Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 11 Januari 2018

Mahathir, Anwar Gabungan PM, TPM Malaysia Sebaik Anwar Dibebaskan - Tiada PM, TPM Suami Isteri.

Selain serangan terhadap Tun Mahathir Mohamad, isu lain yang turut menjadi tumpuan terhadap kerajaan baru Pakatan Harapan yang bakal dibentuk selepas PRU 14 ialah dakwaan bahawa pasangan suami isteri, Anwar Ibrahim dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam waktu yang sama.

Konvensyen Pakatan Harapan Ahad lalu memutuskan Tun Mahathir dinamakan sebagai Perdana Menteri dan Dr. Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri sebaik saja gabungan itu berjaya menumbangkan UMNO dan BN.
Ia kemudian akan disusuli dengan memohon proses pengampunan bagi Anwar daripada Yang Dipertuan Agong bagi membolehkannya kembali aktif dalam politik, memegang jawatan dalam kerajaan dan seterusnya mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir.

Memandangkan Tun Mahathir sudah menjangkau usia 93 tahun dan matlamat utamanya ialah untuk memulih serta menyelamatkan negara daripada kerosakan berterusan akibat gaya kleptokrat Najib selama ini serta dalam masa yang sama turut terhutang budi dengan persetujuan Pakatan Harapan menamakannya sebagai calon Perdana Menteri, adalah difahami beliau tidak ada masalah untuk menyerahkan baton kepimpinan seterusnya kepada Anwar untuk menggantikannya.

Oleh kerana ketika itu Dr. Wan Azizah sudah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan dengan Tun Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, lalu dikatakan kerajaan selepas itu adalah kerajaan suami isteri.

Tidak cukup dengan pelbagai serangan kepada Tun Mahathir, ternampak bukan main seronok puak-puak UMNO memainkan isu ini.

Beberapa jentera propaganda, media kerajaan dan macai berbayar di media sosial dengan ghairah memainkan isu ini untuk menimbulkan ketakutan seolah-olah kerajaan ketika itu akan menjadi milik keluarga Anwar semata-mata.

Sabar dulu...jika kita imbas perjalanan politik Anwar dan Dr. Wan Azizah sejak 1998 yang lalu sehingga sekarang,  kita dengan mudah dapat memahami perkara ini.

Dr. Wan Azizah bukanlah isteri yang gila kuasa, ghairah dengan jawatan dan suka glamour seperti isteri sesetengah pemimpin lain. Ketika Anwar memegang jawatan dalam kerajaan, beliau tidak pernah menonjolkan diri, sebaliknya hanya menjadi pendamping setia dan berperanan sebagai isteri di belakang tabir semata-mata.

Wataknya lebih kurang sama dengan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali yang menjadi peneman setia sepanjang zaman kepada Tun Mahathir selama ini.

Penglibatannya dalam politik sebelum ini hanyalah secara kebetulan apabila Anwar berada di penjara dan tidak boleh bertanding dalam pilihanraya. Ketika itulah beliau menggantikan suaminya di Permatang Pauh.

Tetapi, sebaik Anwar bebas daripada penjara dan tiada lagi sebarang kekangan untuk bertanding, beliau dengan rela hati menyerahkan kerusi Parlimen Permatang Pauh itu kepada suaminya semula.

Setakat ini, sudah dua kali beliau menggantikan tempat Anwar di Permatang Pauh. Ketika Anwar memegang jawatan Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang, Dr. Wan Azizah tidak bergelar Yang Berhormat dalam waktu yang sama.

Untuk PRU 14 akan datang ini, sekali lagi Anwar tidak boleh bertanding. Dr. Wan Azizah pula, sebagai bakal Timbalan Perdana Menteri, sudah pasti wajib bertanding dan menang bagi membolehkannya dilantik memegang jawatan tersebut.

Sebaik saja kAnwar mendapat pengampunan dan boleh bertanding semula, proses yang sama seperti sebelum ini akan berulang kembali iaitu Dr. Wan Azizah akan mengosongkan kerusi Parlimen yang disandangnya untuk memberi laluan kepada suaminya. Kerusi itu mungkin di Permatang Pauh atau lain-lain kawasan.

Dr. Wan Azizah juga turut akan mengosongkan kerusi Timbalan Perdana Menteri yang disandangnya.

Bermakna selepas Anwar menjadi Ahli Parlimen semula, beliau akan menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Mahathir terlebih dahulu, mengambil alih tempat Dr. Wan Azizah, sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Tidak akan timbul kerajaan suami isteri ketika itu, lebih-lebih lagi kerana Pakatan Harapan dianggotai oleh empat parti yang hampir setara, maka jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak mungkin diisi oleh dua orang daripada parti yang sama.

Jadi, jangan takut atau sengaja buat-buat takut sehingga tak nampak hakikat yang sebenarnya.

Peranan Dr. Wan Azizah selepas Anwar menjadi Perdana Menteri ialah untuk mengisi kedudukan sebagai isteri Perdana Menteri yang tidak kurang pentingnya dalam konteks politik negara ini, tetapi sudah tentu beliau tidak seperti "isteri Perdana Menteri yang seorang itu" yang namanya menjadi bualan seluruh dunia kerana suka bermewah, membazir, berpakaian mahal dan ada jutaan ringgit nilai perhiasan sentiasa bergemerlapan badannya.

Bukan kerajaan suami isteri yang tidak mungkin menjadi kenyataan perlu kita takuti, tetapi pasangan suami isteri yang sedang berkuasa sekarang perlu lebih ditakuti dan menakutkan kita.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...