Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 20 Oktober 2017

Mahathir Yang Patut Bertaubat Kerana Diktator & Merosakan Sistem Negara - Hadi Awang.

Oleh : Sinar Harian

MENJADI blok ketiga, mungkin bukan langkah mudah bagi Pas. Ada sahaja hentaman daripada bekas sekutunya daripada Pakatan Harapan. Itu belum lagi asakan daripada BN, tetapi ada yang melihat langkah Pas semakin berani. Kejayaan menghimpunkan ratusan ribu penyokong pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Terengganu baru-baru ini dijadikan kayu pengukur bahawa parti itu mempunyai sokongan meluas. 


Namun, sejauh mana parti Islam itu mampu menterjemahkan sokongan kepada PRU14 kelak? Bagaimana pula sokongan pengundi bukan Islam? Ikuti wawancara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama wartawan Muhammad Shamsul Abdul Ghani.

Baru-baru ini,  Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad  mendakwa menyokong Pas sama seperti beri undi kepada BN, dan minta Pas supaya bertaubat. Boleh Datuk Seri jelaskan mengenai perkara ini?

Pas bukan parti dalam BN dan kita akan bertanding di kerusi di mana BN bertanding. Selayaknya Mahathir bertaubat kerana dialah penyebab kerosakan sistem negara, mengurangkan hak dan kuasa Melayu-Islam dan Majlis Raja-raja, mengamalkan demokrasi tempang dan memerintah negara secara diktator. 

Semua kesalahan ini beliau tidak mengaku dan tidak minta maaf kepada mangsa, bahkan masih lagi mempertahankan salah lakunya. Ini menunjukkan beliau tidak jujur untuk selamatkan Malaysia. Yang beliau mahu adalah jatuhkan Najib sahaja. Hakikatnya, mengundi DAP, PKR, Amanah, Bersatu adalah mengundi dan mengiakan kezaliman Mahathir.

Mahathir kata kebencian Pas kepada Amanah dan DAP melebihi azam untuk selamatkan negara dan agama. Apa komen Datuk Seri?

Sejak ditubuhkan sehingga hari ini, Pas tidak meninggalkan matlamat untuk menyelamatkan negara melalui Fasal 5 Perlembagaan Pas. Bezanya, Pas mahu selamatkan negara dengan Islam bersama jaminan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan. Adapun DAP tidak menghormati perkara ini dengan berani menunjukkan sikap menentang usaha memartabatkan mahkamah syariah melalui pindaan RUU355. 

Amanah pula ditubuhkan di atas restu DAP untuk menggantikan Pas, malangnya Amanah tidak berjaya mendapatkan undi Melayu, bahkan penubuhannya memberi bebanan kepada DAP. 

Tambahan pula, kita melihat harapan DAP untuk selamatkan negara adalah palsu dengan beberapa kes pemimpinnya terpalit isu rasuah. Pas yang memerintah Kelantan hampir 27 tahun adalah kerajaan bersih tanpa rasuah dan diiktiraf sebagai pentadbiran berintegriti oleh agensi-agensi kerajaan yang membuat audit kepada pentadbiran kerajaan, walaupun tempoh masa pemerintahan lebih panjang.

Polemik  hubungan politik Pas-Umno sering dimainkan. Boleh Datuk Seri jernihkan isu ini, tambahan menjelang PRU14 nanti.

Pas  ambil pendekatan tahaluf siyasi dan taawun bagi hadapi PRU14. Pas bertahaluf dengan parti-parti dalam Gagasan Sejahtera bagi menghadapi BN dan Pakatan Harapan. Adapun dengan Umno-BN, kita mengambil pendekatan taawun iaitu menyokong apa yang baik dan positif demi keutamaan Islam dan Melayu dan kita membantah apa yang negatif dan salah yang merugikan negara dan rakyat seperti GST, TPPA, DLP dan Akta 164.

Menjelang PRU14, pendirian Pas jelas iaitu tiada kerjasama dengan Pakatan Harapan. Namun, isu pertembungan tiga penjuru sering ditimbulkan. Bagaimana strategi Pas agar tiga penjuru ini beri keuntungan kepada parti?

Persoalan strategi adalah rahsia, cumanya Pas telah meneliti satu persatu bagi setiap kerusi dan menyusun strategi berdasarkan maklumat akar umbi. Sasaran kita untuk menang 40 kerusi adalah realistik dan boleh dicapai.

Saya juga melihat penganalisis politik sangat dipengaruhi oleh keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk mengunjurkan apa yang bakal berlaku pada PRU14. Pas melihat dua PRK ini  sebagai kes tersendiri, dengan pengertian lain. 

Senario politik di dua kawasan ini tidak mewakili keseluruhan senario politik di seluruh negara. Setiap kawasan ada ciri-ciri tersendiri, mengambil kira komposisi kaum, kedudukan kawasan di bandar atau luar bandar, parti-parti mana yang bakal bertanding, siapa calon dijangka bertanding, isu-isu setempat dan lain-lain. 

