pasaran beras pula tambah membebankan lagi mereka.Seorang petani dilihat mengeluarkan air di sawahnya untuk menangkap ikan selepas musim menuai di Kubang Rotan, Kedah.

Roshdi berkata golongan pesawah juga sama seperti peneroka Felda yang mengadu tercekik dengan beban hutang dan hasil yang tak seberapa.

Katanya, pengurangan pendapatan pesawah ini dipengaruhi beberapa faktor seperti potongan hasil daripada kilang. Selain itu, kenaikan harga minyak pula mempengaruhi kos pengangkutan seperti mesin bajak, kos upah, benih dan racun.

“Lepas itu pesawah juga terpaksa berdepan dengan ancaman penyakit, faktor cuaca musim kemarau, banjir, padi angin, itu semua faktor hasil sawah berkurangan dan pendapatan kita terjejas,” katanya.

Nasib pesawah ini bertambah malang lagi apabila kilang beras, yang kebanyakannya dimiliki oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas), akan mengambil 20% hasil dari setiap tan padi yang dijual. Ini bermaksud mereka hanya dapat sedikit sahaja hasil dari padi yang dijual.

Roshdi menyalahkan Bernas, syarikat milik jutawan Syed Mokhtar al-Bukhary, yang didakwa lebih mengutamakan keuntungan berbanding kebajikan pesawah.

“Apabila badan yang sepatutnya menjaga kebajikan dan melindungi hak pesawah tiada dan digantikan dengan syarikat swasta, maka nasib kita beginilah, diabaikan.

“Syarikat swasta ini hanya mementingkan keuntungan mereka dan bukannya pada nasib pesawah,”
katanya.

Bernas ditubuhkan pada 1996 untuk menggantikan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), agensi yang sepatutnya melindungi kebajikan pesawah dan menjaga industri.

Meminjam untuk terus hidup

Kesan kepada semua permasalahan inilah yang menyebabkan rata-rata pendapatan pesawah hanya mencapai lebih kurang RM600 sebulan, dengan menanam padi dua tahun sekali.Pesawah Mohd Fauzi Mohd Rozi berkata harga padi yang dibeli pengilang pada harga RM1,200 dan pemberian subsidi sebanyak RM300 bagi satu tan metrik tidak memadai.

Pesawah mengukur bidang tanah mereka dengan ukuran “relung” yang secara kasarnya bersaiz 0.288 hektar atau 0.7 ekar, lebih kurang sepertiga padang bola sepak.

Roshdi berkata anggaran kos yang perlu dikeluarkan bagi satu relung sawah antara RM700 dan RM500.

“Setiap pesawah akan mempunyai biasanya dalam lima relung. Itu belum tolak kos sewa tanah, sebab tak semua pesawah ada tanah sendiri.

“Jadi pendapatan itu sebenarnya susah nak anggar sebab berubah mengikut musim. Tapi kita anggarkan semusim (iaitu) enam bulan dapat RM3,500 dan sebulan bersih pesawah cuma dapat RM600 pendapatannya,"
katanya.

Perkara itu turut dipersetujui seorang lagi pesawah muda Mohd Fauzi Mohd Rozi, 32.

Katanya, harga padi yang dibeli pengilang pada harga RM1,200 dan pemberian subsidi sebanyak RM300 bagi satu tan metrik tidak memadai.

“Sekarang ini susah sebab hasil tak banyak, paling teruk padi angin, padi tak akan menjadi, lepas itu penyakit sebab siput.

“Kalau tak (turun ke sawah) saya bawa lori, sebagai sampingan, memang tidak adalah simpanan lebih, kalau tidak susah nak kena berhutang,”
katanya yang mewarisi pekerjaan itu daripada keluarganya. Pesawah mengangkat padi ketika musim menuai di bendang di Kota Sarang Semut, Kedah.

Menurut Muhammad Fuad Yaacob, 50, pesawah tidak boleh lari daripada hutang kerana mereka memerlukan kos yang tinggi untuk proses penamanan.

“Memang betul pesawah akan berhutang, sebab pendapatan berkurangan, lepas itu bila tiba musim macam mana pun kita kena tanam, jadi kita kena pinjam,”
kata Fuad yang berasal dari Hutan Kampung.

Roshdi misalnya berhutang sebanyak RM13,000, yang beliau akui tidaklah setinggi mana.

“Namun, jika lima atau sepuluh tahun akan datang, jika kos tanam padi meningkat, hasil berkurangan, nasib kami akan bertambah teruk,” katanya.

Padi Rescue menuntut kerajaan mengembalikan semula LPN dan mengambil alih industri daripada Bernas.

“Bernas gagal sebenarnya dalam tanggungjawab sosial mereka.”

Dalam kenyataannya Januari lalu, Bernas berkata yang kadar potongan kualiti untuk setiap tan padi tidak melebihi 25% setiap tan untuk tempoh Disember 2016 hingga Januari 2017.

Kadar potongan digunakan untuk lebih kurang 85% daripada pengeluaran keseluruhan.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...