Oleh sebab itu, dalam mempertimbangkan boleh menang atau tidak, Pas tidak sekadar menganalisisnya berasaskan dua senario, tiga penjuru atau dua penjuru. Pas juga tegas bersama akidah Islam dan bersama asas Perlembagaan Negara yang mahu dirungkaikan oleh berbagai aliran.

Apakah lima kelebihan Pas berbanding Pakatan Harapan untuk menewaskan BN?

Dasar Pas adalah Islam dan Pas tidak pernah menjual prinsip ini demi meraih undi pilihan raya atau kemenangan sementara. Islam jadi akidah perjuangan yang kukuh. Kedua, Pas ada kekuatan akar umbi yang tidak dimiliki oleh pembangkang lain. Kita ada 196 kawasan dan 7,063 cawangan di seluruh negara. Ketiga, Pas bersama Gagasan Sejahtera yang didukung oleh parti-parti politik, NGO-NGO dan tokoh-tokoh masyarakat.

Keempat, Pas meninggalkan politik tegang dan amalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang lebih mendekatkan Pas dengan pengundi dan mewujudkan keamanan serta  kestabilan politik negara. Kelima, orang Melayu bersama Pas. Kita perlu sedar undi teras politik Malaysia adalah Melayu. 

Mana-mana parti yang mahu jadi pemerintah mesti dapat undi Melayu dan kita lihat Bersatu dan Amanah tidak dapat menarik undi Melayu kepada Pakatan Harapan, cuma Pas perlu juga melibatkan bukan Islam yang masih tidak fanatik perkauman dan agama.

Kekuatan Pas terletak pada dasar Islam, akidah perjuangan. Bagaimana pula Datuk Seri melihat sikap pengundi terhadap Pas kini?

Alhamdulillah, selepas DAP memutuskan hubungan dengan Pas, pengundi Melayu mula beralih kepada kita. Ini hasil konsisten Pas yang tidak mudah dicucuk hidung oleh DAP, khususnya dalam isu hak kepentingan orang Islam, berkaitan pindaan Akta 355 dan sikap berani kita menolak politik cauvinis perkauman.

Tambahan pula dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang kita buat, kita berjaya mendekati pengundi Melayu-Islam khususnya, dan bukan Islam yang menolak politik perkauman DAP. Kita sedar tidak semua orang bukan Islam suka DAP yang rasis dan perkauman.
Kita juga telah berjaya merobohkan benteng dengan agensi kerajaan, penjawat awam, NGO dan banyak pihak yang bersedia jumpa kita. Ini hasilnya selepas kita mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang dapat mengurangkan ketegangan, selain kita tidak bersama Bersih setelah ada bibit-bibit untuk mengubah hala tuju sebenar Bersih.

Pas dilihat terus diasak di segenap penjuru, apa yang membuatkan Pas terus kebal meskipun terus diasak?

Kekuatan Pas terletak pada dasar Islam dan akidah perjuangan yang tidak boleh dibeli oleh sesiapa.
Pas sudah membuktikan betapa istiqamahnya untuk menegakkan akidah dan syariat tanpa mempedulikan apa juga halangan dan cabaran. Malah, pimpinan Pas sekalipun akan tercampak keluar atau dicampak oleh ahli jika tidak beristiqamah dengan Islam dan cuba mengubah haluan Pas. Pas parti milik ahli yang bersama Pas kerana Islam. Pimpinan boleh datang dan pergi tetapi ahli Pas tetap istiqamah bersama bahtera Pas.

Diuji dengan masalah kesihatan baru-baru ini, adakah ia mengganggu tumpuan Datuk Seri kepada parti? Lebih-lebih lagi dengan jadual padat di dalam dan luar negara.

Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik dan saya dapat menghadiri mesyuarat dan program-program parti secara beransur-ansur.

DAP tiba-tiba nyatakan hasrat bertanding di Kelantan. Adakah ini boleh dilihat sebagai perang terhadap Pas dan bukan untuk lawan Umno. Sebab seperti diketahui Pas memang dah lama bertapak di Kelantan.

Itu hak demokrasi dalam negara kita yang membenarkan untuk mana-mana parti bertanding dan meletakkan calon, asalkan ada kawasan parlimen, bukan Pulau Kapas atau Pulau Bidong yang tidak ada pengundi.

Melihat sambutan anak muda pada Himpunan Fastaqim 2.0 baru-baru ini, bolehkah ia diterjemahkan sebagai sokongan anak muda pada PRU14?

Alhamdulillah, saya rasa terharu dengan kehadiran peserta Fastaqim 2.0 yang kebanyakannya anak muda. Ini satu harapan kepada Pas bahawa masa depan Pas sangat cerah. Dengan program-program yang dijalankan sepanjang dua hari, saya berterima kasih kepada anak muda yang berminat dan berani hadir serta menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan.

Di dalam Pas hari ini juga, saya ingin menjelaskan, Pas dibarisi beribu profesional muda yang tampil memperkemaskan pasukan profesional sedia ada. Oleh sebab itu, Pas tidak ketandusan pasukan yang membuat analisis berkaitan potensi pilihan raya dan gerak kerja parti lain. Pas hari ini mempunyai persediaan pilihan raya lebih lengkap dan menyeluruh dengan tampilnya profesional muda ini.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...